Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DBS lancar inisiatif bagi peniaga kejiranan kembangkan perniagaan dalam talian

Apr 6, 2025 | 9:33 PM
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (lima dari kiri), yang melancarkan Pakej Perbankan Peniaga Kawasan Perumahan Awam kendalian DBS Bank, berjabat tangan bersama Ketua Kumpulan, Ketua Singapura, DBS, Encik Lim Him Chuan, pada 6 April. Mereka diapit antara lain bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol dan SMC Punggol West.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean (lima dari kiri), yang melancarkan Pakej Perbankan Peniaga Kawasan Perumahan Awam kendalian DBS Bank, berjabat tangan bersama Ketua Kumpulan, Ketua Singapura, DBS, Encik Lim Him Chuan, pada 6 April. Mereka diapit antara lain bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol dan SMC Punggol West. - Foto ST

Peniaga di kawasan kejiranan tidak lama lagi akan dilengkapi dengan kemahiran bagi mengembangkan perniagaan dalam talian.

Ini sebahagian daripada inisiatif DBS Bank yang bertujuan membina pengetahuan pemasaran digital untuk pedagang ini.

DBS Bank dalam satu kenyataan pada 6 April menyatakan ia menawarkan kursus dalam talian untuk melengkapkan peniaga ke arah pendigitalan agar mereka boleh menjangkau pelanggan baru secara dalam talian dan mengembangkan pangkalan pelanggan mereka.

Kursus ini tersedia kepada perniagaan yang mendaftar untuk Pakej Perbankan Peniaga Kawasan Perumahan Awam – ia membolehkan syarikat yang bekerjasama dengan DBS menjimatkan sehingga $1,880 melalui pengecualian dan manfaat pulangan tunai.

Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, ditukil dalam laporan The Straits Times sebagai berkata:

“Saya sangat gembira melihat syarikat seperti DBS meningkatkan usaha untuk menyokong ekonomi tempatan kita, pengguna kita, warga emas kita, peniaga kita juga.

“Dengan cara ini, kita semua boleh bekerjasama untuk mempersiapkan masa depan yang tidak menentu dan memastikan bahawa apa pun yang berlaku, kita akan melaluinya bersama-sama.”

Beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, berkata demikian ketika berucap kepada penduduk semasa pelancaran inisiatif itu di Oasis Terraces di Punggol.

Encik Teo disertai AP GRC Pasir Ris-Punggol lain iaitu Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Encik Sharael Taha; dan Cik Yeo Wan Ling.

AP SMC Punggol West yang juga Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, turut hadir.

Menyentuh berkenaan keadaan sejagat yang bergelora, Encik Teo berkata di sebalik dua peperangan utama yang masih berlarutan, terdapat “persaingan sangat serius antara dua kuasa besar di dunia”.

“Setiap daripada kuasa ini sedang mencari penguasaan dalam pelbagai bidang, termasuk dalam bidang ekonomi,” ujarnya.

Ini sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memutuskan untuk mengenakan tarif menyeluruh ke atas banyak negara pada 2 April.

Dua hari kemudian, China membalas dengan tarif tambahan sebanyak 34 peratus ke atas barangan Amerika Syarikat.

“Ini akan menyebabkan banyak gangguan di seluruh dunia... dan ia pasti akan memberi kesan kepada kami. Jadi bagaimana kita bertindak balas, sebagai sebuah negara, sebagai rakyat?

“Perkara paling penting adalah kita mempersiapkan diri bagi masa hadapan dengan memastikan kita kekal kukuh dan stabil supaya kita dapat mengumpulkan semua kekuatan untuk menghadapi apa sahaja yang bakal menjelma kelak,” tambah beliau.

Lebih 800 peniaga dan penduduk hadir dalam majlis pelancaran anjuran DBS Bank itu – salah satu inisiatif bank tersebut sempena ulang tahun Singapura ke-60 atau SG60.

Acara itu menampilkan stesen interaktif untuk kanak-kanak belajar tentang tabiat digital dan kewangan yang sihat, serta gerai penstriman ‘live’ bagi peniaga untuk lebih memahami cara menjangkau pelanggan dalam talian.

Pemilik Seoul Good Korean Restaurant di Punggol East, Encik Alvin Chua, adalah salah satu peniaga yang cuba mempromosikan hidangan Korea restorannya melalui penstriman TikTok Shop buat kali pertama.

Beliau berkata: “Pelanggan tetap kami telah memberikan sokongan yang hebat dan berterusan untuk Seoul Good Korean Restaurant. Pada masa yang sama, kami ingin berkongsi sajian kami dengan pengunjung baru yang mungkin tidak menetap di kawasan itu.”

Beliau menambah penstriman sebenarnya menyeronokkan dan tidak sabar menjangkau lebih ramai pelanggan dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg