Singapura bakal merundingkan satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan blok yang dianggotai lapan negara Afrika Timur.

Langkah tersebut merupakan rundingan FTA pertama dengan rakan kongsi dari Afrika.

Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 9 Jun berkata Republik ini menyambut baik hasrat Masyarakat Afrika Timur (EAC) untuk memeterai pakatan sedemikian, yang akan meningkatkan aliran perdagangan antara ekonomi terlibat serta membuka bidang pertumbuhan baru.

Langkah ini juga akan menjadi rundingan FTA pertama bagi blok serantau tersebut dengan rakan kongsi di luar benua Afrika.

Demikian kata Tuan Presiden di samping rakan sejawatnya dari Tanzania, Cik Samia Suluhu Hassan, dalam ucapan kepada media sempena lawatan negara beliau ke Tanzania dari 8 hingga 10 Jun.

FTA tersebut bakal menjadi satu langkah penting kerana ia bukan sahaja menghubungkan Singapura dengan Tanzania, malah dengan tujuh lagi negara anggota dalam blok berkenaan, kata Tuan Presiden.

Negara-negara tersebut ialah Burundi, Republik Demokratik Congo, Kenya, Rwanda, Somalia, Sudan Selatan dan Uganda.

“FTA EAC-Singapura merupakan langkah tepat pada masanya untuk mempelbagaikan rangkaian perdagangan kita di tengah-tengah ketegangan geopolitik semasa,” kata Tuan Presiden.

Beliau menambah bahawa FTA akan meningkatkan akses pasaran serta aliran barangan dan perkhidmatan antara EAC dengan Singapura.

“Singapura boleh menyediakan pengeksport Afrika Timur pintu masuk ke pasaran Asean yang lebih besar,” katanya.

“Ia juga akan membuka bidang pertumbuhan lebih baru, seperti dalam ekonomi digital.”

Cik Samia, yang berucap dalam bahasa Swahili, berkata beliau mengalu-alukan langkah Singapura untuk mempertingkatkan kerjasama dengan rantau Afrika Timur menerusi FTA.

Beliau menambah bahawa sedang dagangan antara kededua negara sudah berkembang, ia belum mencapai tahap yang dipercayai boleh dicapai.

Cik Samia turut menjemput Singapura untuk menubuhkan sebuah kedutaan di Tanzania.

Kedua-dua pemimpin tersebut bercakap kepada media selepas mereka dan delegasi masing-masing mengadakan pertemuan pada 9 Jun di Rumah Negara Dar es Salaam, yang juga dikenali sebagai Ikulu, iaitu kediaman rasmi Presiden Tanzania.

Lawatan negara Tuan Presiden ialah atas undangan Cik Samia dan merupakan lawatan pertama seumpamanya oleh seorang Presiden Singapura ke negara Afrika Timur itu.

Ia juga menandakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Selari dengan pencapaian tersebut, telah tiba masanya bagi kedua-dua negara itu memperkasakan lagi hubungan dua hala, selain meneroka bidang baru bagi kerjasama, kata Tuan Presiden.

Di tengah-tengah situasi global semasa apabila peraturan antarabangsa, institusi dan amalan kerjasama berdepan tekanan, negara-negara mesti menangani masalah dengan penuh tekad dan bukan dengan keraguan, tambahnya.

“Kita perlu memberi tindak balas dengan membina jambatan – termasuk antara Asia dengan Afrika, serta dalam kalangan negara yang percaya bahawa keterbukaan dan perkongsian masih menawarkan jalan terbaik untuk melangkah ke depan.”

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian antara Singapura dengan Tanzania yang akan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk aliran perdagangan, kredit karbon dan pembangunan kemahiran.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) juga menandatangani perjanjian dengan kementerian luar Tanzania untuk menilai semua aspek hubungan dua hala antara kedua-dua negara, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Tuan Presiden menyatakan bahawa Singapura dan Tanzania sedang bekerjasama untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, iklim dan daya tahan, serta antara rakyat dengan institusi kedua-dua negara.

Setibanya di Ikulu, Tuan Presiden disambut dengan upacara sambutan rasmi yang merangkumi tembakan hormat 21 das.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk memperluas hubungan dengan Afrika sedang negara ini memperkukuh dan memperluaskan rangkaian perkongsian globalnya.

Pada November 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melawat Habsyah, di mana beliau mengumumkan bahawa Singapura bakal membuka sebuah kedutaan di ibu kota Addis Ababa.

Afrika merupakan rantau kedua paling pesat berkembang di dunia, dan dijangka menjadi rantau yang mencatat pertumbuhan terpantas menjelang 2029.