Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Faktor gaji, bonus dorong separuh responden pertimbang untuk tukar kerja

Dec 29, 2025 | 3:42 PM
Sekitar dua pertiga (64 peratus) pekerja sedang meninjau peluang pekerjaan baru, namun hanya 22 peratus daripada mereka aktif mencari pekerjaan.
Sekitar dua pertiga (64 peratus) pekerja sedang meninjau peluang pekerjaan baru, namun hanya 22 peratus daripada mereka aktif mencari pekerjaan. - Foto fail

Sebilangan pekerja di Singapura iaitu sebanyak 53 peratus merancang untuk meninggalkan pekerjaan mereka jika mereka tidak berpuas hati dengan kenaikan gaji atau bonus yang ditawarkan syarikat, menurut tinjauan firma khidmat sumber manusia, Randstad Singapore.

Meskipun begitu, hanya 28 peratus responden yakin dapat memperoleh kenaikan gaji dan pangkat, dengan kenaikan gaji tahunan pekerja dijangka kekal sederhana di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Ini merupakan dapatan daripada Prospek Pasaran Kerja dan Panduan Gaji 2026 oleh Randstad Singapore, yang meninjau 500 responden di negara ini bagi menilai jangkaan dan sikap pekerja terhadap pekerjaan mereka.

Tinjauan itu turut mendapati 64 peratus pekerja menjangkakan kenaikan gaji kurang daripada 5 peratus, manakala 15 peratus menjangkakan gaji mereka tidak akan dinaikkan.

Ketika syarikat terus menumpukan perhatian kepada pengoptimuman kos, daya penghasilan dan kecekapan pada 2026, penanda aras gaji akan berubah mengikut industri, bergantung kepada permintaan dan bekalan kemahiran yang dicari, kata pengarah negara bagi Randstad Singapore, Encik David Blasco.

“Dalam beberapa sektor yang memerlukan pekerja berkemahiran dengan segera, syarikat mungkin menawarkan pakej gaji lebih tinggi, namun mobiliti bakat tetap terhad,” katanya.

Sektor kejuruteraan, perkhidmatan kewangan dan sains hayat menunjukkan daya tahan, dengan permintaan bagi “peranan bernilai tinggi”, menurut tinjauan itu. 

Ini termasuk peranan dalam sektor kejuruteraan robotik dan automasi, pembiayaan hijau dan pelaburan mampan, serta biopembuatan, lapor The Straits Times (ST).

Majikan menghadapi pasaran buruh yang sengit, dengan nisbah jawatan kosong melebihi bilangan penganggur setakat Jun, kata Randstad Singapore.

Sekitar dua pertiga (64 peratus) pekerja sedang meninjau peluang pekerjaan baru, namun hanya 22 peratus daripada mereka aktif mencari pekerjaan.

Baki 41 peratus adalah pencari kerja pasif, yang terbuka kepada peluang baru namun tidak mencari pekerjaan secara aktif.

Menurut tinjauan itu, pencari kerja pasif biasanya memberi kesan ketara dengan menunjukkan prestasi kerja yang baik serta kadar pengekalan pekerjaan lebih tinggi.

“Oleh kerana mereka masih bekerja dan tidak terdesak untuk mendapatkan gaji (lebih tinggi), keputusan mereka untuk menukar pekerjaan dibuat secara terancang dan berpandukan kerjaya, yang lazimnya membawa kepada kadar pengekalan pekerja lebih tinggi,” menurut kajian itu.

“Selain itu, tanpa tekanan untuk ‘mengangkat’ diri, bakat pasif lazimnya lebih jujur mengenai keupayaan dan jangkaan mereka,” tambahnya.

Dari segi keutamaan pencari kerja, Randstad Singapore mendapati 43 peratus responden berkata mereka terbuka membuat pertukaran kerjaya ke jawatan yang mempunyai tanggungjawab serta gaji hampir sama dengan jawatan sedia ada mereka.

Selain itu, 19 peratus responden didapati terbuka mengambil jawatan kontrak dan hanya 10 peratus daripada mereka sanggup mengambil pekerjaan baru dengan pangkat lebih rendah atau gaji lebih kecil.

Selain gaji, pekerja kini menilai syarikat berdasarkan manfaat menyeluruh dan budaya tempat kerja.

Meskipun bonus prestasi berada di tangga teratas sebagai manfaat paling dihargai, manfaat berkaitan masa seperti waktu kerja fleksibel dan lokasi juga mendapat penilaian tinggi.

Beban kerja yang boleh diurus dan masa pekerjaan yang munasabah menjadi teras persepsi pekerja terhadap keseimbangan pekerjaan dengan kehidupan, menurut tinjauan itu.

“Pertubuhan yang secara konsisten mengharapkan pekerja melakukan tugas selepas waktu kerja, menyebabkan bakat yang sangat mementingkan masa dan kehidupan peribadi menjauhkan diri,” tambah kajian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg