Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan pekerjaan di S’pura naik seganda pada suku ketiga

Oct 30, 2025 | 6:26 PM
pekerjaan, naik, seganda, Singapura
Dari segi prospek pekerjaan, peratusan syarikat yang merancang untuk mengambil pekerja meningkat sedikit kepada 44.1 peratus, sementara pertumbuhan gaji dijangka sederhana. - Foto ST

Bilangan individu yang mempunyai pekerjaan melonjak pada suku ketiga 2025, apabila pertumbuhan pekerjaan semakin pesat dan kadar pemberhentian kerja kekal mantap.

Menurut data awal pasaran buruh yang dikeluarkan pada 30 Oktober, jumlah keseluruhan pekerjaan di Singapura bagi tempoh Julai hingga September meningkat kepada 24,800 pekerjaan, lebih seganda berbanding peningkatan 10,400 pekerjaan, pada suku kedua.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), pertumbuhan ini lebih kukuh daripada jangkaan, dengan peningkatan disumbangkan oleh warganegara, Penduduk Tetap (PR) serta bukan penduduk.

“Pertumbuhan pekerjaan dijangka kekal positif tetapi tidak seragam antara sektor, dengan sentimen pengambilan pekerja yang sedikit lebih kukuh.

“Pekerjaan penduduk kekal tertumpu dalam sektor kesihatan, perkhidmatan sosial, dan kewangan,” tambah MOM.

Namun, angin kencang ekonomi sejagat terus memberi kesan kepada sektor berorientasikan eksport, menyebabkan pertumbuhan pekerjaan dalam maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan profesional kekal lembap, jelas laporan The Straits Times (ST).

Bilangan pemberhentian pekerja kekal mantap pada 3,500 orang, dengan penyusunan korporat menjadi punca utama.

MOM menambah kadar pengangguran kekal rendah pada 2.8 peratus bagi warganegara dan PR, dan 3 peratus bagi warganegara sahaja, sejajar dengan tahap tahun-tahun bukan kemelesetan antara 2015 dengan 2019.

Peningkatan pekerjaan dalam kalangan penduduk bercampur-campur antara sektor pada suku ketiga, di mana perdagangan borong menunjukkan penurunan ketara.

Bagi bukan penduduk, pekerjaan menurun dalam maklumat dan komunikasi, khidmat karyawan dan perdagangan borong, tetapi meningkat dalam pembinaan dan perkilangan, didorong pemegang permit kerja.

Dari segi prospek pekerjaan, MOM menyatakan sebahagian syarikat yang menjangka akan mengambil pekerja meningkat sedikit kepada 44.1 peratus, berbanding 43.7 peratus pada suku sebelumnya.

Ini menunjukkan keyakinan pasaran buruh yang sederhana tetapi positif.

Namun, jangkaan ini berbeza antara sektor, dengan industri berorientasikan eksport kekal berhati-hati.

“Bahagian syarikat yang merancang menaikkan gaji (19.3 peratus) terus menurun di kebanyakan sektor, manakala beberapa sektor eksport mungkin menyaksikan lebih banyak pemberhentian pekerja,” tambah MOM.

Menurut MOM, trend ini menunjukkan pertumbuhan pekerjaan akan terus positif.

Walau bagaimanapun, kenaikan gaji dijangka sederhana berikutan tekanan kos.

Pertumbuhan pekerjaan dalam kalangan penduduk pula dijangka lebih perlahan berbanding bukan penduduk, memandangkan kadar penyertaan tenaga kerja penduduk sudah tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg