Jumlah kerja kosong yang tidak diisi di Singapura terus berkurangan pada 2025, turun kepada 69,200 pada September daripada 76,900 pada Jun dan 81,100 pada Mac.
Angka tersebut telah menyederhana daripada paras tinggi pada 2022 – apabila terdapat 124,200 kerja kosong pada Mac tahun itu – menuju ke paras yang dilihat sebelum pandemik Covid-19, menyusuli pertumbuhan pekerjaan pada suku selanjutnya secara berturut-turut.
Demikian menurut perangkaan dalam laporan pekerja suku ketiga yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 11 Disember.
Meski berkurangan, jumlah kerja kosong tetap melebihi bilangan pencari kerja pada September, dengan nisbah kerja kosong kepada individu yang menganggur berada pada 1.49 – naik daripada 1.35 pada Jun.
Menurut laporan itu, penyederhanaan dalam jumlah kerja kosong pada 2025 itu dipacu oleh jumlah lebih rendah pekerja yang meletak jawatan serta kadar pengambilan pekerja yang lebih perlahan, dan bukannya pemberhentian pekerja atau pengangguran yang meningkat.
“Ini menunjukkan pihak firma sedang mengendalikan jumlah kakitangan melalui pengurangan pekerja secara semula jadi (mungkin atas sebab seperti persaraan dan peletakan jawatan), dan bukannya secara aktif mengurangkan jumlah kakitangan.
“Kakitangan, yang melihat terdapat kurang peluang, juga kurang kerap bertukar pekerjaan. Akibatnya, pergerakan pekerja berkurangan,” ujar laporan itu.
Penurunan dalam jumlah kerja kosong itu dilihat merentas kebanyakan sektor.
Sektor khidmat kewangan serta khidmat kesihatan dan sosial – yang menyaksikan pertumbuhan dalam bilangan pekerja sedang lebih banyak kerja kosong diisi – turut mengalami penurunan dalam kerja kosong.
Beberapa sektor lain turut menunjukkan tanda-tanda permintaan pekerja yang lebih perlahan, termasuk perdagangan borong serta khidmat pentadbiran dan sokongan.
Laporan menunjukkan kerja kosong bagi peranan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) kekal mantap pada 23,000 bagi September – lebih tinggi berbanding 20,400 dalam tempoh yang sama pada 2024.
Sekitar 34 peratus daripada semua kerja kosong merupakan peranan PME, dengan 23.6 peratus dalam sektor pertumbuhan seperti infokom, khidmat kesihatan dan sosial, serta pengangkutan dan penyimpanan.
Kerja kosong bagi peranan bukan PME juga telah menyederhana tetapi angkanya kekal lebih tinggi daripada PME pada 44,800, terutama bagi peranan seperti pemandu, pekerja pembersihan dan pekerja buruh.
Menurut laporan MOM, isu jurang pekerjaan masih berterusan.
“Pencari kerja bagi pekerjaan dalam peranan PME seperti dalam bidang teknologi, kejururawatan dan logistik kekal berkurangan, manakala peranan pentadbiran, kerani dan khidmat pelanggan mempunyai bekalan pencari kerja yang berlebihan.
“Kekurangan peranan bukan PME mencerminkan hambatan pekerjaan – seperti permintaan fizikal atau kerja syif,” tambah laporan itu.
Dalam pada itu, laporan tersebut menunjukkan kadar pengambilan pekerja bulanan secara purata adalah pada 1.8 peratus dalam suku ketiga – lebih rendah berbanding purata 2.1 peratus sepanjang 2015 hingga 2025.
Kadar peletakan jawatan bulanan secara purata pula adalah 1.2 peratus dalam suku ketiga, juga lebih rendah berbanding purata suku tahunan, dari 2015 hingga 2025, iaitu 1.6 peratus.
Laporan itu berkata kadar peletakan jawatan yang lebih rendah mengurangkan jumlah kerja kosong gantian, dan oleh itu, “penyederhanaan kerja kosong boleh berlaku meskipun ketika pengangguran kekal rendah”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg