Ekonomi Singapura berkembang pada kadar lebih baik daripada jangkaan – sebanyak 5.4 peratus pada suku ketiga 2024.
Ini berbanding tempoh yang sama pada 2023, mendorong pemerintah menaikkan unjuran pertumbuhannya bagi 2024.
Pertumbuhan suku ketiga mengatasi kedua-dua anggaran awal rasmi sebanyak 4.1 peratus dan pengembangan 3 peratus yang disemak naik pada suku kedua, lapor The Straits Times.
“Pertumbuhan pada suku ketiga didorong terutamanya oleh sektor pembuatan, perdagangan borong serta kewangan dan insurans, yang sebahagiannya disokong oleh peningkatan dalam kitaran elektronik global,” kata Dr Beh Swan Gin, Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), pada 22 November.
MTI menaik taraf unjuran pertumbuhannya bagi 2024 kepada “sekitar 3.5 peratus” berbanding 2 hingga 3 peratus sebelum ini, selepas mengambil kira pertumbuhan 3.8 peratus yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama 2024 serta keadaan global terkini dan domestik.
Pertumbuhan pada 2023 ialah 1.1 peratus.
“Memandangkan momentum kukuh bagi baki suku tahun ini (2024), kami tidak boleh menolak kemungkinan pertumbuhan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) boleh lebihi 3.5 peratus tahun ini,” kata Dr Beh.
Namun, memandangkan ketidaktentuan ekonomi sedunia yang semakin meningkat termasuk ketidakpastian terhadap dasar pentadbiran Encik Donald Trump, ekonomi Singapura dijangka berkembang sebanyak 1 kepada 3 peratus pada 2025, kata MTI.
Amerika Syarikat menyumbang lebih 10 peratus daripada perdagangan Singapura dan lebih 20 peratus daripada pelaburan Singapura.
Amerika menikmati lebihan dagangan dengan Singapura.
Risiko kelemahan 2025 termasuk peningkatan konflik geopolitik yang boleh membawa kepada ketidaktentuan harga minyak dan dasar yang lebih tinggi yang boleh melembapkan pelaburan dan perdagangan global, seterusnya membebankan pertumbuhan sejagat, kata MTI dalam tinjauan ekonomi terbarunya.
Gangguan kepada proses disinflasi (pengurangan kadar inflasi) sejagat boleh membawa kepada keadaan kewangan yang lebih ketat, yang berpotensi mencetuskan kelemahan terpendam dalam sistem kewangan.
Pertumbuhan ekonomi keseluruhan dalam kalangan rakan dagangan utama Singapura dijangka berkurangan sedikit daripada paras 2024.
Pertumbuhan di Amerika berkemungkinan sederhana disebabkan kelembapan dalam pertumbuhan penggunaan apabila keadaan pasaran tenaga kerja terus reda.
Zon Euro berkemungkinan bertambah baik berikutan pertumbuhan penggunaan yang kukuh dan pemulihan beransur-ansur dalam pelaburan apabila kadar faedah diturunkan.
Di Asia, pertumbuhan China diunjurkan menjadi sederhana sejajar pertumbuhan eksport yang lebih lemah akibat kenaikan tarif yang telah diumumkan.
Negara-negara ekonomi utama Asia Tenggara dijangka menyaksikan pertumbuhan yang stabil, didorong sebahagiannya oleh peningkatan permintaan elektronik global.
“Berdasarkan ini, prospek pertumbuhan sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan di Singapura kekal positif,” kata Dr Beh.
Kelompok elektronik dijangka terus berkembang, disokong permintaan semikonduktor global yang kukuh.
Ini akan memberi kesan limpahan positif ke atas kelompok kejuruteraan jitu dan sektor perdagangan borong.
Pada masa yang sama, tempahan kukuh dalam segmen kejuruteraan aeroangkasa, marin dan luar pesisir dijangka memacu pertumbuhan dalam kelompok kejuruteraan pengangkutan.
Sektor perkhidmatan berorientasikan luar seperti maklumat dan komunikasi serta sektor kewangan dan insurans diunjurkan mencatat pertumbuhan yang sihat.
Sektor berkaitan pelancongan seperti sektor penginapan akan mendapat manfaat daripada pemulihan berterusan dalam ketibaan pelawat antarabangsa, tambah Dr Beh.
Sebaliknya, pertumbuhan dalam sektor pengguna seperti perdagangan runcit dan sektor perkhidmatan makanan dan minuman berkemungkinan terus terjejas apabila lebih ramai penduduk tempatan melancong ke luar negara, dan pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam ketibaan pelawat antarabangsa dan perbelanjaan pelancong yang lemah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg