Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Kos insurans perubatan S’pura dijangka naik 12% pada 2025

Dec 4, 2024 | 12:45 PM
Di rantau Asia-Pasifik, syarikat insurans menjangkakan kos insurans perubatan meningkat 12.3 peratus tahun depan (2025), naik daripada 11.9 peratus pada 2024.
Di rantau Asia-Pasifik, syarikat insurans menjangkakan kos insurans perubatan meningkat 12.3 peratus tahun depan (2025), naik daripada 11.9 peratus pada 2024. - Foto ST

Kos insurans perubatan di Singapura diunjur kekal tinggi, dengan peningkatan 12 peratus dijangka pada 2025, berdasarkan penemuan Tinjauan Trend Perubatan Global WTW yang dikeluarkan pada 3 Disember.

Di rantau Asia Pasifik (Apac) yang lebih luas, syarikat insurans menjangkakan kos perubatan meningkat 12.3 peratus pada 2025, meningkat daripada 11.9 peratus pada 2024.

Namun Cik Audrey Tan, ketua kesihatan dan faedah bagi syarikat WTW di Singapura dan Asia Tenggara, berkata kadar inflasi perubatan negara ini nampaknya bergerak ke “trend yang stabil” pada tahun akan datang, lapor The Business Times.

Mereka yang ditinjau oleh WTW berkata peningkatan kos perubatan di seluruh rantau ini dijangka berterusan dalam masa terdekat.

Lebih daripada tiga perempat syarikat insurans di Apac menjangkakan trend kos perubatan yang tinggi atau lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Secara global, lebih 64 peratus syarikat insurans menjangkakan perkara ini.

Dalam bidang permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, 62 peratus syarikat insurans di Apac menjangkakan ia akan menjadi lebih tinggi atau lebih tinggi dengan ketara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Faktor dalaman utama yang mendorong peningkatan kos secara global datang daripada pengamal perubatan yang mengesyorkan terlalu banyak perkhidmatan, tinjauan itu mendapati.

Ini termasuk preskripsi ubat dan amalan diagnostik yang berlebihan, yang membawa kepada kos yang tidak perlu dan berlebihan.

Faktor lain termasuk kos teknologi perubatan baru yang lebih tinggi dan tekanan yang berpanjangan ke atas penyedia penjagaan kesihatan swasta akibat sistem penjagaan kesihatan awam yang tidak dapat menampung permintaan.

Walau bagaimanapun, separuh daripada syarikat insurans Apac yang ditinjau tahun lepas (2023) oleh WTW berkata bahawa telekesihatan menjadi pendekatan yang berkesan untuk menguruskan kos.

Tinjauan itu juga menyatakan bahawa kos kesihatan mental dan farmasi dijangka meningkat dengan ketara di Apac.

“Kos farmasi yang tinggi boleh dikaitkan dengan penduduk yang semakin tua dan peningkatan penyakit kronik dalam kalangan penduduk di pasaran Asia, seperti Singapura,” kata Cik Tan.

“Ini sejajar dengan kos tinggi bagi farmaseutikal dan biologi baru untuk rawatan terapi lanjutan, penggunaan ubat mahal berjenama yang dianggap lebih baik daripada ubat generik, dan masalah rantaian bekalan dan inflasi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg