Pekerja Singapura boleh menjangkakan peningkatan gaji sebenar yang lebih baik pada 2025, di tengah-tengah jangkaan peningkatan dalam pertumbuhan daya penghasilan tenaga kerja dan inflasi yang mereda, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 28 Oktober.
Namun, kenaikan gaji nominal, tidak seperti gaji sebenar dan tidak mengambil kira inflasi, mungkin lebih kecil selepas bergerak perlahan pada separuh pertama 2024.
Walaupun pengambilan pekerja dijangka kekal teguh, MAS, dalam kajian makroekonomi yang diterbit dua kali setahun, memberi amaran bahawa sesetengah golongan pekerja mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran mereka.
Ia mengetengahkan golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang diberhentikan, serta pekerja yang lebih tua, sebagai kumpulan yang mempunyai kadar kemasukan semula ke dalam pekerjaan yang lebih rendah berbanding purata sebelum pandemik Covid-19, lapor The Straits Times.
Hanya 53.2 peratus PMET telah kembali bekerja pada suku kedua 2024 dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan, turun daripada purata kadar kemasukan semula sebanyak 62.6 peratus antara 2015 dengan 2019.
Bagi pekerja berusia 50 tahun ke atas, kadar itu adalah 41.6 peratus pada suku kedua 2024, turun daripada purata 55 peratus dalam tempoh yang sama (2015 hingga 2019).
Ketidakpadanan antara pekerjaan yang ada dengan tahap kemahiran atau jangkaan pekerja juga boleh membawa kepada risiko pekerja tidak mempunyai pekerjaan, kata MAS.
Ini berlaku dalam suasana pasaran pekerja yang kurang ketat dan kurang bergolak, dengan majikan lebih bersedia mengekalkan pekerja manakala pekerja yang ada lebih berhati-hati untuk meninggalkan pekerjaan.
Namun begitu, MAS menambah bahawa keadaan kewangan majikan kelihatan semakin kukuh dalam suku kebelakangan ini, yang boleh membawa kepada peningkatan dalam penciptaan pekerjaan.
Pertumbuhan lebihan operasi kasar majikan pulih pada separuh pertama 2024, selepas pertumbuhan negatif empat suku berturut-turut pada 2023, katanya.
“Aktiviti ekonomi yang semakin kukuh seharusnya memberikan sedikit dorongan kepada permintaan tenaga kerja dan menyediakan sokongan jika ada sebarang kelemahan dalam pasaran pekerja.”
Bagaimanapun, ia juga menyatakan bahawa rangsangan kepada permintaan tenaga kerja daripada peningkatan pertumbuhan tidak mungkin besar.
“Berikutan pengambilan pekerja yang agresif dan beberapa penimbunan tenaga kerja sejak dua tahun lalu, firma mungkin mempunyai sedikit kapasiti dalam tenaga kerja sedia ada mereka untuk menampung permintaan yang lebih kukuh tanpa peningkatan yang besar dalam pengambilan pekerja.
“Selain itu, peningkatan baru-baru ini dalam pertumbuhan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) sebahagian besarnya didorong oleh sektor pembuatan elektronik berintensif modal, yang tidak akan memberi kesan kepada permintaan tenaga kerja dengan ketara.”
Sementara itu, permintaan tenaga kerja yang semakin sederhana pada separuh pertama 2024, berbanding 2023, telah menurunkan pertumbuhan gaji nominal, yang tidak mengambil kira inflasi, kepada 4.1 peratus pada suku kedua 2024, daripada kadar “tinggi yang tidak dijangka” 6.4 peratus pada suku sebelumnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg