Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAS: Pakar naikkan ramalan pertumbuhan ekon S’pura kepada 5%
Pakar ekonomi sektor privet telah menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi 2026 kepada 5 peratus, berbanding 3.5 peratus sebelum ini, menyusuli lonjakan mengejut dalam eksport dan hasil pengeluaran perkilangan pada separuh pertama 2026.
Tinjauan suku tahunan terkini Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang meninjau peramal profesional telah diterbitkan pada 2 September.
Laporan MAS itu dikeluarkan menyusuli langkah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 11 Ogos yang menaikkan ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kepada antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus, berbanding 2 hingga 4 peratus sebelum ini, di tengah-tengah lonjakan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) global.
Enterprise Singapore (EnterpriseSG) pada 11 Ogos turut menaikkan ramalan Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (Nodx) bagi 2026 kepada antara 14 peratus dengan 16 peratus, berbanding ramalan awal 3 hingga 5 peratus.
Langkah itu mencerminkan prestasi separuh pertama yang sangat kukuh diterajui oleh sektor elektronik.
Ekonomi Singapura berkembang 5.9 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2026, menyusuli pertumbuhan 6.3 peratus pada suku pertama.
Responden dalam tinjauan terkini MAS itu menaikkan ramalan bagi sektor perkilangan kepada 8.4 peratus, didorong oleh lonjakan 17 peratus dalam Nodx Singapura.
Pertumbuhan ini dicatatkan di tengah-tengah permintaan tinggi terhadap perkakas elektronik berkaitan AI seperti semikonduktor dan mesin pembuatannya.
Ini merupakan peningkatan ketara berbanding ramalan pada Jun lalu, iaitu 5 peratus bagi sektor perkilangan dan 6.1 peratus bagi Nodx.
Kesemua pakar ekonomi dalam tinjauan itu mengenal pasti peningkatan dalam sektor teknologi yang didorong oleh AI sebagai pemacu utama prospek ekonomi Singapura, yang mampu menaikkan lagi pertumbuhan GDP.
Pada masa yang masa, konflik di Timur Tengah yang semakin reda atau menemui penyelesaian serta pertumbuhan global lebih kukuh daripada jangkaan boleh memberi dorongan positif kepada ekonomi negara.
Namun, tinjauan itu turut menyenaraikan risiko kemerosotan terhadap prospek ekonomi Singapura sekiranya perang ke atas Iran yang kini telah berlarutan selama enam bulan semakin meruncing atau berpanjangan.
Tinjauan itu turut menyerlahkan kerentanan Singapura sekiranya ‘gelembung AI’ pecah – iaitu kemerosotan pasaran akibat pelaburan dan harga saham AI yang terlampau tinggi melebihi keuntungan sebenar – yang boleh memberi kesan limpahan kepada pasaran kewangan.
