Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: Pegawai AI di firma tersenarai S’pura masih terhad meski dorongan AI kian meningkat
Tinjauan: Pegawai AI di firma tersenarai S’pura masih terhad meski dorongan AI kian meningkat
Tinjauan: Pegawai AI di firma tersenarai S’pura masih terhad meski dorongan AI kian meningkat
Walaupun 76 peratus firma global telah melantik Ketua Pegawai Kecerdasan Buatan (CAIO) yang khusus, peranan peringkat tinggi ini masih jarang ditemui dalam kalangan syarikat tersenarai di Singapura.
Dapatan ini diperolehi daripada tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh Institut Nilai Perniagaan IBM dan Oxford Economics, melibatkan temuramah bersama 2,000 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di seluruh dunia.
Walaupun laporan itu tidak menyertakan senarai penuh, entiti antarabangsa seperti bank HSBC (berpangkalan di London) dan Meta Platforms telahpun menempatkan pegawai AI khas.
Namun di Singapura, jawatan seumpama ini masih merupakan satu kelainan, bukan satu kebiasaan.
“Peranan CAIO khusus di peringkat pemimpin kanan (C-level) dalam syarikat tersenarai di Singapura masih sesuatu yang jarang berlaku,” kata rakan kongsi di pejabat Singapura bagi firma penasihat kepimpinan Heidrick & Struggles, Encik John Young.
Beliau berkhidmat dalam amalan teknologi dan perkhidmatan global firma berkenaan.
Jelas Encik Young, meskipun Singapura membina momentum kebangsaan yang kukuh dalam kepimpinan AI, banyak syarikat masih mengambil pendekatan yang berhati-hati untuk mewujudkan jawatan kepimpinan AI yang khusus.
Ini dapat dilihat melalui pelantikan Dr He Ruimin sebagai CAIO Singapura, yang memantau usaha negara bagi membangun dan melaksanakan strategi AI Singapura, serta penubuhan Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Daripada perbincangan yang kami jalankan di lapangan, banyak organisasi bersikap berhati-hati untuk mengehadkan skop AI di bawah seorang eksekutif tunggal,” katanya.
Hal ini berlaku walaupun para eksekutif menyedari kepentingan strategik AI yang semakin meningkat.
Tinjauan Keyakinan CEO dan Lembaga Pengarah 2026 oleh Heidrick & Struggles mendapati bahawa 44 peratus pemimpin Asia-Pasifik mengenal pasti AI sebagai salah satu isu paling signifikan yang dijangka bakal dihadapi oleh organisasi mereka pada 2026.
Manakala, sekitar separuh daripada mereka menyatakan keyakinan terhadap keupayaan masing-masing untuk menguruskan cabaran AI.
Meskipun peranan CAIO dalam kalangan syarikat tersenarai di Singapura amat terhad, kepantasan keupayaan AI yang kian memuncak mendorong syarikat untuk menilai semula struktur pasukan kepimpinan serta pengagihan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin kanan.
“Para CEO yang menghasilkan keputusan nyata daripada transformasi AI bukan sekadar menerapkan AI dengan lebih pantas, malah mereka membentuk semula organisasi untuk menyatukan bakat terbaik dengan teknologi terbaik,” kata Naib Presiden Kanan di IBM Consulting, Encik Mohamad Ali.
Menurut laporan IBM tersebut, kesemua CEO daripada organisasi yang mempunyai CAIO menjangkakan peningkatan dalam pengaruh peranan berkenaan menjelang 2030.
Di Singapura, syarikat perkhidmatan teknologi diterajui AI, NCS Group baru-baru ini melantik Encik Edward Chen sebagai pegawai AI utama pertamanya.
Encik Chen berkata peranan tersebut diwujudkan bagi memacu strategi AI syarikat dengan tumpuan dan penyelarasan lebih tinggi.
“Peranan ketua pegawai AI ini diwujudkan bagi mempercepatkan cara NCS membangun dan membawa platform serta produk AI ke pasaran, di samping memperluaskan penerapan dan transformasi AI dalam kalangan pelanggan serta operasi kami,” jelas beliau.
Bagaimanapun, ramai yang lebih selesa menyerapkan elemen AI ke dalam portfolio sedia ada daripada mewujudkan kerusi baharu.
Ahli majlis pentadbiran merangkap pengerusi bersama jawatankuasa teknologi dan digital di Institut Pengarah Singapura (SID), Encik Ivan Ng, berkata hal ini kerana kejayaan penerapan AI bergantung kepada “penyepaduan lebih luas merangkumi data, platform, operasi dan tadbir urus”.
Mengulas perkara ini, Encik Young berkata:
“Dalam kebanyakan kes, syarikat mungkin menganggap ia lebih praktikal untuk meluaskan skop tugas Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Ketua Pegawai Teknologi (CTO), serta pemimpin digital atau inovasi sedia ada, memandangkan para eksekutif ini sememangnya sudah menyelia prasarana teknologi asas, tadbir urus, program transformasi dan pasukan pelaksanaan yang diperlukan untuk menerapkan AI secara berkesan.”
