Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Sentimen niaga susut bagi suku ketiga

Sektor pengilangan dan perdagangan borong yang paling suram, menurut Indeks Optimisme Perniagaan
Jun 17, 2025 | 3:04 PM
Indeks Optimisme Perniagaan (BOI), Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB)
Indeks Optimisme Perniagaan (BOI) oleh Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB) menunjukkan sentimen perniagaan dalam kalangan firma setempat telah merosot kepada paras terendah dalam hampir dua tahun pada suku ketiga 2025. - Foto ST

Sentimen keyakinan perniagaan dalam kalangan firma setempat telah merosot kepada paras terendah dalam hampir dua tahun pada suku ketiga 2025, dengan sektor pengilangan dan perdagangan borong yang paling suram, menurut Indeks Optimisme Perniagaan (BOI) oleh Biro Kredit Komersial Singapura (SCCB).

Berdasarkan data dikeluarkan pada 17 Jun, BOI merosot buat dua suku berturut-turut bagi suku ketiga 2025 – daripada +5.20 mata peratusan pada suku kedua kepada +4.30 mata peratusan bagi suku ketiga.

Jika dibandingkan dengan setahun yang lalu (2024), BOI turun daripada +4.94 mata peratusan pada suku ketiga 2024 kepada +4.30 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Hanya satu daripada enam penunjuk BOI – harga jualan – yang meningkat, daripada +8.80 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada +10.83 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Sementara itu, kedua-dua penunjuk jumlah jualan dan keuntungan bersih susut daripada +6.40 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada +5.19 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Penunjuk tempahan baru pula merosot daripada +3.20 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada +2.40 mata peratusan pada suku ketiga 2025, manakala tahap inventori kekal menguncup pada -0.80 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Penunjuk tahap pekerjaan juga jatuh – daripada +7.20 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada +2.99 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Jika berdasarkan dari tahun ke tahun, dua daripada enam penunjuk telah mencatatkan peningkatan.

Penunjuk harga jualan meningkat daripada +7.41 mata peratusan pada suku ketiga 2024 kepada +10.83 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Sementara itu, walaupun kekal menguncup, tahap inventori naik daripada -1.48 mata peratusan pada suku ketiga 2024 kepada -0.80 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

SCCB berkata sentimen dalam sektor pengangkutan dan kewangan merupakan yang paling optimistik, manakala sektor pengilangan dan perdagangan borong pula suram bagi suku ketiga 2025.

Dalam sektor pengangkutan, sentimen kekal positif dalam kesemua enam penunjuk, manakala sektor kewangan menyaksikan sentimen sederhana sedikit walaupun ia kekal optimistik dengan lima daripada enam penunjuk positif.

Sebaliknya, sentimen dalam kalangan syarikat pengilangan kekal suram, dengan dua daripada enam penunjuk negatif – tempahan baru kekal dalam zon penguncupan pada -5.88 mata peratusan, manakala tahap inventori turun daripada 0 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada -5.88 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Sentimen dalam sektor borong pula terus sederhana, dengan hanya satu dalam enam penunjuk negatif – tahap pekerjaan kekal dalam zon negatif walaupun naik daripada -6.67 mata peratusan pada suku kedua 2025 kepada -3.85 mata peratusan pada suku ketiga 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCCB, Cik Audrey Chia, berkata tinjauan keseluruhan dalam kalangan syarikat tempatan telah merosot dengan ketara sejak beberapa bulan lalu disebabkan ketidakpastian sejagat yang ketara dan risiko ke bawah (‘downside risks’ atau risiko kehilangan nilai dalam pelaburan selepas mengambil kira keadaan pasaran).

“Sektor pengilangan dan perdagangan borong yang bergantung pada pasaran luar paling terjejas ekoran pendedahan kepada pasaran global.

“Sedang tarikh akhir yang akan datang bagi tarif Amerika Syarikat semakin dekat, kesan perdagangan berkemungkinan akan menjadi lebih teruk, meningkatkan kos perniagaan dan potensi kelembapan dalam keseluruhan kegiatan ekonomi,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg