Hampir separuh daripada pekerja di Singapura berasa terlalu penat selepas bekerja sepanjang hari, menurut satu tinjauan terbaru syarikat penyedia teknologi kesihatan, Telus Health.
Hasil tinjauan yang melibatkan 1,000 pekerja itu menunjukkan bahawa para pekerja menghadapi risiko meningkat untuk mengalami ‘burnout’ atau keletihan melampau, selain perlunya menyediakan sokongan kesihatan mental yang lebih baik, menurut syarikat itu, lapor The Straits Times (ST).
Seseorang mengalami ‘burnout’ apabila terdedah kepada tekanan berpanjangan yang mengakibatkan kelelahan dari segi pemikiran, tubuh badan dan emosi.
Laporan yang dikeluarkan pada 13 Jun menunjukkan bahawa sebanyak 47 peratus pekerja di Singapura berasa letih dari segi mental atau fizikal disebabkan pekerjaan mereka.
Rasa penat adalah salah satu daripada tiga gejala utama ‘burnout’.
Dua lagi gejala ‘burnout’ ialah prestasi berkurangan dan sikap sinis, kata pengarah Telus Health bagi Asia, Encik Haider Amir.
Telus Health, sebuah divisyen Telus Corporation, adalah penyedia khidmat teknologi kesihatan yang berpangkalan di Canada. Ia mempunyai lebih 10,000 pekerja yang kebanyakannya berkhidmat di Canada, Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.
Kajian tersebut mendapati bahawa dua pertiga daripada pekerja di sini mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada tiga penunjuk ‘keletihan melampau’, dengan mereka berusia bawah 40 tahun adalah tiga kali ganda lebih berkemungkinan berasa sangat letih berbanding pekerja berusia lebih 50 tahun.
Kumpulan pekerja yang sama juga hampir seganda lebih berkemungkinan berasa sukar mengekalkan minat dan motivasi untuk melakukan kerja mereka, berbanding pekerja berusia lebih 50 tahun.
Punca utama pekerja mengalami keletihan adalah kerja yang terlalu banyak - ini dinyatakan 27 peratus responden.
Sebab lain yang menyebabkan pekerja berasa letih termasuk mempunyai terlalu banyak tuntutan peribadi (16 peratus), rasa kurang dihargai (13 peratus) dan kebimbangan mengenai hilang pekerjaan atau kurang sokongan bagi pekerjaan mereka (9 peratus).
Menurut Telus Health, data tersebut dikumpul daripada satu tinjauan dalam talian pada April, sambil menambah bahawa responden diambil bekerja dalam tempoh enam bulan sebelumnya, dan mewakili profil penduduk di sini.
Syarikat itu mengeluarkan laporan sedemikian setiap bulan, dengan setiap laporan meneliti aspek kerja berlainan, contohnya, budaya dan prestasi, dan kaitannya dengan kesihatan dan produktiviti.
Telus Health menggunakan data tersebut untuk menghasilkan Indeks Kesihatan Mental bagi April, yang meneliti sifat pekerja termasuk produktiviti kerja, kebimbangan, pengasingan, kemurungan, sikap optimis, kesihatan psikologi dan risiko kewangan, serta hubung kaitnya dengan keletihan dan dorongan untuk bekerja.
Semua sifat kesihatan mental, selain kebimbangan dan risiko kewangan, merosot dari Januari 2024.
Dilancarkan pada 2022, indeks tersebut mengukur status kesihatan mental pekerja dewasa ketika ini, dan bertujuan membantu perniagaan dan pemerintah menilai keperluan sokongan kesihatan mental, selain meramal risiko terhadap kos dan penghasilan.
Walaupun markah kesihatan mental pekerja di Singapura bertambah baik sejak dua tahun lalu, markah purata yang diraih masih mencerminkan “sebuah masyarakat yang sangat tertekan”.
Tinjauan tersebut juga menunjukkan bahawa lebih dua daripada lima pekerja mendapati sukar mempunyai minat dan motivasi untuk melakukan kerja mereka, dengan lebih 26 peratus responden berkata ia pada umumnya disebabkan mereka berasa kurang dihargai.
Sebab lain termasuk gangguan akibat masalah peribadi atau terlalu banyak perubahan di tempat kerja (kedua-duanya 19 peratus), menganggap kerja membosankan (13 peratus) dan konflik dengan rakan sekerja (9 peratus).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg