Kecederaan haba berlaku apabila badan menjadi terlalu panas dan tidak dapat menyejuk dengan berkesan.
Ini boleh berlaku jika seseorang itu terdedah di luar dalam cuaca panas bagi masa yang lama, terutama jika bekerja bawah keras atau tidak minum air secukupnya.
Walaupun keletihan fizikal boleh menjadi sebahagian daripada kecederaan haba, ia tidak sinonim dengan kecederaan haba.
Kecederaan haba meliputi pelbagai keadaan yang berkaitan dengan pendedahan kepada suhu tinggi atau kegiatan fizikal dalam persekitaran panas.
Keletihan fizikal pula adalah keadaan keletihan atau kepenatan ekoran kegiatan fizikal yang berpanjangan tanpa mengambil kira keadaan persekitaran.
Kecederaan haba: Ini disebabkan oleh pendedahan kepada suhu tinggi atau melakukan kegiatan fizikal dalam persekitaran yang panas.
Ia termasuk kekejangan haba, keletihan haba, pengsan akibat kecederaan haba, ruam panas dan strok haba.
Kecederaan haba boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran, contohnya cuaca panas, atau kegiatan fizikal dalam keadaan panas.
Keletihan fizikal: Ini merujuk kepada keletihan yang melampau atau kehabisan rizab tenaga akibat kegiatan fizikal yang berpanjangan.
Ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan persekitaran, termasuk cuaca panas atau sejuk.
Keletihan fizikal mungkin melibatkan gejala seperti keletihan otot, lemah, penat, prestasi fizikal berkurang dan kadang kala dehidrasi.
Jenis kecederaan haba
Kecederaan haba adalah spektrum keadaan yang terdiri daripada kekejangan haba ringan hingga strok haba yang teruk dan ia kerap berlaku kerana pendedahan berpanjangan kepada suhu tinggi atau menggunakan tenaga fizikal dalam persekitaran panas.
Kekejangan haba: Ia merupakan kekejangan otot yang menyakitkan dan berlaku semasa atau selepas kegiatan fizikal yang berlebihan dalam keadaan panas.
Kekejangan haba lazimnya menjejas otot yang letih kerana giat bekerja dan berpeluh. Ini disebabkan kehilangan cecair dan garam/elektrolit melalui peluh, menyebabkan ketidakseimbangan mineral seperti natrium, kalium dan magnesium.
Keletihan haba: Keletihan haba adalah lebih serius daripada kekejangan haba dan boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada suhu tinggi bagi tempoh yang lama, seringkali disertai dehidrasi.
Gejalanya mungkin termasuk berpeluh berlebihan, lemah, pening, loya, sakit kepala, dan pengsan.
Tanpa rawatan segera, keletihan haba boleh berkembang menjadi strok haba.
Pengsan dek haba: Ia adalah episod pengsan (syncope) dan boleh berlaku apabila tubuh anda cuba merendahkan suhu dengan melebarkan saluran darah, menyebabkan darah berkumpul di kaki dan mengurangkan aliran darah ke otak.
Ini boleh mengakibatkan pening, pitam atau pengsan, terutama apabila berdiri secara tiba-tiba selepas berada dalam keadaan duduk dalam tempoh yang lama atau berbaring dalam keadaan panas.
Ruam haba: Juga dikenali sebagai ruam panas atau miliaria, ia berlaku apabila saluran peluh tersumbat dan peluh terperangkap di bawah kulit.
Ia sering muncul sebagai gugusan merah daripada bintik-bintik kecil atau benjolan di kulit, menyebabkan rasa gatal dan ketidakselesaan.
Ruam haba lebih biasa berlaku dalam keadaan yang panas dan lembap. Biasanya melibatkan bahagian badan yang dilitupi pakaian.
Strok haba: Strok haba adalah kecederaan haba paling serius dan merupakan keadaan kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa.
Ia berlaku apabila suhu dalaman badan meningkat ke tahap berbahaya (melebihi 40 darjah Celsius) disebabkan pendedahan berpanjangan kepada suhu tinggi atau senaman fizikal.
Gejalanya termasuk suhu badan yang tinggi, tiada peluh, degupan jantung yang cepat, keliru, gelisah, sawan dan hilang daya sedar.
Strok haba memerlukan rawatan perubatan segera dan boleh menyebabkan kerosakan organ atau kematian jika tidak dirawat segera.
Sesiapa sahaja boleh mengalami kecederaan haba dalam keadaan tertentu.
Pekerja yang bertugas di kawasan luar: Individu yang bekerja di luar, seperti pekerja pembinaan, pekebun, pekerja landskap dan kakitangan berpakaian seragam berisiko tinggi mendapat kecederaan haba kerana terdedah terlalu lama di bawah terik matahari dan suhu yang panas.
Atlet: Atlet yang berlatih atau bertanding di luar kawasan tertutup dalam keadaan panas dan lembap terdedah kepada kecederaan haba terutama jika terlibat dalam senaman fizikal yang berat tanpa air dan istirahat yang mencukupi.
Bayi dan kanak-kanak kecil: Mereka lebih terdedah kepada kecederaan haba kerana badan mereka mempunyai nisbah luas permukaan terhadap isi padu yang lebih kecil, menjadikannya lebih sukar bagi mereka mengawal suhu badan dengan cekap.
Selain itu, mereka mungkin tidak dapat menyampaikan atau menyatakan rasa tidak selesa atau mencari kelegaan daripada suhu yang tinggi.
Warga emas: Golongan lebih berusia mungkin mempunyai keupayaan yang berkurangan untuk mengawal suhu badan ekoran faktor seperti ubat-ubatan, penyakit kronik atau kurang pergerakan.
Mereka juga mungkin kurang sedar tanda penyakit berkaitan haba atau mungkin tidak mendapatkan bantuan apabila mengalami gejala.
Individu dengan keadaan perubatan kronik: Mereka yang berpenyakit kronik seperti penyakit jantung, penyakit paru-paru, kencing manis, gemuk atau gangguan tiroid, mungkin berisiko lebih tinggi mengalami kecederaan haba kerana badan mungkin sulit mengawal suhu atau mengimbangi kehilangan cecair.
Suhu panas: Pendedahan kepada cuaca panas dan lembap meningkatkan risiko kecederaan haba, terutamanya apabila digabungkan dengan kegiatan fizikal atau lama terdedah kepada matahari.
Kelembapan tinggi: Tahap kelembapan yang tinggi menyukarkan peluh untuk menyejat daripada kulit, menjejas keupayaan tubuh menyejukkan badan dengan cekap dan meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba.
Kegiatan fizikal yang berat: Terlibat dalam senaman yang berat dalam keadaan panas boleh menyebabkan cepat kehilangan cecair dan garam/elektrolit melalui peluh, meningkatkan risiko kecederaan haba seperti kekejangan haba, keletihan haba atau strok haba.
Kehilangan cecair: Pengambilan cecair yang tidak mencukupi atau kehilangan cecair yang berlebihan melalui peluh, muntah, atau cirit-birit boleh menyebabkan dehidrasi, mengganggu keupayaan badan mengawal suhu dan meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba.
Usia: Bayi dan kanak-kanak kecil, serta warga emas berisiko lebih tinggi menghadapi kecederaan haba disebabkan faktor seperti kurang keupayaan mengawal suhu badan, kurang sedar rasa haus dan masalah kesihatan.
Keadaan perubatan yang kronik: Keadaan perubatan tertentu seperti penyakit jantung, penyakit paru-paru, kencing manis, obesiti, gangguan tiroid dan penyakit autoimun, boleh menjejas keupayaan badan mengawal suhu atau meningkatkan kerentanan kepada dehidrasi, meningkatkan risiko kecederaan haba.
Ubat-ubatan: Sesetengah ubat, termasuk diuretik, antihistamin, penyekat beta (beta-blocker) dan merawat kemurungan boleh menjejas keupayaan tubuh mengawal suhu, meningkatkan kehilangan cecair atau mengurangkan rasa dahaga, menjadikan individu lebih mudah terdedah kepada penyakit berkaitan haba.
Penggunaan alkohol dan dadah: Penggunaan alkohol dan dadah boleh menjejas pertimbangan, mengurangkan kesedaran tentang gejala berkaitan haba, dan meningkatkan risiko dehidrasi, menjadikan individu lebih terdedah kepada kecederaan haba.
Pakaian dan alat perlindungan: Memakai pakaian ketat dan tebal, peralatan pelindung atau pakaian seragam yang mengehadkan pelepasan haba atau menghalang penyejatan peluh boleh meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba terutama semasa kegiatan fizikal dalam persekitaran panas.
Kecederaan berkaitan haba sebelumnya: Individu yang sebelum ini mengalami penyakit berkaitan haba, seperti kejang haba, keletihan haba atau strok haba berisiko lebih tinggi untuk berulang terutama jika langkah pencegahan tidak diambil.
Mengenal pasti dan rawatan segera terhadap gejala yang berkaitan haba adalah penting untuk mencegah komplikasi dan kesan kesihatan yang serius.
Kekejangan haba:
+ Kekejangan dan kejang otot biasanya di perut, lengan atau kaki
+ Sakit atau kekejangan pada otot yang terjejas
+ Berpeluh
+ Dahaga
Keletihan haba:
+ Banyak berpeluh
+ Lemah atau letih
+ Mabuk atau pening kepala
+ Loya atau muntah
+ Sakit kepala
+ Kejang otot
+ Kulit sejuk dan lembap
+ Degupan jantung yang pantas
+ Air kencing berwarna gelap (menunjukkan kekeringan atau dehidrasi)
Sinkop haba
+ Pitam atau pening apabila bangun dan berdiri dengan cepat
+ Pening
+ Kulit pucat atau sejuk
+ Denyutan nadi yang laju
Ruam haba:
+ Kelompok bintik-bintik kecil merah atau benjolan pada kulit
+ Rasa gatal atau semut-semut
+ Tidak selesa atau rengsa
Strok haba (kecemasan perubatan yang mengancam nyawa):
+ Suhu badan yang tinggi (biasanya melebihi 40 darjah Celsius)
+ Tidak berpeluh
+ Degupan jantung yang kencang
+ Pernafasan yang cepat dan pendek
+ Kulit panas, kemerahan, kering (kurang berpeluh)
+ Rasa bingung, gelisah, atau keliru
+ Sakit kepala yang teruk
+ Loya atau muntah
+ Pening atau pitam
+ Sawan
+ Hilang sedar
Walaupun kecederaan haba ringan seperti kejang haba atau ruam haba mungkin menyebabkan rasa ketidakselesaan, kecederaan haba yang lebih serius seperti keletihan haba atau strok haba pula boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan cepat.
Kecederaan haba ringan (contoh seperti kekejangan haba, ruam haba):
+ Kecederaan haba ringan biasanya berasa tidak selesa tetapi jarang mengancam nyawa.
+ Kekejangan haba boleh menyakitkan tetapi biasanya diatasi dengan berehat, hidrasi dan pengisian semula elektrolit.
+ Ruam haba boleh menyebabkan gatal atau rengsa tetapi biasanya hilang dengan sendirinya dengan pengudaraan yang lebih baik dan kebersihan kulit.
Kecederaan haba sederhana (contohnya seperti keletihan haba)
+ Kecederaan haba sederhana seperti keletihan haba boleh membawa kepada ketidakselesaan dan gangguan ketara tetapi biasanya boleh diatasi dengan campur tangan segera.
+ Jika tidak dirawat, keletihan haba boleh berkembang menjadi strok haba, terutama dalam keadaan panas dan lembap atau semasa kegiatan fizikal yang berterusan.
Kecederaan haba teruk (contohnya strok haba):
+ Strok haba adalah satu keadaan kecemasan perubatan dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan serta-merta.
+ Strok haba berlaku apabila sistem pengawalan suhu badan gagal, menyebabkan suhu badan meningkat ke paras berbahaya.
+ Strok haba boleh mengakibatkan kerosakan organ, kecederaan otak dan kematian jika tidak disejukkan dengan segera dan dirawat.
Dengan mengikuti langkah pencegahan ini dan kekal berwaspada dalam keadaan panas, anda boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba dan kekal selamat dan sihat semasa suhu tinggi.
Menjaga hidrasi: Minum banyak air sepanjang hari, walaupun tidak berasa haus. Elak minum minuman keras, minuman bergula dan berkafein, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi.
Kerap berehat: Jika anda bekerja atau bersenam dalam keadaan panas, kerap berehat di kawasan teduh atau berhawa dingin untuk menyejukkan badan. Elakkan penat berlebihan dan jangan terlalu memaksa diri untuk bekerja atau bersenam untuk mengelakkan panas berlebihan.
Pakai pakaian yang sesuai: Pakai pakaian yang tipis, longgar dan berwarna cerah bagi membolehkan peluh menyejat dan membantu elakkan kesejukan.
Hadkan kegiatan luar: Atur jadual kegiatan luar, bersenam atau bekerja semasa cuaca tidak panas seperti pada awal pagi atau lewat petang. Elak kegiatan lasak semasa waktu paling panas, biasanya antara 10 pagi dengan 4 petang.
Gunakan pelindung matahari: Sapukan krim pelindung matahari dengan jumlah SPF sekurang-kurangnya 30 peratus pada kulit yang terdedah, dan sapukan semula dengan sekerap mungkin terutama jika anda berpeluh atau berenang. Cari tempat teduh untuk mengurangkan pendedahan kepada sinaran matahari dan risiko selaran matahari.
Sesuaikan keadaan sekitaran: Jika anda tidak biasa dengan cuaca panas atau kegiatan fizikal semasa panas, aklimatisasi diri secara beransur-ansur dengan menghabiskan masa yang singkat di luar dan secara beransur-ansur meningkatkan pendedahan anda selama beberapa hari.
Luangkan masa di dalam rumah: Menghabiskan masa di bangunan berhawa dingin atau menggunakan kipas untuk pengudaraan dan menurunkan suhu di dalam. Jika anda tidak mempunyai akses kepada hawa dingin di rumah, kunjungi tempat awam seperti pusat membeli-belah, perpustakaan atau pusat masyarakat agar kekal sejuk.
Pantau keadaan cuaca: Ikuti maklumat terkini tentang ramalan cuaca dan amaran haba di kawasan anda. Ambil langkah berjaga-jaga yang sesuai apabila suhu tinggi, dan sedar tentang risiko berkaitan haba semasa gelombang haba.
Pantau individu lebih terdedah: Perhatikan saudara mara warga emas, kanak-kanak yang masih muda dan orang lain yang mungkin lebih terdedah kepada penyakit berkaitan haba.
Hulurkan bantuan, pantau secara kerap dan pastikan mereka mempunyai akses kepada persekitaran yang sejuk dan banyak cecair.
Kenali tanda-tanda cedera haba: Biasakan diri dengan tanda-tanda dan gejala penyakit yang berkaitan dengan haba seperti kekejangan haba, keletihan haba, dan strok haba.
Dapatkan rawatan perubatan segera jika anda atau orang lain menunjukkan tanda-tanda kecederaan haba.
Penulis ialah Pakar Perubatan Kakitangan Kanan Pusat Perubatan Sukan dan Senaman Singapura, Hospital Besar Changi;
Timbalan Pengarah Promosi Kesihatan dan Pencegahan Penyakit, Pejabat Kesihatan Serantau SingHealth;
Pengarah, Komuniti Pusat Perubatan Sukan dan Senaman SingHealth-Duke Universiti Nasional Singapura (NUS);
Pengarah, Program Komuniti, Senaman adalah Perubatan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg