Kadar penduduk yang bekerja dan mereka yang aktif mencari pekerjaan terus merosot untuk empat tahun berturut-turut, sekaligus mencerminkan penduduk yang semakin menua di Singapura.
Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November, golongan ini merosot kepada 68.2 peratus pada 2024 berbanding 70.5 peratus pada 2021 dan turun lagi kepada 67.9 peratus pada 2025.
Namun begitu, kadar penyertaan tenaga pekerja (LFPR) –merangkumi penduduk berusia 15 tahun dan ke atas yang bekerja dan yang mencari pekerjaan – merentas kebanyakan kumpulan usia kekal stabil atau lebih tinggi berbanding 2024.
Misalnya, statistik menunjukkan LFPR bagi kumpulan usia 25 hingga 54 tahun kekal stabil pada 90.5 peratus pada 2024 dan 90.3 peratus pada 2025. Sementara itu, bagi kumpulan usia 55 hingga 64 tahun, ia meningkat sedikit daripada 72.6 peratus kepada 73.1 peratus dalam tempoh yang sama.
Meskipun turun untuk empat tahun berturut-turut, Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025 menyatakan bahawa LFPR Singapura terus kekal sebagai antara yang tertinggi di dunia – di tempat ketujuh, mendahului negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) lain seperti Switzerland, Estonia, Australia dan Canada.
Pengarah di Jabatan Penyelidikan dan Statistik Tenaga Manusia MOM, Encik Ang Boon Heng, dalam satu taklimat media pada 26 November turut menambah bahawa LFPR Singapura juga diimbangi dengan usaha menggalak penduduk sertai semula tenaga kerja, termasuk golongan wanita yang telah menyaksikan kadar penyertaannya meningkat.
Ini selain usaha untuk mengekalkan pekerja dalam tenaga kerja, seperti dengan meningkatkan usia persaraan.
Data menunjukkan LFPR bagi wanita dalam kalangan penduduk berusia 25 hingga 64 tahun telah meningkat sepanjang sedekad lalu, mencapai 80.7 peratus pada 2024 dan 80.5 peratus pada 2025, berbanding 74.1 peratus pada 2015.
LFPR bagi lelaki pula kekal stabil – daripada 92.7 peratus pada 2015 kepada 91.8 peratus pada 2024 dan juga 2025.
Selain tahap pendidikan lebih tinggi, Encik Ang berkata terdapat faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan LFPR wanita, termasuk perubahan dalam sikap sosial dan kesediaan lebih banyak khidmat penjagaan kanak-kanak, sambil menambah pihaknya menjangkakan kadar tersebut meningkat dalam tahun-tahun mendatang.
Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa kadar pekerja yang memiliki pekerjaan tetap – termasuk sepenuh masa dan sambilan – mencapai paras tertinggi yang baru pada 90.8 peratus, dengan kenaikan dilihat dalam kebanyakan industri.
Ini termasuk sektor pertumbuhan seperti khidmat profesional, khidmat kesihatan dan sosial, dan infokom.
Sektor tersebut juga menyaksikan perwakilan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) lebih tinggi, yang menyumbang kepada kenaikan keseluruhan jumlah PMET dalam kalangan penduduk yang bekerja – daripada 63.8 peratus pada 2024 kepada 64.2 peratus pada 2025.
Trend tersebut menunjukkan peralihan jangka panjang yang berterusan ke arah peranan berkemahiran lebih tinggi yang dipacu peningkatan dalam kelayakan pendidikan tenaga kerja, menurut laporan.
Buat julung-julung kalinya, MOM turut mengumpulkan data baru pada 2025 untuk memahami trend pengalaman kerja di luar negara oleh tenaga kerja penduduk.
Dapatan menunjukkan sekitar 3.1 peratus, atau 76,000, penduduk dalam tenaga kerja pernah bekerja di luar negara sepenuh masa untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ini.
Pengalaman bekerja di luar negara juga paling biasa dalam kalangan individu pertengahan kerjaya dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an tahun, berperanan pengurus, dan yang membawa pulang gaji bulanan sekurang-kurangnya $30,000.
Kebanyakan mereka bekerja dalam peranan profesional, seperti karyawan perniagaan dan pentadbiran, dan karyawan sains dan kejuruteraan, dan dalam sektor berorientasikan luaran, seperti perkilangan, khidmat kewangan dan insurans, serta infokom.
Hampir satu dalam lima, atau 18.3 peratus, daripada mereka pernah bekerja China; 13.6 peratus di Amerika Syarikat; dan 10.1 peratus di Malaysia.
“Dunia semakin saling terhubung…dan kita memerlukan orang yang mempunyai pendedahan dan pengalaman…. Kita ingin cuba menggalak pemikiran sedemikian. Oleh itu, kita perlu tahu tentang saiz tenaga kerja penduduk kita (di luar negara), berapa ramai orang yang sudah ada pengalaman luar negara, supaya kita boleh melakarkan dasar yang sesuai,” kata Encik Ang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg