Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan UOB: 4 dalam 5 pengguna Asean manfaatkan AI bagi keputusan kewangan
Pengguna S’pura paling jarang guna AI untuk kegiatan kewangan setiap hari
Tinjauan UOB: 4 dalam 5 pengguna Asean manfaatkan AI bagi keputusan kewangan
Kira-kira empat dalam lima pengguna di rantau Asean didapati pernah membuat keputusan kewangan berpandukan nasihat atau cadangan kecerdasan buatan (AI), dengan kebanyakannya melaporkan hasil yang positif, lapor satu tinjauan UOB.
Pengguna dari Vietnam dan Indonesia mendahului pasaran sebagai kumpulan yang mencatatkan hasil positif tertinggi daripada keputusan kewangan dibantu AI.
Demikian mengikut Kajian Sentimen Pengguna Asean UOB 2026 yang dikeluarkan pada 14 September.
Singapura pula merekodkan jumlah pengguna tertinggi yang berkata mereka tidak akan membuat keputusan kewangan besar dengan berpandukan nasihat AI semata-mata.
Pengurusan kekayaan digital kini telah menjadi arus utama, dengan lebih 60 peratus pelanggan baharu dalam segmen pengurusan kekayaan UOB datang daripada wadah digital, kata Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Kumpulan di UOB, Cik Jacquelyn Tan.
“Penggunaan (wadah) digital ini akan terus kekal, malah ia turut menjadi titik permulaan bagi ramai pengguna muda untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka,” katanya.
Kajian UOB yang dijalankan pada Jun itu melibatkan 5,000 pengguna dari Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Dalam tinjauan berkenaan, UOB mendapati 91 peratus pengguna serantau menggunakan alat digital untuk mengurus kekayaan, seperti bagi menjejak aliran tunai, merancang matlamat kewangan, melabur, serta memantau portfolio dan analisis kewangan.
Tinjauan itu turut mendapati hampir separuh daripada pengguna di rantau Asean menggunakan AI setiap hari untuk kegiatan kewangan.
Namun, pengguna Singapura didapati paling jarang menggunakan AI untuk kegiatan kewangan, dengan hanya 38 peratus menggunakannya setiap hari.
Ini berbanding 55 peratus pengguna di Vietnam yang menggunakan AI setiap hari.
Pengguna di rantau ini kebanyakannya menggunakan AI untuk membuat perbandingan produk dan memahami maklumat kewangan.
Bagi mereka, ciri-ciri perbankan AI yang paling dihargai termasuk peringatan mengenai sasaran simpanan, amaran perbelanjaan berlebihan, serta cadangan pelaburan yang diperibadikan.
Namun, tinjauan itu mendapati bahawa pihak bank masih memegang kelebihan berbanding AI dalam aspek kepercayaan.
Sebanyak 76 peratus pengguna percaya bank utama mereka bertindak demi kepentingan terbaik mereka, berbanding 68 peratus bagi alat berasaskan AI seperti ChatGPT.
Namun, jurang ini kelihatan semakin mengecil di Vietnam, dengan 76 peratus pengguna berkata mereka percaya kepada bank utama mereka, berbanding 72 peratus bagi alat berasaskan AI.
Memandangkan keputusan dan penyelesaian kewangan kini menjadi semakin rumit, pengguna turut menghargai nasihat daripada manusia, dengan kira-kira 67 peratus pengguna serantau sedang berurusan dengan atau sedang mencari penasihat kewangan secara aktif.
“Peranan dan sokongan penasihat manusia menjadi keutamaan apabila risiko kewangan paling tinggi,” kata Cik Tan.
“Pengguna menganggap alat digital dan penasihat manusia saling melengkapi antara satu sama lain,” tambahnya.
