Usaha baharu bagi membantu perniagaan makanan dan minuman (F&B) menyepadukan proses kecerdasan buatan (AI) dalam aliran kerja mereka telah dilancarkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan UOB pada 15 Julai.

Mengumumkan Program Penyepaduan AI dan Digital F&B dalam ucapan pembukaannya di acara Restaurant Asia 2026, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, berkata perniagaan yang mengambil bahagian akan meraih dua manfaat utama.

Pertama, mereka akan menerima khidmat nasihat daripada UOB SME Banking bagi mengenal pasti penyelesaian AI dan digital yang paling sesuai dengan keperluan mereka.

Kedua, EnterpriseSG akan menyediakan pembiayaan sehingga 50 peratus bagi pelbagai penyelesaian AI dan perkhidmatan penyepaduan digital.

Menurut lembaran fakta bersama UOB dan EnterpriseSG, program itu mempunyai panel awal tiga penyedia penyelesaian, iaitu OpenMinds, PayBoy dan VisionTech.

Mereka menawarkan perkhidmatan merangkumi penyepaduan sistem perniagaan, automasi aliran kerja, pembantu AI dan alat penglibatan pelanggan.

Lebih banyak penyedia dijangka akan ditambah dari semasa ke semasa.

Cik Low berkata matlamat program itu adalah untuk “membolehkan perusahaan F&B menggunakan dan menyepadukan AI ke dalam perniagaan serta urusan mereka agar dapat memanfaatkan keupayaan dan kecekapannya.”

Penggunaan AI kunci kepada fasa pertumbuhan F&B yang seterusnya.

Dalam ucapannya, Cik Low, mengakui persekitaran perniagaan yang tidak menentu sedang dihadapi oleh perniagaan F&B.

Namun begitu, beliau berkata: “Cara kita bertindak balas terhadap tekanan ini akan menentukan lembaran seterusnya dalam kisah industri F&B Singapura.”

Beliau menambah AI menawarkan peluang besar untuk meningkatkan daya penghasilan dan daya saing sektor tersebut.

Cik Low memberikan contoh penggunaan AI seperti ramalan permintaan, penyusunan tenaga kerja, pengurusan inventori dan automasi tugasan.

AI juga mampu meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi pengalaman yang lebih peribadi.

“Manfaatnya amat besar. Namun, untuk memperoleh manfaat AI memerlukan lebih daripada sekadar menggunakan alat terkini.

“Perniagaan yang melabur dalam memahami data, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mereka bentuk semula proses akan terus maju,” tambahnya.

Cik Low berkata ramai pengendali F&B telah menerima pendigitalan melalui sistem pesanan dalam talian, alat pengurusan inventori dan platform pengurusan hubungan pelanggan.

Namun, beliau merujuk kepada tinjauan UOB yang mendapati enam daripada setiap 10 pengendali masih menggunakan penyelesaian tersebut secara berasingan, sehingga membataskan manfaat teknologi itu.

Tinjauan yang sama turut mendapati kira-kira satu daripada setiap tiga pengendali F&B masih belum menggunakan alat AI.

Bagaimanapun, 80 peratus berminat terhadap penyelesaian yang meningkatkan kecekapan urusan, manakala 70 peratus mahu alat untuk menarik pelanggan baharu dan mengukuhkan kesetiaan pelanggan.

Cik Low berkata: “Bagi banyak perusahaan F&B, cabaran terbesar mungkin bukan mencari pelbagai penyelesaian AI yang tersedia, tetapi mengenal pasti yang paling sesuai untuk perniagaan mereka dan cara memulakannya secara berkesan serta mampan.”

Beliau berkata usaha seperti program EnterpriseSG-UOB akan membantu perniagaan mengharungi perubahan AI mereka.

“Pemerintah telah menjadikan penggunaan AI sebagai keutamaan negara. Usaha ini turut meliputi sektor F&B.

“AI bukan hanya untuk syarikat besar atau syarikat teknologi, malah bagi setiap pemilik dan pengendali perniagaan,” jelasnya.