Penyedia perkhidmatan pengangkutan dan logistik sejagat, Toll Group, telah melancarkan hab penyahkarbonan pertama di Singapura pada 12 Disember, khusus untuk kapal bekalan elektrik.
Daya usaha itu dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon setiap perjalanan kapal sehingga 80 peratus, menurut kumpulan tersebut.
Ia mampu menjimatkan lebih satu tan karbon dioksida bagi setiap perjalanan, sambil “mengoptimumkan pergerakan kapal” dan meningkatkan kecekapan operasi secara menyeluruh.
Hab penyahkarbonan ialah kemudahan pusat yang memacu peralihan kepada operasi rendah karbon dengan menyepadukan teknologi tenaga bersih, prasarana dan proses mengurangkan pelepasan merentasi rantaian bekalan.
Terletak berhampiran Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Timur Singapura, hab itu membolehkan penyambungan udara-laut yang pantas, penyimpanan barangan secara bersepadu, serta akses treler yang cekap.
Ia dibangunkan dengan kerjasama Yinson GreenTech untuk memudahkan penerimaan teknologi hijau maritim secara lebih meluas, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan karbon di seluruh Asia-Pasifik.
Langkah itu menetapkan penanda aras baru bagi operasi pelabuhan yang pintar, selamat dan mampan, selaras dengan Pelan Singapura Menghijau 2030, lapor The Business Times (BT).
Ia turut membantu Toll Group mencapai sasaran sifar bersih global, jelas syarikat itu.
Hab baru tersebut menggabungkan pengangkutan marin elektrik, operasi gudang pintar, serta pengangkutan kargo yang cekap ke dalam operasi menyeluruh yang “bersambung secara digital”.
“Penyelarasan masa nyata memastikan operasi logistik (kekal) bersih dan responsif serta tahap perkhidmatan terbaik untuk pelanggan di salah satu hab logistik paling dinamik di dunia,” kata Toll Group.
Prasarana pengecasan khusus dan peralatan pengendalian kargo pintar direka untuk memaksimumkan masa operasi dan memastikan masa pengendalian kargo dapat dijangka.
“Proses yang disahkan secara digital akan menjamin pemindahan pantas, selamat dan cekap,” tambah kumpulan tersebut.
Presiden Logistik Asia di Toll Group, Encik Jonathon Kottegoda-Breden, berkata Singapura merupakan “enjin pertumbuhan penting” bagi syarikat itu, dan pelancaran tersebut mencerminkan komitmen kumpulan untuk membina rantaian bekalan yang “lebih pintar dan lebih bersih”.
“Kami sedang merintis pelan induk bagi logistik maritim mampan di serata Asia,” tambahnya.
Ditubuhkan pada 1888, Toll Group bermula sebagai sebuah perniagaan pengangkutan arang menggunakan kuda dan kereta sorong di Newcastle, New South Wales (NSW), Australia.
Syarikat itu kemudian berkembang melalui langkah pengambilalihan syarikat di serata Asia-Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg