Trust Bank mengumumkan pelancaran ciri kunci wangnya, Trust Lock, kepada pelanggan pada 26 Mac.
Ciri itu membolehkan pelanggan Trust mengunci ‘Savings Pot’ iaitu satu subakaun atau akaun kecil, untuk mengelak pengeluaran wang.
Pelanggan masih boleh mendepositkan wang ke dalam ‘Savings Pot’ yang berkunci itu, dan boleh mengunci sehingga lima ‘Savings Pot’ yang berlainan, lapor The Business Times.
Encik Aditya Gupta, ketua pegawai produk Trust Bank, berkata: “Dalam landskap penipuan yang dinamik dan berkembang pesat, kami komited untuk memastikan wang pelanggan kami selamat.”
Membuka kunci Savings Pot memerlukan pengesahan dua faktor, dengan pelanggan perlu meletakkan kad debit atau kad kredit Trust fizikal mereka pada permukaan telefon pintar yang didayakan Perhubungan Jarak Dekat (NFC) dan memasukkan nombor ‘Trust Key’ enam digit mereka.
Pengeluaran wang boleh dibuat hanya selepas 12 jam seseorang membuka kunci dana itu, sebagai lapisan keselamatan tambahan.
Pelanggan tanpa telefon pintar dengan keupayaan NFC masih boleh mengunci ‘Savings Pot’ mereka, tetapi akan dimaklumkan bahawa telefon mereka tidak menyokong NFC.
Mereka perlu mengemukakan permintaan untuk mengesahkan identiti mereka secara peribadi di Pusat Pengalaman Trust di FairPrice Xtra VivoCity.
Ini berbeza sedikit daripada ciri kunci wang yang telah dilancarkan oleh bank lain.
DBS membenarkan pelanggan mengunci jumlah wang tertentu dalam akaun semasa dan simpanan pelanggan, deposit tetap atau dalam akaun ‘DigiVault’.
UOB membenarkan pelanggan mengunci jumlah wang tertentu dalam akaun simpanan sedia ada atau Akaun ‘LockAway’ yang berasingan.
OCBC membenarkan pelanggan mengunci jumlah wang tertentu dalam akaun semasa dan akaun simpanan mereka.
Membuka kunci dana itu juga berbeza, dengan DBS memerlukan pelanggan pergi ke ATM atau cawangan bank sebelum boleh mengeluarkan atau memindahkan dana.
Bagi pelanggan OCBC, membuka kunci dana itu memerlukan lawatan ke ATM atau cawangan bank dengan kad debit atau kredit dan nombor pengenalan peribadi mereka.
Pelanggan UOB boleh membuka kunci dana mereka melalui ATM UOB.
Pasukan Polis Singapura melaporkan bahawa sekurang-kurangnya $1.1 bilion telah lesap melalui penipuan pada 2024.
Mengawal telefon pintar mangsa adalah salah satu cara penipu mencuri wang.
Ciri kunci wang telah diaktifkan untuk lebih 181,000 pelanggan, mengunci wang simpanan sebanyak $15.8 bilion setakat akhir Oktober 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg