Kekayaan peribadi global melonjak lebih 10 peratus pada 2025, kadar pertumbuhan terpantas dalam beberapa tahun. 

Menurut Laporan Kekayaan Global UBS 2026, ini disebabkan oleh pasaran ekuiti yang kukuh serta peningkatan aset bukan kewangan, kebanyakannya berkaitan hartanah, yang mengukuhkan kedudukan kewangan isi rumah. 

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kekayaan peribadi meningkat, yang secara puratanya mengatasi pertumbuhan ekonomi.

Singapura kekal sebagai salah sebuah ekonomi terkaya di dunia.

Purata kekayaan setiap orang dewasa mencecah AS$527,217 ($682,000), meletakkan Singapura di tangga keenam dunia, di belakang Switzerland, Amerika Syarikat, Luxembourg, Hong Kong dan Australia.

Bilangan jutawan dolar Amerika di sini turut meningkat 2.2 peratus atau 5,240 orang, kepada 244,000.

Jumlah kekayaan kumpulan bernilai AS$5 juta hingga AS$10 juta serta AS$10 juta hingga AS$50 juta meningkat 9.4 peratus, manakala kekayaan individu dalam kategori AS$50 juta hingga AS$100 juta naik 9.6 peratus.

Aset kewangan merangkumi 63.8 peratus daripada jumlah kekayaan kasar di Singapura.

Kekayaan di rantau Asia-Pasifik meningkat, melebihi 5.9 peratus pada 2025, dengan rantau ini menjadi sumber utama individu bernilai bersih tinggi, terutamanya di Greater China dan Asia Tenggara. 

Lebih 100,000 jutawan baharu dicatatkan di rantau ini, yang mengekalkan kira-kira satu pertiga daripada kekayaan global, kata ketua bersama pengurusan kekayaan global UBS untuk Asia-Pasifik dan ketua negara UBS Singapura, Cik Young Jin Yee.

Secara global, kekayaan peribadi meningkat 10.8 peratus dalam terma dolar Amerika pada 2025, jauh mengatasi pertumbuhan 4.6 peratus pada 2024.

Pertumbuhan agak ketara dalam segmen kekayaan melebihi AS$5 juta. Peningkatan itu lebih menonjol di pasaran seperti China, Australia dan Amerika.

Pertumbuhan kekayaan paling kukuh di Eropah dan Timur Tengah, mencecah hampir 18 peratus. Eropah Barat mencatat pertumbuhan hampir 17 peratus, manakala Eropah Timur melonjak 28 peratus. Benua Amerika pula berkembang 8.5 peratus.

Bilangan jutawan dolar Amerika melonjak ke paras tertinggi, dengan hampir sejuta jutawan baharu dicatatkan.

Ahli ekonomi UBS, Encik James Mazeau, berkata kadar pertumbuhan Asia-Pasifik yang lebih perlahan mungkin disebabkan oleh kesan tukaran mata wang dan dinamik pasaran, tetapi trend jangka panjang kekal positif. 

Beliau menegaskan bahawa angka dalam laporan ini adalah anggaran berdasarkan pelbagai statistik dan sumber data.