HONG KONG: UBS Group telah mengecilkan pejabat kemampanannya di Asia dengan mengurangkan bilangan pekerja sebanyak separuh dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Ia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula sejagat yang lebih luas, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Bank yang berpangkalan di Zurich itu telah mengurangkan pasukannya di Asia daripada tujuh kepada tiga pekerja, kata sumber tersebut yang ingin namanya dirahsiakan.

Pemberhentian itu melibatkan tiga pekerja di Hong Kong, dengan dua daripadanya merupakan pengarah eksekutif, serta seorang pengarah bersekutu berpangkalan di Singapura.

UBS telah mengurangkan fungsi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) bank berikutan penyepaduan dengan firma perkhidmatan kewangan, Credit Suisse.

Tenaga kerja global di bawah pejabat ketua kemampanan telah mengecil kepada sekitar 35 pekerja berbanding lebih 100 pada pertengahan 2023, kata salah seorang sumber itu.

Jurucakap UBS enggan mengulas mengenai langkah pengurangan kakitangan tersebut secara khusus, namun berkata bank tersebut sedang mengubah cara ia mengendalikan fungsi berkaitan ESG.

“Cita-cita kami untuk meletakkan UBS sebagai peneraju dalam bidang kemampanan kekal tidak berubah,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

“Kami sedang menerapkan elemen kemampanan merentas kumpulan bagi memperkukuh perkhidmatan, meningkatkan daya penghasilan, mengelakkan pertindihan (tugas) serta menyokong pelanggan dan perniagaan kami pada skala lebih besar.”

Ketua penasihat pasaran kemampanan dan kecerdasan buatan (AI) Asia-Pasifik, Encik Brendan Tu, yang menerajui usaha menerapkan unsur kemampanan dalam perbankan pelaburan, telah meletak jawatan untuk meneroka peluang kerjaya lain.

Tempat beliau akan diambil alih oleh Encik Mathieu Brand, yang akan meneruskan peranan mengendalikan sektor industri globalnya, menurut memo bertarikh 4 Jun yang disahkan oleh seorang jurucakap. 

Langkah pemberhentian kerja itu dilaksanakan berikutan tindakan bank global lain yang turut mengurangkan strategi kewangan khusus ESG, yang sebahagiannya didorong oleh peralihan dalam politik dan kawal selia di Amerika Syarikat.

Institusi kewangan Wall Street berdepan tekanan daripada tindak balas kumpulan konservatif Amerika terhadap mandat mesra alam, di samping dorongan pembubaran kawal selia lebih luas.

Goldman Sachs Group telah menggugurkan sasaran kepelbagaian daripada fail kawal selianya pada 2025, manakala HSBC menunda sasaran pengurangan pelepasan karbonnya dan Standard Chartered Bank pula menyuarakan tentang cabaran dalam memenuhi beberapa sasaran iklim.

UBS juga telah keluar daripada Perikatan Perbankan Sifar Bersih (NZBA) menyusuli tindakan serupa oleh beberapa bank global utama lain.

Langkah pemberhentian di Asia itu melibatkan kakitangan di Hong Kong, pengarah eksekutif, Cik Esther Tsang dan Cik Fang Zhu, dan pengarah bersekutu, Cik Samantha So, serta pengarah bersekutu di Singapura, Cik Umadevi Dassaye.

Pasukan yang kini terdiri daripada tiga orang itu, dianggotai Encik Tasos Zavitsanakis, yang sebelum ini merupakan ketua bersama kewangan mampan Asia-Pasifik, dan pengarah bersekutu, Encik Aubin Huret.

Ketua kemampanan dan impak kumpulan bagi rantau berkenaan, Cik Valerie Lau, pula telah diberhentikan pada September 2025, kata sumber itu. – Agensi berita.