Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelombang pemberhentian kerja: Isyarat awal transformasi struktur ekonomi
Gelombang pemberhentian kerja: Isyarat awal transformasi struktur ekonomi
Penganalisis: Langkah pemberhentian pekerja beberapa syarikat gergasi di S’pura didorong tekanan kos jangka pendek dan peralihan teknologi AI
Gelombang pemberhentian kerja: Isyarat awal transformasi struktur ekonomi
Rentetan pemberhentian kerja yang berlaku di Singapura baru-baru ini mencerminkan tekanan perniagaan jangka pendek dan perubahan struktur yang lebih luas dalam syarikat merentas sektor yang berbeza, kata para penganalisis.
Namun, meskipun setiap syarikat mempunyai sebab khusus sendiri bagi memberhentikan pekerja, penganalisis yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata terdapat beberapa faktor serupa – seperti kenaikan kos, peralihan teknologi dan penyusunan semula rantaian bekalan sejagat – yang mempengaruhi keputusan tersebut dalam pelbagai sektor.
Sejak beberapa bulan lalu, beberapa syarikat di sini telah mengumumkan langkah memberhentikan pekerja di tengah-tengah pertumbuhan sejagat yang lebih perlahan dan tidak menentu di samping perkembangan pesat teknologi.
Antaranya ialah pengeluar roti, Gardenia Foods, yang akan memberhentikan 141 pekerja di kemudahan Pandan Loop kerana memindahkan operasi pengeluaran ke Johor Bahru.
Jenama pakaian dari Sweden, H&M, sebelum itu pula dilaporkan telah memberhentikan pekerja di Singapura sedang ia memindahkan ibu pejabat Asia Tenggara dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Sebelum ini juga, Meta dilaporkan mengurangkan sekitar 8,000 peranan kerja di seluruh dunia, termasuk lebih 100 jawatan di Singapura, sedang penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat gergasi teknologi itu mencetus penyusunan semula secara besar-besaran.
Bank Standard Chartered pula akan mengurangkan hampir 8,000 jawatan sokongan dalam tempoh empat tahun mendatang, dengan meningkatkan penggunaan AI bagi memperkemas operasi syarikat.
ISYARAT TRANSFORMASI
Gelombang pemberhentian kerja itu merupakan gabungan antara keputusan perniagaan yang diambil oleh syarikat individu dan peralihan struktur sejagat lebih meluas, kata Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank, Encik Saktiandi Supaat, dalam berkongsi pandangannya.
Beliau berkata sesetengah syarikat sedang menangani realiti perniagaan jangka pendek seperti tekanan kos, permintaan sejagat lebih perlahan, perubahan tingkah laku pengguna, dan keperluan penyusunan semula.
Namun, terdapat juga peralihan lebih mendalam yang sedang berlaku di peringkat sejagat, didorong pendigitalan, AI, pengaturan semula rantaian bekalan, serta pemindahan lokasi pengeluaran dan pelaburan.
“Apa yang penting adalah untuk tidak bertindak keterlaluan terhadap setiap pengumuman individu.
“Semasa fasa peralihan penyesuaian sejagat terhadap penggunaan AI ini, sesetengah sektor bergerak lebih cepat daripada sektor lain, dan kita perlu menyedari gangguan pasaran pekerja mungkin menjadi lebih kerap berlaku sedang industri menjalani transformasi,” kata beliau.
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula berpendapat walaupun gelombang pemberhentian kerja oleh syarikat yang berbeza itu boleh dilihat sebagai berlaku secara kebetulan, beliau percaya ia merupakan isyarat awal berlakunya penyusunan semula perniagaan dan ekonomi.
“Bagi menjelaskan keadaan, keputusan perniagaan seperti ini memang terpaksa dibuat dari semasa ke semasa, tetapi rentak penyusunan semula kini berlaku dengan lebih pantas dan lebih kerap. Ia amat mencerminkan isyarat zaman sekarang,” kata beliau.
Penolong Profesor dalam Ekonomi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Chua Yeow Hwee, sebaliknya menggesa orang ramai agar tidak mengtakrifkan situasi pemberhentian kerja itu sebagai petanda pasaran pekerja Singapura sedang melemah secara mendadak.
Beliau menarik perhatian kes tersebut merangkumi sektor berbeza, daripada perkilangan dan peruncitan sehinggalah kepada kewangan dan teknologi.
BEZA INDUSTRI, ADA FAKTOR SERUPA
Namun begitu, walaupun setiap kes mempunyai faktor penentu yang khusus, Dr Chua berkata terdapat beberapa tema sama di balik keputusan syarikat memberhentikan pekerja.
Ini termasuk syarikat beroperasi dalam persekitaran dengan tekanan kos lebih tinggi, permintaan luaran lebih lemah dalam beberapa pasaran, perubahan teknologi dan usaha semakin meningkat untuk mempertingkat daya penghasilan serta menyusun semula operasi.
Encik Saktiandi berkata banyak syarikat berada di bawah tekanan untuk mempertingkat daya penghasilan dan mengendalikan kos di tengah-tengah pertumbuhan sejagat lebih lemah dan tidak menentu.
Di samping itu, ada firma yang sedang menyusun semula operasi mereka dalam menentukan di mana ingin menempatkan fungsi perniagaan dan pengeluaran atas sebab kecekapan.
Penggunaan teknologi, terutamanya automasi dan AI, juga sedang mengubah jenis pekerjaan yang diperlukan syarikat, kata Encik Saktiandi.
“Ini tidak semestinya bermakna jumlah pekerjaan secara keseluruhan akan berkurangan, tetapi ia membawa maksud berlakunya anjakan dalam jenis pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan.
“Cabarannya adalah memastikan pekerja dapat beralih dengan pantas kepada peluang baharu,” tambah beliau.
Dr Tan pula menekankan konsep ‘arbitraj kos’, di mana syarikat akan sentiasa mencari lokasi lebih cekap dari segi ekonomi untuk menjalankan fungsi perniagaan tertentu seperti pengeluaran, penyelidikan dan pengembangan (R&D), sehinggalah logistik.
Bagi kes seperti Standard Chartered dan Meta, beliau berkata pemberhentian kerja berkait rapat dengan impak AI yang mampu mengurangkan bilangan pekerja di samping meningkatkan daya penghasilan keseluruhan firma.
Bagi kes seperti Gardenia Foods pula, ia dikaitkan dengan kos menjalankan perniagaan yang agak tinggi di Singapura.
Namun begitu, pakar ekonomi dan pekerja dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, memberi pandangan kritikal mengenai cara syarikat membentangkan keputusan penyusunan mereka kepada umum.
Beliau berkata buat masa ini, tiada data konkrit oleh syarikat yang menunjukkan sejauh mana AI mahupun tekanan kos menjadi punca utama pemberhentian pekerja.
Menurut beliau, menjadi satu trend yang diterima bagi syarikat memetik AI sebagai alasan transformasi – malah, melakukan demikian mampu melonjakkan harga saham – kerana ia kedengaran lebih strategik dan berpandangan jauh berbanding jika firma mengaku berdepan kelembapan perniagaan atau kesilapan strategik.
SOKONGAN PEKERJA
Meski berita pemberhentian kerja itu membimbangkan, para penganalisis berkata tumpuannya tidak seharusnya diletakkan pada ketakutan terhadap pemberhentian kerja itu sendiri, tetapi pada keupayaan pekerja yang terjejas untuk mengekalkan laluan kerjaya yang baik dan mendapat pekerjaan baharu dengan pantas.
Menjawab pertanyaan BH, Naib Presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata dari sudut pandangan pekerja, kebimbangan terbesar mereka sentiasa berkisar tentang jaminan pekerjaan dan tempoh notis pemberhentian sekiranya mereka terjejas.
Ini terutamanya bagi mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas, atau mereka yang mempunyai tahap pendidikan lebih rendah, yang mungkin mendapati ia lebih mencabar untuk mendapatkan pekerjaan seterusnya.
Encik Abdul Samad menekankan keutamaan kesatuan sekerja adalah untuk melindungi pekerjaan dan kebolehpasaran pekerja, di samping berusaha ke arah mendapatkan gaji yang lebih baik untuk mereka.
Ini termasuk melalui inisiatif seperti Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang membolehkan kesatuan bekerjasama dengan syarikat untuk mempertingkat kemahiran pekerja dan mereka semula pekerjaan untuk masa depan.
“Kami juga sentiasa menggalak pekerja untuk mengamalkan sikap terus belajar – untuk belajar kemahiran baharu dan belajar semula – supaya mereka kekal relevan dan lebih bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran kerja.
“Bagaimanapun, sekiranya syarikat terpaksa memberhentikan pekerja, kami menyeru pihak majikan agar memaklumkan kepada kesatuan lebih awal supaya kami dapat membantu pekerja yang terjejas; serta melaksanakan proses pemberhentian kerja tersebut secara adil dan penuh hormat,” kata beliau, yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Gas dan Kuasa (Upage).
Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata campur tangan awal dalam mengemudi fasa peralihan amat penting untuk membantu pekerja.
NTUC mengambil pendekatan praktikal dengan menggalak pekerja membina kemahiran sampingan, kekal terbuka kepada cara bekerja yang baharu, dan mendapatkan sokongan lebih awal – sama ada melalui bimbingan kerjaya, pemadanan kerja, latihan, atau dengan mendekati kesatuan dan agensi.
Dr Wan Rizal berkata ini amat penting sedang AI dan teknologi baharu membentuk semula cara kerja dilaksanakan merentas pelbagai sektor.
Di samping itu, e2i sedang mempertingkatkan usaha menyokong pekerja yang terjejas secara lebih proaktif, termasuk bekerjasama dengan kesatuan dan syarikat-syarikat yang mempunyai kesatuan untuk menganjurkan pameran kerja dan kegiatan pemadanan kerja yang disasarkan.
“Kuncinya adalah belas ihsan berserta kebolehlaksanaan.
“Walaupun kita tidak boleh menghentikan penyusunan semula, kita boleh dan mesti memastikan pekerja dilayan secara adil, diberikan sokongan awal, dan disediakan laluan sebenar menuju ke peluang yang seterusnya.
“Kami juga menyeru pihak syarikat untuk bekerjasama dengan NTUC bagi menggunakan AI dalam cara yang saling melengkapi tenaga kerja mereka, dan bukannya menggantikan pekerja,” kata Dr Wan Rizal.
