Syarikat insurans, Great Eastern, pada 28 Julai mencatat penurunan 11 peratus dalam keuntungan bersih suku kedua (Q2) kepada $248.2 juta, berbanding $280.4 juta dalam tempoh yang sama pada 2024.
Kumpulan tersebut menyatakan bahawa penurunan itu disebabkan oleh keuntungan yang lebih rendah daripada perniagaan insuransnya untuk suku tahun tersebut, lapor The Business Times (BT).
Untuk enam bulan yang berakhir pada Jun, keuntungan bersih meningkat 1 peratus kepada $593.7 juta berbanding $587.1 juta dalam tempoh yang sama pada 2024.
Pendapatan bagi setiap saham separuh tahun pertama meningkat kepada $1.25 daripada $1.24 sebelum ini.
Jumlah jualan baru terkumpul yang ditimbang bagi suku kedua jatuh 19 peratus kepada $363.5 juta, berbanding $448.3 juta pada 2024.
Nilai perniagaan baru yang tertanam (embedded value) meningkat 14 peratus kepada $167.7 juta daripada $146.5 juta.
Secara separuh tahunan, jumlah jualan baru terkumpul susut 27 peratus kepada $708.6 juta, berbanding $972.5 juta.
Nilai perniagaan baru yang tertanam pada suku pertama meningkat 16 peratus kepada $316.5 juta berbanding $272 juta.
Berkaitan dengan keputusan untuk memudahkan penyambungan semula dagangan saham Great Eastern yang diluluskan dalam mesyuarat agung pada 8 Julai, syarikat itu mengumumkan ia akan mengeluarkan sehingga 473.3 juta saham bonus biasa dan/atau saham Kelas C tanpa hak mengundi sekitar 19 Ogos.
Saham bonus itu dijangka akan diberikan dan dikeluarkan sebelum tarikh rekod untuk dividen interim pada 28 Ogos.
Oleh itu, dividen interim bebas cukai sebanyak 25 sen setiap saham untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025, akan diberikan kepada semua saham selepas pengeluaran saham bonus.
Ini termasuk saham bonus biasa dan saham Kelas C tanpa hak mengundi.
Ini bersamaan dengan dividen interim satu lapisan bebas cukai sebanyak 50 sen setiap saham biasa pada asas sebelum pengeluaran bonus, kata syarikat insurans itu.
Dividen interim bagi tahun kewangan 2025 akan dibayar pada 5 September.
Saham-saham Great Eastern telah digantung sejak Julai 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg