Syarikat Ascott, perniagaan penginapan CapitaLand Investment (CLI), dijangka mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan – termasuk 1,500 peranan kepimpinan hartanah – untuk menyokong pembukaan lebih 300 hartanah syarikat itu menjelang 2028.
Ia akan turut melancarkan usaha pembangunan bakat sebagai persiapan, menurut syarikat itu pada 14 Mei.
Ini berlaku sebulan selepas syarikat itu mengumumkan tiga perjanjian baru untuk menambah 600 unit kepada portfolionya di India - satu langkah yang meningkatkan jumlah portfolionya di negara itu kepada sekitar 6,100 unit dalam 22 hartanah.
Syarikat itu menyasarkan untuk meraih pendapatan berkaitan yuran berjumlah lebih $500 juta menjelang 2028.
Ascott Accelerate, sebuah program pengurusan bakat yang berstruktur dan lebih pantas untuk mempersiapkan kakitangannya yang berpotensi tinggi bagi jawatan kepimpinan, akan turut dilancarkan.
Program tersebut akan disokong oleh wadah pembelajaran digital baru, dan menawarkan latihan di semua peringkat, lapor The Business Times.
Ascott akan terus membangunkan kakitangannya, sedang perniagaannya berkembang dan dipelbagaikan, kata ketua pegawai operasi (COO) Ascott bagi Eropah, Timur Tengah, Afrika, Asia Selatan dan China, Encik Lee Ngor Houai.
“Pembangunan bakat akan terus menjadi tumpuan utama strategi kami, sedang kami berkembang ke seluruh dunia,” tambahnya.
Ascott mempunyai lebih 40 hartanah di Malaysia – termasuk yang beroperasi kini dan hartanah dalam perancangan – merangkumi kediaman servis, hotel, tempat peranginan, ruang kediaman bersama dan kediaman berjenama.
Pulau Pinang – yang menempatkan 21 hartanah ini – telah dipilih sebagai tapak pelancaran bagi program pembangunan bakat tersebut, yang turut menggambarkan peranan Malaysia dalam rancangan pertumbuhan lebih luas syarikat itu.
Pengerusi bersama Majlis Pembelajaran Ascott, dan ketua pegawai strategi dan pengarah urusan Ascott bagi Asia Tenggara, Cik Wong Kar Ling, berkata:
“Seiring dengan keperluan latihan yang terus berkembang bagi pertubuhan kami, kami juga sedang meneroka kerjasama dengan institusi layanan pelanggan terkemuka untuk meningkatkan kelayakan profesional pasukan kami.”
Selain program dan wadah pembangunan bakat tersebut, syarikat milik penuh CLI itu mempunyai inisiatif lain untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran, termasuk satu program pertukaran dan pesta pembelajaran.
Program pertukaran sejagat syarikat itu menawarkan peluang kepada kakitangannya yang berpotensi melakukan tugasan jangka pendek di luar negara bagi memperluas perspektif mereka, menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, serta belajar daripada pasukan berprestasi tinggi di seluruh rangkaian.
Bagi melengkapkan usaha tersebut, pesta pembelajaran tersebut pula membolehkan kakitangan Ascott meraih pengetahuan mengenai amalan terbaik daripada jurulatih pakar.
Pada 2024, Ascott meraih pendapatan berkaitan yuran sebanyak $343 juta - naik 12 peratus berbanding 2023.
Ia mengurus dan menawarkan perniagaan francais bagi pelbagai pilihan penginapan termasuk kediaman servis, hotel, tempat peranginan, hartanah kediaman bersama dan kediaman berjenama.
Ascott mempunyai sekitar 990 hartanah di lebih 230 bandar merangkumi lebih 40 negara, dengan dua pertiga daripadanya sudah beroperasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg