Prudential melaporkan penurunan 2 peratus dalam keuntungan perniagaan baru kepada AS$3.08 bilion ($4.10 bilion) bagi tahun kewangan berakhir Disember 2024, berbanding AS$3.1 bilion pada 2023.
Berdasarkan asas kadar tukaran berterusan, keuntungan perniagaan baru mungkin meningkat 11 peratus.
Dalam laporan kewangannya yang dikeluarkan pada 20 Mac, Prudential berkata 14 pasaran mencapai pertumbuhan dua angka dalam keuntungan perniagaan baru, diterajui oleh Hong Kong, Singapura dan Taiwan, lapor The Business Times.
Di Singapura, keuntungan perniagaan baru bagi Tahun Kewangan 2024 meningkat 15 peratus, disokong peningkatan 11 peratus dalam jualan setara premium tahunan (APE).
Syarikat insurans yang tertumpu kepada Asia itu menyaksikan pertumbuhan keuntungan perniagaan baru dalam 18 daripada 22 pasaran insurans hayatnya.
Ia berkata pertumbuhan dalam keuntungan perniagaan baru itu datang selepas pembukaan semula sempadan dengan China pada 2023.
Pertumbuhan ini juga disokong kenaikan 7 peratus dalam jualan APE dan pengembangan margin.
Keuntungan perniagaan baru bagi segmen kesihatan meningkat 11 peratus kepada AS$346 juta.
Ini diterajui oleh pertumbuhan di Hong Kong, Singapura dan Indonesia, dan disokong produk penjagaan kesihatan baru, inisiatif penetapan harga semula, serta latihan lanjut.
Keuntungan perniagaan baru Bancassurance meningkat 31 peratus kepada AS$872 juta, disokong pertumbuhan jualan dan kesan campuran produk yang positif.
Secara keseluruhan, keuntungan bagi Tahun Kewangan 2024 meningkat 41 peratus kepada AS$2.4 bilion, berbanding AS$1.7 bilion pada Tahun Kewangan 2023.
Berdasarkan kadar pertukaran berterusan, keuntungan mungkin meningkat 43 peratus.
Pengarah kumpulan itu meluluskan dividen interim kedua sebanyak AS$0.1629 sesaham.
Ini menjadikan dividen setahun penuhnya kepada AS$0.2313 sesaham – meningkat 13 peratus berbanding Tahun Kewangan 2023.
Pada 14 Mac, Prudential menyelesaikan pembelian balik saham AS$1 bilion di bawah program pembelian balik saham AS$2 bilion yang diumumkan pada Jun 2024.
“Program ini kini dijangka selesai pada penghujung 2025 dan bukannya mengikut panduan asal kami pada pertengahan 2026,” kata syarikat itu.
Ketua eksekutif, Encik Anil Wadhwani, menegaskan bahawa trend pertumbuhan jangka panjang yang wujud di Asia dan Afrika mewujudkan peluang besar bagi syarikat insurans.
Beliau menambah: “Kadar penembusan insurans di Asia adalah rendah dan terdapat permintaan yang berterusan, dan semakin meningkat, untuk produk simpanan dan perlindungan jangka panjang di seluruh pasaran kami, di samping keperluan untuk pengurusan kekayaan dan perancangan persaraan, terutama dalam pasaran Asia kami yang berpendapatan tinggi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg