Syarikat telekomunikasi StarHub mencatat keuntungan bersih $47.9 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025.
Jumlah tersebut menjunam 41.7 peratus berbanding keuntungan $82.1 juta yang diraih bagi tempoh sama pada 2024.
Keuntungan yang merosot itu termasuk satu pembayaran sekali sahaja sebanyak $14.1 juta bagi penyerahan semula hak spektrum tertentu, kata syarikat tersebut pada 14 Ogos.
StarHub mengumumkan pada 12 Ogos ia telah mengambil alih sepenuhnya perniagaan jalur lebar, MyRepublic.
Dalam perjanjian tersebut, StarHub memperoleh baki 49.9 peratus pegangan dalam MyRepublic, termasuk aset operasi utama syarikat itu di Singapura.
Pembelian tersebut dibuat sehari selepas spekulasi bahawa StarHub bakal mengambil alih syarikat M1 berakhir, apabila syarikat pengurusan aset Singapura, Keppel, mencadangkan penjualan perniagaan telekomunikasinya kepada Simba Telecom.
Harga saham StarHub turun sekitar 6.6 peratus pada hari yang sama, menyusuli berita tersebut.
Keuntungan syarikat itu merosot walaupun pendapatannya naik 2.2 peratus kepada $1.13 bilion bagi enam bulan pertama 2025, berbanding $1.1 bilion bagi tempoh sama pada 2024.
Ini disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan jalur lebar, perniagaan serantau dan keselamatan siber.
Pendapatan daripada tiga segmen tersebut masing-masing meningkat 4.4 peratus, 6.8 peratus dan 20.1 peratus, lapor The Business Times.
Pendapatan perniagaan serantau StarHub naik 6.8 peratus bagi enam bulan pertama 2025 kepada $296.1 juta, berbanding $277.3 juta bagi tempoh sama pada 2024.
Ini disebabkan peningkatan 12.8 peratus dalam perkhidmatan pengurusan, menunjukkan lebih banyak projek berjaya disiapkan melalui huraian prasarana digital moden StarHub.
Namun, ini diimbangi oleh hasil perkhidmatan hiburan yang merosot 9.1 peratus, pada umumnya kerana bilangan pelanggan berkurangan.
Selain itu, ia turut disebabkan hasil jualan peralatan yang turun 2.9 peratus.
Bilangan pelanggan telefon bimbit syarikat itu pula meningkat 8.2 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) StarHub, Encik Nikhil Eapen, berkata walaupun harga perkhidmatan yang semakin merosot mencabar daya tahan industri tersebut, syarikat itu masih berjaya mengekalkan kedudukan nombor dua di belakang Singtel dalam segmen khidmat telefon bimbit.
“Kami berhasrat untuk terus bersikap agresif merentasi jenama dan segmen dalam pasaran pengguna domestik dalam usaha menghadapi pemulihan pasaran kelak,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg