Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung suku ketiga Singtel naik kepada $1.3b

Feb 19, 2025 | 1:05 PM
Keuntungan bersih asas Singtel naik 21.6 peratus kepada $680 juta berbanding $559 juta, dan meningkat 22.7 peratus.
Keuntungan bersih asas Singtel naik 21.6 peratus kepada $680 juta berbanding $559 juta, dan meningkat 22.7 peratus. - Foto ZAOBAO

Keuntungan bersih Singtel buat suku ketiga yang berakhir pada 31 Disember meningkat sebanyak 183.4 peratus kepada $1.3 bilion, berbanding $465 juta pada tempoh sama pada 2024. 

Ini terutama disebabkan keuntungan luar biasa sebanyak $639 juta, berbanding kerugian luar biasa $94 juta pada 2024, menurut Singtel pada 19 Februari.

Bagi suku tersebut, keuntungan luar biasa dicatatkan daripada penjualan sebahagian saham dalam syarikat Intouch di Thailand dan Indara (sebelumnya dikenali sebagai Australia Tower Network), serta keuntungan daripada Airtel, lapor The Business Times.

Keuntungan bersih asas naik 21.6 peratus kepada $680 juta berbanding $559 juta.

Pendapatan operasi meningkat 1 peratus berbanding 2024 kepada $3.6 bilion, sementara keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) naik 0.9 peratus kepada $943 juta berbanding $935 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Singtel, Encik Yuen Kuan Moon, berkata:

“Optus dan NCS terus menunjukkan prestasi kukuh, manakala rakan kongsi serantau kami, Airtel dan AIS, memberi sumbangan lebih tinggi.”

Beliau menambah, kumpulan itu “akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi perniagaan dengan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan ketersambungan global.”

Bagi sembilan bulan pertama, pendapatan Singtel kekal stabil pada $10.6 bilion.

Ebitda naik 6.2 peratus kepada $2.9 bilion berbanding $2.7 bilion pada 2024, sementara keuntungan bersih turun 2 peratus kepada $2.55 bilion berbanding $2.6 bilion sebelumnya.

Penurunan dalam keuntungan bersih dikaitkan dengan “keuntungan luar biasa yang lebih rendah”.

Pada tempoh sama pada 2024, keuntungan luar biasa Singtel meningkat disebabkan keuntungan $1.2 bilion daripada pengurangan pegangan ekuitinya dalam Telkomsel.

Keuntungan bersih asas meningkat 11.3 peratus kepada $1.9 bilion berbanding $1.7 bilion pada 2024.

Singtel merancang membayar dividen sebanyak $0.165 setiap saham untuk tahun kewangan 2025.

Saham Singtel ditutup 0.3 peratus atau $0.01 lebih tinggi pada harga $3.33 pada 18 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg