UOB pada 19 Februari mengumumkan keuntungan bersih sebanyak $1.52 bilion bagi suku keempat berakhir Disember 2024, naik 8.6 peratus berbanding $1.4 bilion dalam tempoh yang sama 2023.
Ini termasuk $17 juta dalam perbelanjaan sekali sahaja daripada kos penyepaduan bank itu dengan Citigroup, selepas cukai, iaitu 81.9 peratus lebih rendah berbanding $94 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.
Pendapatan itu melebihi ramalan $1.48 bilion dalam tinjauan Bloomberg terhadap enam penganalisis.
UOB juga mencadangkan satu dividen akhir yang lebih tinggi sebanyak $0.92 sesaham untuk tempoh setengah tahun 2024, berbanding $0.85 sesaham pada 2023, menurut The Business Times.
Ini menjadikan dividen setahun penuh kepada $1.80 sesaham, mewakili nisbah pembayaran kira-kira 50 peratus.
Bank itu juga mencadangkan satu dividen khas sebanyak $0.50 sesaham.
Dividen akhir dan bahagian pertama dividen khas sebanyak $0.25 akan dibayar pada 13 Mei. Baki dividen khas akan dikeluarkan pada 28 Ogos.
Pendapatan faedah bersih bagi suku keempat 2024 meningkat 2 peratus kepada $2.45 bilion, didorong pertumbuhan pinjaman sebanyak 5 peratus.
Pendapatan yuran bersih di tahap stabil pada $567 juta.
Pendapatan bukan faedah lain meningkat 1.1 peratus pada 2024 kepada $443 juta.
Margin faedah bersih untuk suku keempat 2024 pula berada pada 2 peratus, turun berbanding 2.02 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.
Perbelanjaan operasi teras telah meningkat daripada pelaburan dalam pertumbuhan francais, dengan nisbah kos kepada pendapatan teras pada 45 peratus.
Jumlah elaun meningkat kepada $337 juta.
Nisbah pinjaman tidak berbayar UOB kekal pada 1.5 peratus pada 31 Disember 2024.
Untuk tahun penuh, keuntungan bersih meningkat 5.8 peratus kepada rekod $6.05 bilion.
Tidak termasuk kos penyepaduan Citigroup, keuntungan bersih ialah $6.23 bilion, meningkat 2.9 peratus.
Timbalan pengerusi dan ketua eksekutif UOB, Encik Wee Ee Cheong, berkata rekod keuntungan bersih kumpulan itu dipacu pendapatan yuran yang kukuh, serta “pendapatan dagangan dan pelaburan yang kukuh”.
Beliau juga jangkakan “pertumbuhan pendapatan berterusan pada 2025“.
Beliau juga yakin rantau Asean akan “kekal berdaya tahan,” disokong perbelanjaan runcit domestik yang lebih tinggi dan kemasukan pelaburan langsung asing yang lebih kukuh.
“Kedudukan pasaran yang diperkukuh dalam pasaran utama Asean kami, pangkalan pelanggan yang lebih besar dan platform yang dipertingkatkan akan meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk merebut peluang serantau di tengah-tengah penyusunan semula perdagangan global dan rantaian bekalan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg