NEW YORK: Khidmat penghantaran sejagat, United Parcel Service (UPS), akan memberhentikan sekitar 48,000 pekerjaan.
Ini sebahagian daripada langkah penyusunan semula besar-besaran berkaitan dengan rancangan pengurangan khidmat penghantaran bungkusan Amazon, menurut pegawai syarikat pada 28 Oktober.
Bilangan pemandu syarikat penghantaran itu telah berkurangan sebanyak sekitar 34,000 berbanding 2024, kata Ketua Pegawai Kewangan UPS, Encik Brian Dykes, dalam satu panggilan persidangan mengenai keputusan kewangan syarikat.
Beliau berkata sekitar satu pertiga daripada pengurangan tenaga kerja itu berlaku pada September, dengan sebahagian daripadanya dilakukan menerusi “program pemisahan sukarela”.
Selain itu, syarikat itu mendedahkan ia akan mengurangkan sekitar 14,000 pekerjaan, terutama dalam kalangan pengurusan.
Ini sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula bagi “mewujudkan operasi lebih cekap” dan lebih “responsif kepada turun naik pasaran”, menurut kenyataan media keputusan kewangan.
Setakat akhir 2024, UPS mempunyai 490,000 pekerja di seluruh dunia.
Pada Januari, UPS mengumumkan ia telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan jumlah penghantaran untuk Amazon sebanyak lebih 50 peratus menjelang separuh kedua 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UPS, Cik Carol Tome, berkata perubahan itu akan membolehkan UPS beralih daripada operasi yang tidak menguntungkan secara berperingkat.
Pada 29 Oktober, Cik Tome berkata syarikat itu juga telah menutup 19 bangunan lagi di Amerika Syarikat susulan pengurangan operasi, menjadikan jumlah lokasi yang ditutup setakat 2025 sebanyak 93 bangunan.
Para pegawai eksekutif turut mendedahkan syarikat telah menambah penggunaan automasi di 35 kemudahan mereka.
UPS melaporkan keuntungan AS$1.3 bilion ($1.7 bilion) bagi suku ketiga, turun 14.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Keuntungan syarikat pula merosot 3.7 peratus kepada AS$21.4 bilion.
Dalam pada itu, syarikat teknologi berbilang negara Amazon merancang memberhentikan sehingga 30,000 jawatan korporat mulai 28 Oktober.
Ia selaras dengan langkah syarikat itu mengurangkan perbelanjaan dan mengimbangi pengambilan pekerja berlebihan yang berlaku ketika berdepan dengan permintaan tinggi semasa pandemik.
Demikian menurut tiga sumber yang tahu tentang perkara itu.
Bilangan tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan 1.55 juta pekerja Amazon, tetapi hampir 10 peratus daripada sekitar 350,000 pekerja korporat syarikat itu.
Ia bakal merupakan langkah pemberhentian kerja terbesar Amazon sejak akhir 2022, ketika syarikat itu memotong sekitar 27,000 jawatan. – AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg