Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

URA tawar tender tapak perumahan Dairy Farm, Tanjong Rhu dan Dover

Nov 26, 2025 | 4:48 PM
URA, tapak tender, ekonomi, Tanjong Rhu
Tapak di Tanjong Rhu Road bersempadan dengan Kelab Renang Singapura di timur dan terletak dalam kawasan perumahan awam dan privet. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 26 November telah menawarkan tiga tapak kediaman untuk dijual di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi tempoh separuh kedua (H2) 2025.

Menurut URA, tapak di Dairy Farm Walk, Tanjong Rhu Road dan Dover Drive masing-masing berpotensi menghasilkan sekitar 480, 525 dan 625 unit kediaman, lapor The Business Times (BT).

Tapak itu merupakan sebahagian daripada 4,725 unit kediaman yang akan ditawarkan melalui senarai yang disahkan dalam program GLS H2 bagi memenuhi permintaan perumahan, tambah pihak berkuasa itu.

Tapak Dairy Farm Walk mempunyai keluasan tanah 29,444.2 meter persegi dan keluasan lantai kasar (GFA) maksimum sebanyak 41,222 meter persegi.

Tapak itu boleh dibangunkan sebagai kondominium atau flat. Kawasan yang bersempadan dengan sebatang terusan dan rumah berhalaman di bahagian utara hanya dibenarkan dibina hingga empat tingkat, manakala bahagian lain tapak itu boleh dibina hingga enam tingkat.

Terletak di persimpangan Dairy Farm Walk dan Dairy Farm Heights, tapak itu boleh dimasuki melalui Ekspreswe Bukit Timah (BKE), Upper Bukit Timah Road dan stesen MRT Cashew. 

Ia juga akan dihubungkan ke kawasan sekitar melalui rangkaian basikal dan pejalan kaki. Tender itu akan ditutup pada 12 tengah hari, 22 Januari 2026.

Tapak di Tanjong Rhu Road pula mempunyai keluasan tanah 12,239.2 meter persegi dan GFA maksimum 45,285 meter persegi. Ia boleh dibangunkan sebagai kondominium atau flat dengan ketinggian bangunan maksimum antara 95 meter hingga 100 meter.

Tapak itu bersempadan dengan Tanjong Rhu Road di utara dan Kelab Renang Singapura di timur, dan terletak dalam kawasan yang mempunyai perumahan awam dan privet.

Ia berhampiran stesen MRT Tanjong Rhu dan Katong Park, serta kemudahan seperti Pusat Penjaja Jalan Batu dan Sekolah Tinggi Dunman. Tender itu akan ditutup pada 5 Februari 2026, 12 tengah hari.

Tapak di Dover Drive pula mempunyai keluasan tanah 13,517.2 meter persegi dan GFA maksimum 56,773 meter persegi. Dengan ketinggian bangunan maksimum 160 meter, ia hanya boleh dibangunkan sebagai flat.

Terletak di kawasan Dover-Medway – kejiranan bandar baru dalam kawasan Greater One-North Area – tapak ini berhampiran stesen MRT One-North dan dihubungkan ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE). 

Ia ditetapkan bagi pembangunan kediaman dengan penggunaan komersial pelengkap di tingkat pertama untuk kemudahan masyarakat sekitar. Tender itu akan ditutup pada 26 Mac 2026, 12 tengah hari.

Ketua Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Encik Marcus Chu, berkata tapak Dover Road adalah lot GLS pertama yang ditawarkan dalam kawasan Dover-Medway, dan akan memberi kelebihan kepada pemaju dan pembeli sebagai peneraju awal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg