Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan kenang nasihat pensyarah ITE bagi cetus semangat peniaga lain

Pengasas Meet Ventures yang beroperasi di lebih 10 negara kongsi kisah inspirasi dalam buku ‘Inspiring Tomorrow’s Entrepreneurs’
Jan 6, 2026 | 6:03 PM
Bekas pelajar ITE Bishan, yang kini pengasas syarikat perundingan inovasi dan pelaburan, Meet Ventures, Encik Mohammed Farhan Mohd Firdaus, bertekad menggunakan bimbingan yang diperolehi ketika di bangku sekolah untuk memberi suntikan inspirasi kepada pemilik syarikat pemula lain.
Bekas pelajar ITE Bishan, yang kini pengasas syarikat perundingan inovasi dan pelaburan, Meet Ventures, Encik Mohammed Farhan Mohd Firdaus, bertekad menggunakan bimbingan yang diperolehi ketika di bangku sekolah untuk memberi suntikan inspirasi kepada pemilik syarikat pemula lain. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Mohammed Farhan Mohd Firdaus rasa terasing dan diselubungi penuh ketidakpastian ketika kali pertama melangkah kaki ke kampus lama Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Bishan, yang kini sudah tiada lagi, lebih dua dekad lalu.

Malah, anak sulung tiga beradik itu akur berasa keseorangan pada hari pertama berada di institusi tersebut, lebih-lebih lagi ketika keluarganya berdepan dengan tekanan kewangan selepas ayahnya diserang strok sewaktu beliau baru berusia 16 tahun.

Akibat kejadian itu, Encik Farhan, kini 39 tahun, yang mengambil kursus pentadbiran, menjalankan kerja sambilan demi menyara hidup keluarga tersayang.

Kesempitan hidupnya itu meraih perhatian pensyarahnya di ITE Bishan.

Mereka kemudian memberi sokongan yang mendorongnya meneruskan pelajaran meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh melemahkan semangat.

Encik Farhan memiliki Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Politeknik Singapura (SP), ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan pengkhususan Sains Politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Sarjana Keusahawanan Teknologi dan Inovasi daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

“Ketika saya di ITE Bishan, keadaan keluarga kami amat mencabar. Ibu saya menjadi pencari nafkah utama, manakala saya terpaksa memikul tanggungjawab orang dewasa lebih awal daripada rakan sebaya,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurutnya, belum ada cita-cita pun muncul di fikiran pada masa itu. Beliau hanya ingin bekerja dalam sektor korporat.

Namun, tempohnya di ITE merupakan detik yang mendorongnya memulakan perniagaan pada 2019.

Dengan sokongan yang diterima, termasuk kata-kata dorongan dan peluang yang mendedahkan beliau kepada alam perniagaan, Encik Farhan menubuhkan syarikat perundingan dan pelaburan, Meet Ventures.

Meet Ventures merupakan syarikat pelaburan permulaan pada peringkat awal serta firma penasihat akses pasaran, yang memberi tumpuan kepada Asia.

Ia menetapkan aspirasi membantu pengasas perniagaan di seluruh Asia dalam merealisasikan impian keusahawanan mereka.

Selain berpangkalan di Singapura, ia juga beroperasi di Indonesia, Malaysia, Hong Kong, China, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan, Brunei dan Filipina.

Kisah kembara niaga Encik Farhan merupakan antara 60 kisah alumni ITE yang diketengahkan dalam buku Inspiring Tomorrow’s Entrepreneurs, yang bertujuan menyuntik inspirasi buat bakal usahawan muda.

“Pengalaman menerima bimbingan dan kepercayaan daripada pensyarah di ITE meninggalkan kesan yang mendalam buat saya. Pensyarah saya dapat melihat potensi seseorang, termasuk dalam dunia perniagaan.

“Apa yang saya lakukan kini lebih pada membuat janji temu bersama klien di pejabat saya yang terletak di Bugis Junction Towers.

“Saya memberi nasihat dan panduan bagi para usahawan baru yang ingin memulakan langkah dalam bidang keusahawanan di samping memberi mereka galakan.

“Saya harus berterima kasih kepada pensyarah saya di ITE sebab mereka mungkin tidak tahu sejauh mana saya boleh berjaya pada masa itu tetapi mereka tetap yakini kebolehan saya dan memberi peluang kepada saya.

“Dorongan mereka merupakan sesuatu yang saya bawa hingga hari ini,” katanya lagi.

Meskipun baru beroperasi kurang sedekad, beliau bersyukur syarikat yang dimulakan dengan modal yang sederhana telah menebarkan sayap ke lebih 10 negara.

“Saya sendiri tidak bermula dengan modal yang besar. Namun, lazimnya saya meminta usahawan baru sediakan modal tidak melebihi $50,000 bagi memulakan sesuatu perniagaan.

“Ramai pengasas syarikat muda ini bijak dan berbakat, tetapi mereka perlukan seseorang yang sanggup mempercayai dan membimbing mereka.

“Saya melihat diri saya lebih sebagai jurulatih daripada sekadar pelabur.

“ITE membuka pintu pertama saya. Selebihnya adalah tentang keberanian untuk terus melangkah,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg