Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tukang jahit setempat giat ambil tempahan bagi Syawal 2026

Pelanggan tempah baju Raya kerana pentingkan keselesaan, mutu jahitan
Dec 23, 2025 | 5:30 AM
Salinah Salim Exclusive
Tukang jahit dan pemilik jenama Salinah Salim Exclusive, Cik Salinah Salim, berkata para pelanggan memilih untuk menempah baju bagi Hari Raya kerana ingin pakaian itu selesa dan kelihatan terletak di badan si pemakai. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan pelbagai pilihan pakaian yang tersedia di pasaran untuk memenuhi cita rasa dan keperluan pelanggan, tidak hairanlah jika ramai keluarga kini memilih untuk membeli pakaian sedia ada berbanding menempah baju Hari Raya.

Namun, menurut tukang jahit dan pemilik jenama Salinah Salim Exclusive, Cik Salinah Salim, 39 tahun, masih terdapat golongan pelanggan yang memilih untuk menempah baju kerana mengutamakan keselesaan. 

“Mereka mahu baju itu kelihatan terletak, mengikut ukuran badan dan selesa apabila dipakai sepanjang hari. 

“Jahitan kemas dan keunikan yang boleh ditawarkan setiap tukang jahit turut menjadi antara faktor mereka memilih untuk menempah baju,” kongsinya yang telah menjalankan perniagaan dari rumah (HBB) itu sejak 2012.

Turut bersetuju dengan pendapat tersebut ialah usahawan veteran dan pemilik butik Mona J, Cik Maimunah Ali, 67 tahun. 

“Selalunya, pelanggan yang menempah baju ini cerewet dan inginkan pakaian yang menepati kemahuan tertentu.

“Sebagai contoh, ada daripada pelanggan saya merupakan keluarga dengan anak kecil atau bayi dan mereka ingin berpakaian sedondon. 

“Tidak ramai yang ingin menjahit baju kurung bayi kerana ia agak sukar untuk mengambil ukuran mereka, namun saya ada kepakaran untuk melakukannya,” kongsi Cik Maimunah yang butiknya terletak di Golden Landmark.

Beliau turut mempunyai pekerja yang membantunya menjahit dan memotong kain demi memenuhi tempahan pelanggan.

Walaupun tidak melihat peningkatan khusus dalam kalangan pelanggan baru, kededua Cik Salinah dan Cik Maimunah menerima tempahan daripada pelanggan tetap mereka dan bakal berhenti mengambil tempahan Raya 2026 pada hujung Disember. 

Masa diambil untuk menyelesaikan setiap tempahan bergantung kepada kerumitan rekaan namun seringkali dapat diselesaikan dalam masa kurang dua bulan.

Antara potongan baju Raya yang sering ditempah termasuk baju kurung Pahang, baju kurung Riau, baju kurung Johor, kebaya dan kebarung dengan harga bermula daripada $90 ke atas.

Bagi Cik Sufiah Hamzah, 62 tahun, menempah baju memberinya peluang untuk memilih sendiri kain dan potongan baju yang diinginkan. 

Cik Sufiah Hamzah memilih untuk menempah baju yang dipakai semasa Hari Raya dan majlis keramaian kerana menitikberatkan pilihan kain yang tidak panas dan selesa untuk dipakai.
Cik Sufiah Hamzah memilih untuk menempah baju yang dipakai semasa Hari Raya dan majlis keramaian kerana menitikberatkan pilihan kain yang tidak panas dan selesa untuk dipakai. - Foto ihsan SUFIAH HAMZAH

“Saya suka memilih fabrik yang tidak panas apabila dipakai.

“Pilihan yang sedia ada di pasaran pula tidak sesuai kerana ada kalanya ia terlalu besar di bahagian bahu dan skirtnya terlalu ketat,” kongsinya yang sering membelanjakan dalam anggaran $150 bagi satu set pakaian yang ditempah.  

Antara pakaian yang pernah ditempahnya di beberapa kedai sekitar kawasan Arab Street termasuk set kebaya dengan kain batik wiron dan baju kurung moden dengan zip di bahagian belakang baju. 

Kain batik wiron merujuk kepada kain batik yang mempunyai lipatan di bahagian hujung kain dan sering dipakai bersama kebaya.

Pilihan menempah baju juga memberinya peluang untuk meminta rekaan yang unik seperti menambah renda atau kain lapisan (lining) pada baju itu. 

Kededua baju yang dipakai Cik Sufiah Hamzah (kiri) dan suaminya, Encik Richard Hungerford (kanan) semasa menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya, Cik Hannah Sulaiman (tengah) ditempah di kedai di kawasan Arab Street. Baju mereka mempunyai corak yang sama namun warna berbeza.
Kededua baju yang dipakai Cik Sufiah Hamzah (kiri) dan suaminya, Encik Richard Hungerford (kanan) semasa menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya, Cik Hannah Sulaiman (tengah) ditempah di kedai di kawasan Arab Street. Baju mereka mempunyai corak yang sama namun warna berbeza. - Foto ihsan SUFIAH HAMZAH

Diperkenalkan kepada perkhidmatan menempah baju oleh ibunya, Cik Illydea Ishak memilih alternatif itu kerana agak sukar mencari baju bagi saiz badannya semasa muda.

Namun apabila melangkah dewasa, beliau meneruskan dengan pilihan tersebut kerana ingin pakaiannya kelihatan berbeza dan tidak serupa dengan orang lain. 

“Pernah sekali saya beli baju Raya sedia ada, saya terserempak dengan individu yang memakai baju sama dengan saya ketika sedang melintas jalan. 

“Baju yang saya tempah harus versatil dan unik namun mengekalkan potongan klasik seperti baju kurung pesak dan kebaya,” kongsinya yang masih menyimpan baju ditempah semasa di universiti dan kini berusia 50 tahun. 

Kreativiti dan keunikan merupakan ciri yang diterapkan dalam diri Cik Salinah apabila menjahit pakaian pelanggannya. 

“Pelanggan sering menghantar kain seperti shantung, broked dan double faced duchess satin untuk baju Raya mereka. 

“Dari situ, saya boleh memberi cadangan bergantung kepada keinginan mereka seperti adanya kocek tersembunyi, pesak yang diubahsuai dan sebagainya,” ceritanya.

Cik Salinah Salim menggabungkan lengan tangan potongan blazer pada rekaan baju kurung tradisional dan ini menjadi antara ciri keistimewaannya yang dicari para pelanggan.
Cik Salinah Salim menggabungkan lengan tangan potongan blazer pada rekaan baju kurung tradisional dan ini menjadi antara ciri keistimewaannya yang dicari para pelanggan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Antara ciri rekaan yang kini menjadi keistimewaannya adalah menggabungkan lengan tangan potongan blazer pada rekaan baju kurung tradisional.

“Saya sering memberi cadangan untuk membuat lengan tangan sebegini jadi lengan baju mereka tidak mudah terbelit dan kekal kelihatan cantik bila mereka bergerak,” tambahnya yang mula minat menjahit sebagai satu hobi mengisi masa lapang. 

Turut mengongsi pengalamannya, Cik Maimunah berkata ramai pelanggan wanita kini memilih kain salona yang sering digunakan untuk baju Melayu lelaki kerana ia ringan.

Disebabkan kain itu tidak bercorak, beliau mengambil langkah untuk menambahkan kain renda pada baju kurung yang dijahit agar kelihatan lebih elegan dan mewah untuk Raya.  

Ditanya mengenai warna popular bagi Raya 2026, Cik Salinah berkata ramai pelanggannya memilih kain dengan rona hijau. 

Mengenai fesyen masa kini, beliau sering melihat baju kurung berpesak dipadankan dengan kain susun tepi manakala baju kurung moden dipadankan dengan kain kipas belakang. 

Antara rekaan baju kurung moden dengan kain broked yang direka tukang jahit, Cik Salinah Salim.
Antara rekaan baju kurung moden dengan kain broked yang direka tukang jahit, Cik Salinah Salim. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Untuk kekal selesa sepanjang hari semasa kunjung-mengunjung sewaktu Hari Raya, Cik Salinah menyarankan agar pelanggan mencari jenis fabrik yang tidak panas seperti kain kapas, linen atau kasa rubiah. 

Mereka juga harus mengelak daripada membeli fabrik yang mempunyai campuran poliester.

Namun Cik Salinah menegaskan bahawa setiap pelanggan harus melihat pada kemampuan dan keperluan mereka apabila menempah baju dengan tukang jahit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg