Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura hadapi risiko jika terjerat dalam persaingan AS-China

Sep 3, 2025 | 6:46 PM
 Vivian Balakrishnan, ekonomi
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata pemerintah sedang menggalakkan penyepaduan Asean yang lebih kukuh dengan matlamat mewujudkan pasaran dan zon pelaburan tunggal. - Foto ST

Singapura telah menikmati kelebihan kerana mampu menjalin hubungan baik dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan China. 

Namun, menurut Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 3 September, terdapat risiko sekiranya Singapura tersilap hingga terjebak dalam persaingan kian sengit antara kedua-dua kuasa besar tersebut, yang boleh mengakibatkan Singapura hanya meraih keburukan dan bukannya faedah daripada kedua-duanya.

Sebaliknya, perniagaan tempatan harus bertindak balas terhadap ketegangan itu dengan menggandakan usaha pengantarabangsaan mereka dan meneroka peluang dalam rantau ini serta di pasaran yang sedang berkembang seperti India, Amerika Selatan, Afrika, dan Timur Tengah, lapor The Business Times (BT).

“Sedang kita menghadapi perubahan di peringkat sejagat, serantau, dan dalam negara, kita perlu fikir semula cara kita menjalankan perniagaan, cara kita berhubung antara satu sama lain, dan bagaimana kita boleh guna teknologi baru dengan lebih baik,” katanya.

“Kita perlu memperkukuh rangkaian serantau kita, dan mencari peluang baru dalam penyusunan semula rantaian pengeluaran dan bekalan ini,” tambahnya.

Pemerintah pula sedang mempergiat usaha penyatuan Asean, dengan matlamat mewujudkan satu pasaran tunggal dan zon pelaburan di Asia Tenggara.

“Asean adalah peluang besar yang tidak patut kita lepaskan,” katanya, sambil menekankan pertumbuhan kelas pertengahan yang menjanjikan pasaran terus berkembang.

Beliau memberikan contoh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai cara negara Asean meningkatkan kerjasama, di mana syarikat kecil dan sedehana (SME) boleh menggunakan sumber pengeluaran Johor sambil mengekalkan ibu pejabat di Singapura.

Kedua-dua pihak juga sedang meneroka bagaimana JS-SEZ dapat meningkatkan kerjasama dengan Indonesia – terutama di Batam dan Bintan – untuk membuka peluang lebih luas.

Di luar rantau ini, Dr Balakrishnan menyerlahkan “peluang besar” di bahagian lain dunia.

Beliau menunjuk pada India – tempat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong – sedang melakukan lawatan rasmi, sebagai sebuah negara yang menawarkan potensi ekonomi yang besar.

Dr Balakrishnan secara khusus menarik perhatian kepada sektor semikonduktor India yang semakin matang sebagai bidang yang boleh disertai oleh SME.

Pemerintah turut menggalakkan syarikat meneroka peluang di Amerika Selatan dan Afrika.

Singapura telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan blok Mercosur (Argentina, Brazil, Paraguay) dan Perikatan Pasifik (Chile, Colombia, Mexico, Peru).

Dr Balakrishnan berucap pada Persidangan Perniagaan Infokom SME (SMEICC) tahunan, sebuah persidangan dwibahasa yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI) untuk SME.

Penyepaduan Asean dan bagaimana negara anggota serta dewan perniagaan dapat menggalakkan kerjasama lanjut, muncul sebagai tema utama.

Dalam ucapan pembukaan, Presiden SCCCI, Encik Kho Choon Keng, menekankan minat baru dalam rantau tersebut, yang dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

“Potensi untuk memperkukuh dan memajukan penyepaduan Asean adalah sangat besar, memberi perniagaan satu pasaran tunggal yang memudahkan akses dan operasi di seluruh rantau,” kata Encik Kho.

Wakil dewan perdagangan Cina dari Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia menyatakan penyepaduan serantau penting bagi melindungi ekonomi daripada ketidaktentuan sejagat. 

Peserta bersetuju Asean harus kekal bersatu dan tidak berpihak, di tengah-tengah ketegangan Amerika Syarikat dengan China.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg