Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thomson Medical umum projek $5.5b di JS-SEZ, rangkumi hospital, hotel mewah

Pelaburan penyedia khidmat kesihatan dijangka jana 20,000 pekerjaan berkemahiran untuk penduduk S’pura, Johor
Aug 25, 2025 | 7:53 PM
Thomson Medical, projek $5.5b, Johor-S’pura, hospital, hotel mewah, JS-SEZ
Zon perniagaan dan pelaburan dijangka menjana 20,000 pekerjaan berkemahiran untuk penduduk di Singapura mahupun Johor. - Foto THOMSON MEDICAL GROUP

Sebuah projek pembangunan besar Singapura di Johor akan merangkumi sebuah hospital 500 katil dengan kemudahan jagaan warga emas, sebuah hotel mewah, kediaman servis dan pelbagai kemudahan lain.

Ini bakal diusahakan sedang perniagaan tempatan semakin giat memanfaatkan kos lebih rendah serta ruang yang luas di seberang Tambak untuk tujuan peluasan.

Rancangan tersebut diumumkan Thomson Medical Group, yang disenaraikan di Bursa Saham Singapura (SGX), selepas pasaran ditutup pada 25 Ogos.

Penyedia perkhidmatan kesihatan itu diuruskan oleh jutawan Singapura, Encik Peter Lim.

Ia merupakan syarikat terbaru yang mengumumkan pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang ditubuhkan pada Januari lalu.

Zon perniagaan dan pelaburan itu, yang merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar dan Pengerang, dijangka menjana 20,000 pekerjaan berkemahiran untuk penduduk di Singapura dan Johor.

Thomson Medical berkata projek seluas 26 ekar itu, yang juga dikenali sebagai Johor Bay, akan mendapat manfaat daripada lokasinya yang berhampiran sebuah stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura yang bakal siap, serta terminal feri yang menghubungkan Malaysia ke Batam dan Kepulauan Riau di Indonesia.

Tapak tersebut mempunyai unjuran nilai pembangunan kasar melebihi RM18 bilion ($5.5 bilion), menjadikannya salah satu usaha niaga penjagaan kesihatan dan hartanah swasta yang paling luas di tanah perdana atau bernilai di Asia Tenggara, menurut Thomson Medical.

Fasa pertama projek itu meliputi sebahagian daripada Hospital Thomson Iskandariah, yang dijadual dibuka seiring operasi penuh RTS Link dan sebuah menara kediaman mewah setinggi 47 tingkat.

Fasa demikian dijangka menjana lebih 1,200 pekerjaan dalam sektor pembinaan, operasi, penjagaan kesihatan dan layanan tamu.

Ribuan lagi peluang pekerjaan dijangka tersedia apabila fasa seterusnya – termasuk sebuah hotel lima bintang serta kemudahan komersial dan gaya hidup lain – mula beroperasi. 

Pembangunan Johor Bay akan mempunyai “teras klinikal yang kukuh” dan dipacu oleh hospital yang boleh diperluas operasinya daripada 500 kepada 1,000 katil, kata Naib Pengerusi Eksekutif Thomson Medical Group, Encik Kiat Lim, kepada The Straits Times (ST). 

Pembangunan besar Thomson Medical Group akan merangkumi sebuah hospital dengan 500 katil, di samping kemudahan penjagaan warga emas, hotel lima bintang, kediaman servis dan kemudahan gaya hidup.
Pembangunan besar Thomson Medical Group akan merangkumi sebuah hospital dengan 500 katil, di samping kemudahan penjagaan warga emas, hotel lima bintang, kediaman servis dan kemudahan gaya hidup. - Foto THOMSON MEDICAL GROUP

Projek itu turut mempunyai suite perubatan pakar, kemudahan penjagaan warga emas dan bantuan hidup, perkhidmatan penjagaan selepas bersalin dan peralihan, serta sebuah menara pejabat sains hayat.

Encik Kiat Lim, yang juga anak kepada Encik Peter Lim, berkata kumpulan penjagaan kesihatan itu akan melibatkan doktor Malaysia sedia ada dan yang kembali untuk menjalankan khidmat kedoktoran mereka di lokasi itu, dengan kerjasama pakar yang berpangkalan di Singapura serta karyawan perubatan Asia Tenggara.

Beliau menambah bahawa di Singapura, kos tanah yang tinggi, pasaran buruh yang ketat dan kekangan ruang akhirnya menyebabkan kos penjagaan kesihatan lebih tinggi bagi pengendali dan pesakit.

“Dengan berada di JS-SEZ Johor-Singapura, kami dapat memanfaatkan permintaan pesakit rentas sempadan di samping membuka akses kepada tanah, bakat dan prasarana pada skala dan kos yang tidak mungkin dicapai di Singapura,” katanya.

Ini akan membolehkan kumpulan itu “menawarkan penjagaan kesihatan premium, kehidupan warga emas, dan pengalaman gaya hidup pada harga yang lebih berpatutan tanpa menjejas mutu khidmat yang disediakan”.

Syarikat Thomson Medical Group menjangkakan permintaan akan didorong oleh faktor penuaan dalam kalangan penduduk Asia Tenggara yang kian berusia, tambahan penyakit kronik, dan peningkatan dalam permintaan untuk penjagaan kesihatan swasta serta pelancongan perubatan.
Syarikat Thomson Medical Group menjangkakan permintaan akan didorong oleh faktor penuaan dalam kalangan penduduk Asia Tenggara yang kian berusia, tambahan penyakit kronik, dan peningkatan dalam permintaan untuk penjagaan kesihatan swasta serta pelancongan perubatan. - Foto THOMSON MEDICAL GROUP

Syarikat itu menjangkakan permintaan akan didorong oleh faktor penuaan dalam kalangan penduduk Asia Tenggara, tambahan penyakit kronik, serta peningkatan permintaan bagi penjagaan kesihatan swasta dan pelancongan perubatan.

Johor Bay juga akan menawarkan pangsapuri mewah yang lebih besar pada harga yang “jauh lebih berpatutan”, berbanding hartanah di Singapura yang setara, ujar Encik Kiat Lim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg