Syarikat kecil dan sederhana (SME) yang melabur dalam kesihatan dan kesejahteraan pekerja mereka kini boleh menikmati premium insurans kumpulan pada harga lebih rendah.
Premium insurans yang lebih menjimatkan itu ditawarkan di bawah satu kerjasama baru antara Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) dengan syarikat insurans setempat, Singlife.
Skim insurans tersebut diumumkan pada 24 Julai oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, semasa acara Tripartite Connect 2025 yang diadakan buat kali pertama.
Di bawah skim tersebut, SME yang mendaftarkan kakitangannya untuk jalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan bimbingan gaya hidup di bawah program percuma WSH Menyeluruh, atau Total WSH, akan menikmati diskaun 10 peratus bagi premium insurans tahun pertama.
“Bagi SME, setiap sen amat berharga, dan penjimatan sebegini boleh dialihkan secara bermakna untuk menyokong keperluan perniagaan atau pekerja,” kata Encik Dinesh pada acara tersebut, yang menghimpunkan pemimpin SME untuk meneliti pelbagai cara menggalak amalan progresif di tempat kerja.
“Saya berharap usaha ini akan memberikan hasil yang saling menguntungkan - bermanfaat bagi syarikat dengan insurans yang menjimatkan, dan bermanfaat bagi pekerja anda dengan kesihatan dan kesejahteraan lebih baik,” kata Encik Dinesh.
Encik Dinesh berkata demikian semasa pelancaran Tripartite Connect di Hotel Marriott Tang Plaza.
Acara yang dihadiri sekitar 330 peserta itu dianjurkan oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) dan Majlis WSH.
Kedua-dua agensi tersebut berada di bawah Tripartite Alliance Limited (TAL), lapor The Straits Times (ST).
Dalam ucapannya, Encik Dinesh memberi contoh sebuah SME yang mempunyai 50 pekerja biasanya akan membelanjakan sekitar $650 bagi setiap pekerja setahun untuk perlindungan insurans asas.
Diskaun 10 peratus yang diberikan itu bermakna syarikat tersebut dapat menjimatkan $3,250 pada tahun pertama.
Singlife menyatakan dalam satu kenyataan bahawa insentif tersebut akan disediakan sehingga 31 Mac 2027.
Pengurus Besar Majlis WSH, Encik Christopher Koh, berkata bahawa kerjasama dengan Singlife bertujuan menggalak lebih ramai majikan “memahami manfaat perniagaan apabila melabur dalam kesihatan pekerja, yang bukan sahaja baik untuk pekerja, malah menyokong daya penghasilan perniagaan.”
Selain aspek kesihatan pekerja, Encik Dinesh turut menekankan bahawa soal keselamatan dan keadilan memainkan peranan yang semakin penting terhadap jenama dan prestasi kewangan sesebuah syarikat.
“Dengan amalan WSH yang kukuh, penyampaian perkhidmatan menjadi lebih lancar, gangguan dapat dikurangkan dan kelewatan yang merugikan dapat dielakkan,” ujar beliau.
Beliau memberi contoh syarikat pemaju hartanah, City Developments Limited, yang mewajibkan semua kontraktornya mempunyai sekurang-kurangnya pensijilan bizSafe Tahap Tiga.
Satu program yang diiktiraf di peringkat nasional, bizSafe direka untuk membantu syarikat meningkatkan keupayaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg