Syarikat gergasi kereta Volvo telah membangunkan kemudahan di sini untuk menyokong cita-citanya untuk menjadi pembuat kereta elektrik sepenuhnya dan peneraju teknologi.
Hab teknologi Volvo, yang dibuka secara rasmi pada 22 Januari, berkeluasan 9,423 kaki persegi dan terdiri daripada makmal penyelidikan dan pembangunan serta ruang pejabat untuk jurutera.
Ia mempunyai 15 pekerja, dengan rancangan mengembangkan bilangan kakitangan.
Volvo dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group, pembuat kereta utama China.
Hab teknologi di Kallang Avenue itu menumpukan perhatian kepada pembinaan keupayaan dalam kejuruteraan robotik dan elektronik, elektronik kuasa, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data. Bidang-bidang ini akan menyokong pembangunan teknologi dan perisian dalaman Volvo.
Kemudahan baru itu adalah komitmen Volvo terhadap inovasi dan kerjasama di Singapura, kata syarikat itu pada 22 Januari.
Dr Yvonne Tan, yang mengetuai hab teknologi itu, memberitahu The Straits Times bahawa pusat itu adalah satu-satunya yang termaju seumpamanya yang dimiliki Volvo.
Tapaknya di Krakow, Poland, fokus pada pembangunan kejuruteraan perisian, manakala tapaknya di India menangani fungsi seperti sokongan teknologi maklumat (IT).
Hab di Singapura akan menjadi kunci kepada pembangunan teknologi mendalam dan kejuruteraan lanjutan untuk Volvo, kata Dr Tan.
Singapura juga mempunyai kumpulan bakat robotik yang tersedia untuk dimanfaatkan.
“Untuk kejuruteraan robotik, kami mempunyai banyak sokongan di sini dalam pembangunan, daripada semua syarikat pemula serta institusi,” ujar beliau.
Volvo berkata ia tidak dapat mendedahkan jumlah pelaburan atau insentif khusus yang berkaitan dengan hab teknologi itu.
Naib presiden eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Cindy Koh, berkata pada majlis perasmian:
“Ramai antara kita boleh memahami cabaran global yang dihadapi sektor automotif, seperti peningkatan persaingan, penerimaan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam... EV (kenderaan elektrik) dan bagaimana pemerintah-pemerintah sebenarnya mengenakan tarif import.”
Cik Koh berkata walaupun jualan EV global meningkat kira-kira 60 peratus pada 2022 dan kira-kira 33 peratus pada 2023, ia mengalami kelembapan kepada sekitar 20 peratus pada 2024.
Beliau berkata memandangkan Singapura dikekang oleh ruang untuk menempatkan kilang pemasangan kereta tradisional, ia telah memilih untuk membina keupayaan kukuh dalam elektronik, robotik dan AI bersama-sama dengan institusi penyelidikan awam, universiti dan syarikat.
“Apabila teknologi itu terus matang dan, yang lebih penting, apabila orang ramai lebih yakin dengan keselamatan kenderaan berautonomi, kita merancang untuk meningkatkannya,” tambah Cik Koh.
Jualan kereta Volvo di Singapura meningkat 38 peratus dari 2023 hingga 2024 dengan EV menyumbang 58 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg