Wilmar International mengumumkan pada 30 Disember bahawa ia akan memperoleh baki pegangan konglomerat multinasional India, Adani Group, dalam Adani Wilmar.
Perolehan itu dilakukan menerusi sebuah usahasama barangan pengguna antara kededua kumpulan, dengan nilai 123.14 bilion rupee ($2 bilion).
Wilmar merupakan syarikat perniagaan pertanian di Asia dengan perniagaan dalam penanaman kelapa sawit dan pengilangan makanan.
Anak syarikat milik penuh Wilmar, Lence, telah memeterai perjanjian dengan anak syarikat Adani Enterprises, Adani Commodities, untuk memperoleh 31.06 peratus pegangan dalam Adani Wilmar pada harga tidak melebihi 305 rupee ($4.85) bagi setiap saham.
Adani Enterprises, syarikat utama Adani, pula akan menjual baki 13 peratus daripada pegangan keseluruhan 31 peratusnya dalam Adani Wilmar.
Ini bagi mematuhi syarat keperluan pemegangan saham awam minimum sebanyak 25 peratus di India.
Buat masa ini, Adani Commodities dan Lence, masing-masing memiliki 43.94 peratus pegangan dalam Adani Wilmar, yang secara keseluruhannya berjumlah 87.87 peratus daripada saham syarikat itu.
Baki 12.13 peratus saham dimiliki oleh pemegang saham awam.
Selepas selesai proses pemerolehan saham oleh Lence, Adani Wilmar akan menjadi anak syarikat Wilmar – di mana urus niaga tersebut dibiayai oleh sumber dalaman dan pinjaman bank, lapor The Business Times (BT).
Wilmar merancang untuk membawa masuk pelabur strategik bagi memacu pertumbuhan Adani Wilmar.
Menjelaskan sebab di sebalik langkah pemerolehan tersebut, Wilmar antaranya menyerlahkan kedudukan kuat Adani Wilmar dalam sektor minyak masak dan industri barangan pengguna pantas bergerak (FMCG) di India.
Ini dengan operasi merentasi 15 bandar dan 720,000 kedai runcit serata India.
Pencapaian luas Adani Wilmar di pasaran luar bandar di India dan jenama terkemukanya, Fortune, turut menjadi pemacu utama pertumbuhan masa depan syarikat itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg