Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: S’pura lebih maju dengan bakat setempat-asing saling melengkapi

Jul 4, 2024 | 4:09 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata akses kepada tenaga kerja asing yang saling melengkapi adalah penting untuk Singapura.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata akses kepada tenaga kerja asing yang saling melengkapi adalah penting untuk Singapura. - Foto fail

Singapura boleh mencapai jauh lebih banyak dengan adanya bakat setempat dan bakat asing yang saling melengkapi, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Bahkan, memastikan perniagaan di sini mempunyai akses kepada tenaga kerja asing yang saling melengkapi adalah penting dan “kritikal untuk kelangsungan hidup kita”, katanya.

“Kita memerlukan bakat terbaik untuk menggerakkan ekonomi yang dinamik, untuk menarik dan mengekalkan perniagaan di Singapura, dan untuk dapat mencipta serta mengekalkan pekerjaan di sini. Kita tidak boleh melakukan ini seorang diri,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa jika Singapura menutup ekonominya, agak sukar bagi negara ini untuk menjadi hab antarabangsa.

“Anda akan kehilangan peluang, kehilangan pelaburan dan oleh itu sangat sukar mencipta pekerjaan baru atau kekal relevan kepada masyarakat antarabangsa global.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk kekal sebagai ekonomi terbuka, untuk membolehkan perniagaan membawa masuk bakat yang mereka perlukan untuk melengkapi tenaga kerja setempat kita.

“Dengan bakat setempat-asing yang saling melengkapi, bersama-sama kita boleh mencapai lebih banyak lagi,” kata Encik Zaqy.

Beliau yang telah menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pekerjaan Asia-Pasifik pada 4 Julai, menggariskan tiga serampang strategi bakat Singapura.

Pertama, memperkukuh kesihatan kerjaya tenaga kerja setempat; kedua, memastikan perniagaan mempunyai akses kepada tenaga kerja asing yang saling melengkapi; dan ketiga, terus membangunkan tempat kerja yang progresif.

Encik Zaqy berkata sebagai sebuah negara kecil yang mempunyai sumber asli terhad, strategi Singapura ialah untuk menarik dan membangun bakat sebagai sumber utama negara.

“Dengan membina tenaga kerja yang kuat dan berdaya saing, kita boleh memperkasa pertumbuhan perniagaan kita, menarik pelaburan asing ke Singapura dan mewujudkan pekerjaan baru bagi warga Singapura,” ujarnya.

Beliau akur saban tahun, terdapat keperluan semakin mendesak untuk menangani isu bakat di negara ini.

Ini kerana seperti banyak negara lain, Singapura juga berdepan dengan isu masyarakat semakin menua serta kadar kelahiran yang merosot.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata memperkukuh kesihatan kerjaya tenaga kerja di sini, iaitu memperkasa setiap individu untuk bertanggungjawab terhadap kemahiran dan pembangunan kerjaya mereka, bermakna setiap pekerja bertanggungjawab memastikan dirinya kekal relevan, terus dapat menambah nilai serta kekal bekerja selagi dia mahu.

“Kami akan menyokong pekerja kami dalam perancangan kerjaya dan peningkatan kemahiran yang disengajakan – saya menggunakan perkataan “peningkatan kemahiran yang disengajakan” kerana anda perlu bertanggungjawab ke atasnya – supaya mereka tangkas dan boleh menyesuaikan diri, dan meningkatkan peluang serta kerelevanan mereka dalam pasaran kerja.

“Selain itu, kami juga sedang mengusahakan untuk membantu pekerja memperoleh pengalaman antarabangsa untuk meluaskan pengalaman mereka,” ulas beliau.

Dalam pada itu, Singapura juga beriltizam membina tempat kerja progresif untuk memenuhi pelbagai keperluan pekerja dari semua lapisan masyarakat.

Itu sebabnya Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permintaan Pengaturan Kerja Fleksibel telah diperkenal dan akan berkuatkuasa pada Disember.

“Garis Panduan itu akan membentuk norma dan jangkaan mengenai pengaturan kerja fleksibel yang telah menjadi semakin penting dalam menarik dan mengekalkan bakat”, kata Encik Zaqy.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg