Jumlah pekerjaan di Singapura meningkat pada suku pertama 2024, manakala bilangan dan kadar pemberhentian pekerja di Singapura terus berkurangan dalam tempoh yang sama.
Demikian berdasar Laporan Pasaran Pekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 20 Jun.
Dalam laporan itu, MOM menyatakan jumlah pekerjaan meningkat 4,700 pada suku pertama 2024, disebabkan peningkatan pekerjaan penduduk, yang dipacu oleh sektor perkhidmatan kewangan dan insurans serta pentadbiran awam.
Bilangan pemberhentian kerja pula turun daripada 3,460 pada suku keempat 2023, kepada 3,030 pada suku pertama 2024
Ini disebabkan berkurangnya jumlah pemberhentian daripada sektor berorientasikan luar seperti perdagangan borong dan pengilangan elektronik.
Kadar pemberhentian pekerja, yang merosot pada suku pertama 2024, adalah 1.3 bagi setiap 1,000 pekerja, berbanding 1.9 bagi setiap 1,000 pekerja pada suku ketiga 2023.
Ia lebih rendah daripada paras prapandemik iaitu 1.7 bagi setiap 1,000 pekerja berdasarkan purata suku tahunan antara 2015 dengan 2019.
Bilangan jawatan kosong turut meningkat kepada 81,900 pada Mac 2024, berbanding 79,800 pada Disember 2023.
Ini berikutan permintaan pekerja yang semakin berkurangan pada 2023 yang MOM sifatkan sebagai cerminan “prospek ekonomi yang bertambah baik sepanjang 2024”.
“Dengan prospek ekonomi yang lebih baik pada 2024, peningkatan yang berterusan dalam bilangan kerja kosong, peningkatan keyakinan pengambilan pekerja dalam kalangan firma pada suku berikutnya, serta bilangan pemberhentian yang semakin berkurangan, kami menjangkakan pasaran buruh akan terus berkembang dan kadar pengangguran kekal rendah.
“Pemerintah dan rakan kongsi tiga pihak akan terus menggalakkan dan menyokong majikan serta pekerja untuk meneruskan transformasi perniagaan dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan mutu pekerjaan,” kata MOM.
Ia menambah bahawa kadar pengangguran jangka panjang penduduk terus kekal rendah pada 0.8 peratus pada Mac 2024, walaupun terdapat penyusutan dalam bilangan pekerja yang dapat mencari pekerjaan semula dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan.
Kadar kemasukan semula jatuh kepada 59.4 peratus pada suku pertama 2024, daripada 61.5 peratus pada suku sebelumnya.
Penurunan dalam kadar kemasukan semula diperhatikan dalam sektor maklumat dan komunikasi; perkhidmatan kewangan dan insurans; serta sektor perkhidmatan profesional.
MOM bagaimanapun berkata lebih separuh daripada penduduk yang diberhentikan dalam sektor itu dapat mencari pekerjaan baru dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan.
MOM menambah lebih banyak firma menyifatkan penyusunan semula perniagaan atau penstrukturan semula pada suku pertama 2024 sebagai sebab pemberhentian pekerja.
Pekerjaan bukan penduduk turun sebanyak 800 pada suku pertama – kali pertama sejak suku pertama 2021 apabila ia jatuh sebanyak 21,500.
Penurunan itu terutamanya dalam pembinaan dan pengilangan, memandangkan siling nisbah pergantungan yang lebih rendah bagi sektor pembinaan dan proses berkuat kuasa, kata MOM.
Pemegang Pas S juga menyaksikan pertumbuhan negatif pada suku pertama, berikutan kenaikan gaji dan levi yang layak pada 2023.
Sementara itu, bilangan pemegang Pas Kerja meningkat, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, tambah MOM.
Pemegang Pas Pekerjaan (EP) mencatatkan penurunan pertama sejak lewat 2021 dan direkodkan dalam sektor seperti maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan profesional, yang terus menghadapi masalah sejagat.
Namun, bilangan pemegang EP meningkat dalam sektor lain, seperti perdagangan borong dan pengangkutan serta penyimpanan.
Secara keseluruhan, permohonan EP telah meningkat seiring dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, tambah MOM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg