Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Atasi pelbagai cabaran untuk genggam ijazah EdD

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Atasi pelbagai cabaran untuk genggam ijazah EdD

Ibu empat anak antara lulusan kohort perintis kursus baru 'Doktor Dalam Pendidikan' yang diperkenalkan NIE-NTU bagi karyawan pendidikan perluas ilmu
Aug 28, 2018 | 05:30 AM



LEBIH lima tahun lamanya Dr Udiana Jamalludin berkorban masa dan tenaga bagi memburu segulung ijazah idaman, Doktor Dalam Pendidikan (EdD).



Kursus itu baru diperkenalkan Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2012 buat karyawan pendidikan memperluas kepakaran, latihan dan kemahiran mengkaji dunia pendidikan.



Saban tahun pula, guru Sekolah Rendah Yishun itu berdepan dengan pelbagai cabaran yang kadangkala membuatnya terasa seakan-akan ingin menghentikan sahaja pengajian.



Dalam tahun pertama, beliau hamil anak keempat di samping memikirkan cara sebaiknya membahagikan masa buat tiga anak lelakinya yang ketika itu berusia satu, tiga dan lima tahun. Perjalanan dalam keadaan sarat mengandung, dari sekolahnya di Yishun ke kampus di Nanyang Avenue dengan menaiki MRT dan bas masih terpahat di ingatan hingga sekarang.



Ujian terbesar pula dihadapi pada tahun kedua pengajian di mana anak bongsunya lahir tidak cukup bulan dan ditempatkan di Unit Jagaan Rapi Neonatal (NICU) dalam keadaan yang membahayakan nyawa malah diramalkan doktor tidak akan hidup lama.



Ini ditambah dengan kos tinggi pengajian yang dibiaya sendiri malah mencecah sehingga $80,000 dalam tempoh lima tahun pengajian.



Namun, segala kepahitan yang dilalui dengan bantuan suami, Encik Nacer Bendjenni, 49 tahun, warga asal Algeria yang sudah bergelar Penduduk Tetap Singapura, kini tinggal sebagai cebisan sejarah yang membawa iktibar. Encik Nacer adalah guru bahasa Perancis di sebuah sekolah antarabangsa di sini.



Dr Udiana, 41 tahun, bersyukur beliau mempunyai rangkaian sokongan keluarga yang utuh. Kasih sayang dan doa ibu bapanya, Hajah Afidah Sapuan, 60 tahun, dan Haji Jamalludin Abdul, 67 tahun, turut membantu meringankan bebanan emosi yang dirasakan sewaktu melalui tempoh sukar.



Lewat bulan lalu, ijazah EdD dengan pengkhususan Pengajian Psikologikal, digenggamnya di majlis tamat pengajian lulusan NIE-NTU.



Kumpulan siswa perintis kursus ini terdiri daripada karyawan pendidikan dengan tiga pengkhususan berbeza - kurikulum, kepimpinan atau pengajian psikologikal.



Mereka melalui proses pemilihan sengit bagi menyaring 300 pemohon. Hanya 27 orang dipilih dengan setiap seorang perlu mengemukakan surat usulan daripada individu bertauliah yang mengenali mereka seperti pensyarah peringkat sarjana atau pengetua sekolah. Mereka juga perlu menjalani sesi wawancara dan ujian.



Akhirnya, hanya tujuh orang diterima bagi pengajian EdD itu yang memerlukan mereka menamatkan pengajian 10 modul dalam masa dua tahun dan mencapai sekurang-kurangnya gred B+ bagi setiap modul. Penyampaian seminar kajian juga perlu mereka bentangkan. Setiap mauduk yang mereka yakini juga perlu dipertahankan jika ada pakar yang diminta menilai mempersoalkannya.



Dr Udiana menghasilkan tesis bertajuk 'Tanggapan Kanak-Kanak Tentang Penglibatan Ibu Bapa Serta Motivasi dan Kesejahteraan Akademik - Satu Tinjauan Singapura'.



Sebagai seorang ibu dengan anak yang kini berusia antara lima dengan 11 tahun, beliau berminat mengambil tahu tentang bentuk penglibatan ibu bapa yang membawa pada motivasi akademik dan kesihatan emosi yang baik dalam diri anak-anak.



Ketika dihubungi Gah! menerusi e-mel, Dr Udiana menjelaskan:



"Sewaktu anak bongsu saya dilahirkan tidak cukup bulan dengan keadaan yang membahayakan, ia merupakan tempoh suram dalam hidup saya. Saya hampir menghentikan sahaja pengajian saya.



"Saya berulang-alik ke hospital dalam keadaan cemas. Alhamdulillah, anak saya pulih dan membesar dengan baik seperti anak lain. Suami saya sentiasa menjadi tunggak sokongan sepanjang detik sukar ini. Beliau akan menjaga anak-anak apabila saya perlu beri tumpuan pada pengajian saya.



"Memandangkan saya menyusukan anak-anak saya sambil bekerja dan belajar, pembahagian masa penting. Melakukan segalanya tidak semudah yang dibayangkan. Kebanyakan masa, saya bawa seorang atau dua orang anak saya ke universiti.



"Mereka menyukai kunjungan ke NTU khususnya perjalanan bas yang panjang. Saya juga membawa mereka ke bilik darjah, mesyuarat bersama penyelia saya serta tatkala menjalankan kajian.



"Saya juga banyak berjimat tanpa melancong ke luar negara atau membeli barangan berjenama. Kami sekeluarga juga makan lauk-pauk yang dimasak di rumah sahaja. Kami hidup secara sederhana dan merancang kewangan kami agar tidak berhutang."



Beliau yang memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Perniagaan dengan Bahasa Inggeris daripada Universiti Terbuka dan Sarjana Pendidikan daripada NIE-NTU menyifatkan kesungguhan ibu bapanya memupuk budaya cintakan ilmu dalam dirinya sebagai antara motivasi mengejar ijazah EdD.



"Keluarga saya kurang berkemampuan. Ayah adalah teksnisyen di kilang malah turut bekerja sambilan di tempat lain demi membeli keperluan belajar seperti ensiklopedia berharga $300 buat saya. Ibu pula adalah suri rumah.



"Namun, mereka tidak pernah mengeluh. Saya dihantar ke kelas mengaji Al-Quran secara harian. Ibu bersolat tahajud setiap malam dan menggalakkan saya mengamalkannya. Hingga ke hari ini, saya yakin amalan membaca Al-Quran itu membantu saya mengurus masa dengan baik.



"Sejak beberapa tahun lalu, saya juga menganggotai kumpulan One Day One Juz. Menerusi program yang diadakan, kami berupaya khatam Al-Quran sebulan sekali. Kitab suci ini banyak mengubah hidup saya. Selepas bangun awal untuk solat tahajud dan membaca Quran, saya kemudian lebih bertenaga meneruskan tugas harian.



"Perancangan awal dibuat dengan saya lebih fokus. Setiap kekecewaan dapat saya tangani dengan reda," ujarnya yang pernah ditolak NIE sebelum ini kerana keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' yang kurang baik.



Dr Udiana kini berharap dapat lebih bekerjasama dengan kanak-kanak istimewa yang mempunyai disleksia, autisme dan gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) serta ibu bapa mereka. Keinginannya adalah meneroka cara terbaik bagi membantu anak-anak ini belajar di samping memperbaiki kehidupan emosi ibu bapa mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >