Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Beraya dengan ikon dari zaman ke zaman

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Beraya dengan ikon dari zaman ke zaman

Aneka santapan halwa telinga dan mata bakal dihidangkan tokoh seni setempat dan serantau di Pesta Raya (Edisi ke-15) anjuran pusat seni Esplanade tahun ini. Bagi memenuhi cita rasa pelbagai lapisan usia penonton, pihak penganjur berusaha mengetengahkan hiburan bermakna daripada penggiat seni ikonik setempat dan serantau sempena musim perayaan. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.
May 24, 2016 | 05:30 AM



 Empat sajian Pesta Raya dari 4 hingga 7 Ogos dijangka bawa kelainan



SUARA hati komposer watan terbilang S. Atan, yang telah melahirkan ribuan lagu bagi artis hebat seperti Black Dog Bone, Carefree, Anita Sarawak, Datuk D.J. Dave, Tan Sri S.M. Salim dan Datuk Sharifah Aini, bakal berkumandang dalam sajian lagu malar segar mereka.



Perjalanan dan pengamatan seni aktivis teater Alin Mosbit di rantauan yang terakam dalam monodrama Rosnah juga akan dipentaskan semula selama empat hari dengan tarikan lakonan bersahaja Siti Khalijah Zainal.



Sebagai bonus, boyband Melayu paling berjaya, bahkan memikat label antarabangsa, KRU, pula akan kembali ke pentas selepas 25 tahun mewarnai persada hiburan dengan lagu hit mereka yang mencipta trend sekitar era '90-an.



Tidak lupa juga, turut akan tampil ialah ikon dalam kalangan anak muda, Sufi Rashid, yang menjuarai Akademi Fantasia 2015 dan baru-baru ini dinobatkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).



Beliau akan hadir dalam persembahan sejam setengahnya yang pertama sebagai bintang utama di Esplanade.



Boleh dikatakan keempat-empat sajian Pesta Raya tahun ini yang akan diadakan di Esplanade dari 4 Ogos hingga 7 Ogos membawa kelainan yang amat dinantikan penggemar seni setempat.



Pesta edisi ke-15 yang dikendalikan dengan sokongan Singapore Press Holdings (SPH) dan siri SPH Gift of Music itu diharapkan dapat menjadi acara ikonik yang membangkitkan semangat Lebaran di samping menjadi wadah bagi keluarga dan teman lama berhimpun berbekalkan nostalgia peristiwa semalam.



Berikut jadual acara itu:



SUARA HATI S. ATAN

Bila:
5 Ogos (8 malam)
Di mana: Dewan Konsert Esplanade
Yang menjayakan: Jatt Ali, Jay Jay, Permata, Asiyah Sinnan, Rahayu Ridwan, Elfee Ismail, Rudy Djoharnaen dan Orkestra Melayu Singapura
Tiket: $25, $45, $65



Sejak 1972 S. Atan telah mencipta ribuan lagu pop, jaz, tradisional, dangdut, nasyid dan Cina buat penyanyi popular seperti Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk Jamal Abdillah dan Anita Sarawak.



Kerjaya muzik komposer yang berbesar hati dapat dilibatkan sama dalam konsert ini sudah bermula ketika beliau berusia 17 tahun.



Tatkala itu, persembahannya terbatas pada band waktu malam di hotel sekitar Johor Bahru.



S. Atan mengambil inisiatif sendiri mempelajari muzik dan memperkasa kemahirannya pada waktu siang sebelum akhirnya membina kerjaya bersama Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) selaku pemimpin Orkestra Kalungan Nada.



Pada usia 22 tahun, beliau menyertai label rakaman EMI yang membawanya mencipta satu hit demi hit lagu Melayu.



Antara lagu popular penerima Anugerah Nadi Cipta di Malam Mesra Badan Pelindung Hak Cipta Muzik di Malaysia ialah Dulu dan Sekarang (Black Dog Bone) dan Jeling-Jeling (Tan Sri S.M. Salim dan Datuk Siti Nurhaliza).



Kata pengatur cara Pesta Raya, Cik Hanie Nadia Hamzah:



"Dalam merancang acara bagi Pesta Raya, kami mencari apa yang penonton nantikan atau yang mereka tertinggal menonton pada waktu lalu.



"Mendapatkan S. Atan dalam konsert junjung budi ini menjadi idaman Esplanade sejak sekian lama. Masalahnya dahulu, masanya tidak sesuai, lantas tiada peluang melakukannya.



"Karya pelbagai genre beliau dinikmati dari zaman ke zaman. Beliau amat sesuai dipaparkan kerana menghasilkan lagu hit buat bintang seperti Sudirman, Black Dog Bone dan Anita Sarawak."



KRU 25

Bila
: 6 Ogos (8 malam)
Di mana: Dewan Konsert Esplanade
Tiket: $45, $65, $85, $105 (pertemuan dengan KRU dan poster yang ditandatangani)



Menurut Cik Hanie, penonton di Singapura bertuah kerana KRU membuka tirai konsert ulang tahun ke-25 mereka di Singapura sebelum membuat persembahan di Malaysia.



Persembahan kumpulan tiga beradik yang ditubuhkan pada 1992 itu akan merentasi album Canggih, Awas, KRUmania, Ooh La La, The Way We Jam dan KRUjaan.



"Mereka pencipta trend, bahkan menghasilkan bintang seperti Feminin, Indigo, Elite, Juliana Banos, Mojo, Forteen dan Caliph Buskers, .



"Memandangkan edisi ke-15 Pesta Raya istimewa buat kami, tentunya kami berbesar hati dapat menyediakan wadah bagi KRU meraikan ulang tahun ke-25 mereka," ujar Cik Hanie lagi.



ROSNAH

Pementasan:
The Necessary Stage
Bila: 4 hingga 7 Ogos (8 malam pada Khamis dan Jumaat; 3 petang dan 8 malam pada Sabtu dan Ahad)
Di mana: Studio Teater Esplanade
Tiket: $30



Kali pertama Rosnah dipentaskan ialah pada 1995, dijayakan pencetus ilhamnya sendiri, Alin. Ini disusuli dua sesi ulang pentas di Singapura pada 1996 dan 2006.



Ia merupakan satu perjalanan gadis Melayu (lakonan Siti Khalijah) yang meninggalkan Singapura bagi meneruskan pengajian di London.



Bagaimanakah proses penyesuaiannya dan hubungannya dengan golongan pelbagai personaliti, agama dan kaum?



Mampukah beliau mengimbangi tradisi dan pegangan liberal tanpa terluput identitinya?



SENIKU, SEJARAHMU

(SUFI RASHID)

Bila:
6 Ogos (8 malam)
Di mana: Studio Resital Esplanade
Tiket: $25



Sufi merupakan alumni program Cipta Cita 2014 anjuran Esplanade. Dengan kejayaannya di Akademi Fantasia, Sufi bakal menyajikan lagu ciptaannya, Kisah Dua Muka, dan beberapa lagu hit serta yang pernah dipersembah di pentas Akademi Fantasia.



  • Kesemua tiket dan butiran potongan harga bagi warga emas, pelajar dan anggota Perkhidmatan Negara boleh didapatkan menerusi talian, laman dan kaunter Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >