Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Berikan yang terbaik sebagai seniwati demi pelaburan jangka panjang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Berikan yang terbaik sebagai seniwati demi pelaburan jangka panjang

Mastura Ahmad kongsi rahsia berjaya tempatkan diri dalam drama bersiri Inggeris panjang lebar beratus-ratus episod
Sep 30, 2018 | 05:30 AM



Selama tiga tahun dalam sebanyak 823 episod siri drama 'Tanglin', beliau dikenali dengan watak Salmah- seorang ibu tunggal penyayang tetapi tegas dan cukup berdikari. Kalau dulu beliau hanya dikenali dalam kalangan penonton saluran Melayu, menerusi drama Inggeris terbitan Mediacorp itu, Mastura Ahmad kini sudah mempunyai ramai peminat daripada kalangan masyarakat Cina dan India juga. Episod terahir Tanglin berakhir kelmarin tetapi ini tidak bermakna langkah Mastura dalam drama Channel 5 terhenti. Beliau bahkan diberi kepercayaan menerajui watak utama dalam siri panjang baru bertajuk 'Kin', yang mula bersiaran esok. Ini menjadikan Mastura sejauh ini sebagai satu-satunya pelakon wanita Melayu tempatan yang terikat dengan siri drama Inggeris yang begitu panjang, dalam dua produksi berturut-turut. Bagaimanakah cabaran terlibat dalam siri drama yang begitu panjang? Wartawan HANIM MOHD SALEH (hanim@sph.com.sg) telah berpeluang mengadakan wawancara eksklusif dengan Mastura Ahmad.



APABILA kali pertama bersetuju menerima watak Salmah bagi siri drama Tanglin pada 2015, Mastura Ahmad sedar beliau akan terikat dengan saluran Inggeris Channel 5 Mediacorp itu buat jangka masa yang lama.



Ikut kontrak asal, beliau perlu menyelesaikan sekitar 122 episod.



Namun, beliau tidak menyangka siri itu berlanjutan sehingga tiga musim, mencapai 823 episod, dengan watak beliau berkembang daripada setakat seorang ibu tunggal yang becok mulutnya kepada wanita bekerjaya yang berpengaruh dalam kalangan teman sekerja.



Bahkan, beliau juga tidak menyangka 'Salmah' akan menjadi rebutan dua pria (lakonan Jeff Catz dan Najip Ali) dan bergelumang dengan emosi memilih antara teman baik dengan kekasih.



Kini, dengan tersiarnya episod akhir Tanglin kelmarin, Mastura, mulai esok akan berpindah pula kepada satu lagi drama bersiri Inggeris yang panjang melebih 120 episod berjudul Kin, juga membawa watak utama.



Ini menjadikan aktres yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman berseni itu sebagai pelakon wanita Melayu Singapura pertama yang diberi kepercayaan menjayakan siri drama Inggeris yang begitu panjang secara berturut-turut.



Menyingkap kembali detik penglibatanya dalam siri itu tiga tahun lalu, Mastura yang sebelum itu baru selesai menjayakan siri kembara Ole Ole Temasya bersama Seriwahyuni Jaes untuk saluran Suria, berkata beliau mulanya menolak undangan menjalani uji bakat drama Tanglin kerana tarikhnya bertembung dengan jadual beliau perlu berada di Makkah untuk mengerjakan umrah.



"Sebelum itu, sudah dua kali saya batalkan rancangan nak kerjakan umrah kerana ada tawaran kerja lain. Masuk kali ini, suami saya ingatkan... kalau saya batalkan lagi niat, mungkin saya tak akan terima 'undangan' lagi ke Makkah. Saya kuatkan hati dan tolak tawaran Tanglin," ceritanya yang kali terakhir berlakon dalam drama Melayu menerusi siri Intern.



CABARAN DRAMA PANJANG



Namun, rezeki penglibatan beliau buat drama itu ternyata kuat kerana ketika berada di Makkah, beliau menerima panggilan pihak produksi bahawa mereka masih membuka peluang baginya berlakon dan sanggup menunggunya pulang.



Berlakon dalam produksi 'long form', atau penerbitan yang berjela-jela, mempunyai cabaran dan disiplin tersendiri, kata Mastura.



"Untuk drama long form ini, kita kena belajar menghormati pelakon lain, penulis skrip dan pengarah walaupun kita dianggap orang paling berpengalaman di set. Kita bekerja dengan lebih lima pengarah dan sekitar 30 pelakon. Kalau kita buat hal, ia menjejas seluruh kru dan pelakon. Kita kena persiapkan diri dan sesuaikan cara pemahaman kerja setiap mereka. Kita boleh beri pandangan tetapi jangan nak memandai-mandai ambil alih tugas mereka sebagai pengarah atau penulis skrip. Harus ada sikap hormat," kongsinya yang membawa watak ibu pelakon Syirah Jusni dan mentua Fauzie Laily.



Setiap hari, beliau perlu berada di set sekitar 8 pagi, tetapi ada ketika 'call time'nya 4.30 pagi. Pernah juga beliau berlakon sehingga 20 adegan dalam satu hari. Beliau juga perlu memohon cuti beberapa bulan lebih awal jika mahu ke luar negara.



Beliau akur ada sesetengah pelakon suka mengajar pelakon lain di lokasi, dengan niat mendapat hasil terbaik tetapi beliau mengingatkan:



"Tidak semua orang selesa diberi tunjuk ajar secara terbuka di set. Homework atau persiapan termasuk hafal skrip dan bagaimana lakonan itu mahu dilaksanakan, harus dirancang di luar set. Ini kerja, bukan hobi," tegas Mastura.



BUKAN TERPERANGKAP



Mastura mengakui tidak ramai pelakon, terutama golongan muda, berani memberi komitmen bagi siri berjela-jela kerana "tidak mahu terperangkap dalam satu watak sama bertahun-tahun" sehingga dilihat "kurang versatil".



Beliau mempunyai tafsiran tersendiri tentang cara mempelbagaikan watak.



"Contohnya, watak Salmah. Dia berdepan dengan bermacam-macam jenis watak lain dan keadaan. Kadang-kadang dia marah, sedih, jatuh cinta... terserah kepada pelakon mencorakkan watak itu sebaik-baiknya dengan meyakinkan. Kalau kita bagus, watak kita pasti dikembangkan, ditambah bagi keadaan lebih mencabar dan genting. Kalau tak bagus, mungkin watak itu akan dikurangkan atau dimatikan," jelasnya.



CARA TINGKATKAN SAHAM SENI



Walaupun sudah memenangi beberapa anugerah pelakon terbaik dalam Pesta Perdana (Suria) dan berlakon dalam filem Inggeris Apprentice, yang pelancaran perdananya dibuat di Pesta Filem Cannes di Perancis pada 2016, Mastura tetap terbuka menimba ilmu baru menerusi bengkel lakonan kelolaan guru dari New York, Amerika Syarikat, yang disediakan pihak produksi khusus untuk pelakon lebih muda.



"Ilmu seni lakon itu luas... kena belajar dan mempertingkatkan diri sepanjang hayat," ujarnya.



Prinsipnya, tambah Mastura, beliau fokus memberikan yang terbaik dengan harapan hasil yang baik itu akan menjadi "pelaburan" bagi tugasan seterusnya.



"Setiap kelakonan dan pencapaian kita diperhatikan, dinilaikan. Seperti pekerjaan lain, pelakon dalam produksi ini juga ada sesi 'appraisal' sendiri, menilaikan kelemahan dan kekuatan pelakon," ujarnya yang ternyata pelaburan memberikan kecemerlangan menghidupkan watak 'Salmah' membawanya kepada produksi baru selanjutnya.



Menurut ibu empat anak yang kesemuanya sudah remaja, beliau mampu bertahan dalam produksi yang panjang kerana sokongan suami, Arshad Ismail, dan keluarganya.



"Saya memang tak boleh bayangkan keadaan kalau tak ada kerja... kata suami, saya boleh jatuh sakit kalau tak ada job. Tetapi sibuk-sibuk pun, saya tetap mencari masa berlibur bersama keluarga," kata Mastura yang setiap tahun membawa keluarganya bercuti ke luar negara.




APA KATA MASTURA



TENTANG KERJAYA



“Untuk drama long form ini, kita kena belajar menghormati pelakon lain, penulis skrip dan pengarah walaupun kita dianggap orang paling berpengalaman di set. Kita bekerja dengan lebih lima pengarah dan sekitar 30 pelakon. Kalau kita buat hal, ia menjejas seluruh kru dan pelakon. Kita kena persiapkan diri dan sesuaikan cara pemahaman kerja setiap mereka. Kita boleh beri pandangan tetapi jangan nak memandai-mandai ambil alih tugas mereka sebagai pengarah atau penulis skrip. Harus ada sikap hormat.”



TENTANG KELUARGA



“Saya memang tak boleh bayangkan keadaan kalau tak ada kerja... kata suami, saya boleh jatuh sakit kalau tak ada job. Tetapi sibuk-sibuk pun, saya tetap mencari masa berlibur bersama keluarga.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >