Ernie enggan tumpang populariti Ziana, Anuar Zain

PERJALANAN seni juara DuoStar, Ernie Zakri, selama lapan tahun dalam persada hiburan tidak semudah yang dibayangkan, bahkan pernah disulami kekecewaan.

Namun, Ernie, 25 tahun, ingin membuang rasa kecewa itu jauh-jauh kerana menyedari rezeki datang dalam bermacam cara.

Beliau juga enggan sewenang-wenangnya menumpang kepopularan ibu dan bapa saudara sepupu - Ziana dan Anuar Zain - yang sudah terdahulu mencipta nama hingga dipuja ramai di rantau ini dek kehebatan vokal mereka.

Lebih mustahak bagi Ernie, juara Bintang RTM 2009, ialah kematangan meniti dunia hiburan yang penuh cabaran.

Apabila ada yang memuji kemantapan vokalnya sepanjang siri DuoStar, iaitu program realiti Astro Ria, Ernie menganggapnya sebagai pembakar semangat yang membuatnya enggan leka, malah terus berusaha memperkasa suara dan gaya persembahan.

Ketika ditemui Gah! selepas tamat rakaman program kerjasama Mediacorp Suria dan RTM, Muzika Ekstravaganza, di Teater MES, Mediacorp, Ernie, yang mempunyai ijazah sarjana muzik daripada Universiti Malaya, berkata:

"Boleh dikatakan DuoStar itu membawa pada perkembangan kerjaya Ernie. Selama lapan tahun, Ernie melalui pasang surut proses membangun kerjaya seni yang memang dekat di hati Ernie.

"Dalam berdepan dengan pelbagai kekecewaan dan ujian, Ernie menyedari bahawa rezeki Allah itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Ernie banyak bersabar. Alhamdulillah, DuoStar membawa impak positif buat diri Ernie.

"Apabila bekerjasama dengan Syamel, Ernie belajar erti kerjasama secara berpasukan. Mustahak bagi seseorang artis itu menyesuaikan diri dengan artis lain serta saling menyokong. Sebabnya, kalau kita nak ke depan, kita tak boleh buat sesuatu itu sendiri atau fikirkan kejayaan kita seorang sahaja.

"Kalau kita boleh berkolaborasi, mengapa tidak? Tambahan pula, teman-teman lain di DuoStar bukanlah pesaing, malah kami bak keluarga besar yang saling menyokong dan berkongsi panduan tentang nyanyian dan cara persembahan."

Walaupun hampir sedekad terlibat dalam dunia nyanyian secara profesional, Ernie masih menganggap dirinya baru dan banyak lagi yang perlu dipelajari daripada orang sekeliling, khususnya yang lebih arif dalam industri muzik.

Ramai yang tertanya-tanya tentang pertalian darah Ernie dengan Ziana dan Anuar. Malah, ada orang sangsi mengenainya. Ibu Ernie sepupu adik-beradik popular itu.

Bapa Ernie, Zakri Ahmad, pula pemain dram band Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Klang, Selangor.

"Apabila ada orang tahu saya ada kaitan dengan Mak Long Ziana dan Pak Ngah Anuar, mereka mula tanya, 'betul ke tidak?' Sebabnya, mereka tak percaya. Saya tak dapat lari daripada mereka mengaitkan saya dengan mereka.

"Saya tak buat cerita. Tiada hasrat menumpang kepopularan mereka. Memang kami ada hubungan saudara. Saya malah bersyukur mereka ada sebab mereka memang ikon yang amat saya kagumi. Saya jadikan pencapaian mereka sebagai perlambangan aspirasi yang ingin saya capai dalam industri."

Dalam pada itu, Ernie, yang mempunyai beberapa 'single', termasuk Mahu Ingin Bercinta, Rindu Bukan Teman, Takkan Pudar, Ingin Yang Ku Mahu dan yang terkini Aku Cinta (bersama Syamel), tidak lokek berkongsi ilmu vokal dengan penyanyi lain, termasuk mereka yang sudah dikenali seperti Siti Nordiana.

Siti Nordiana, juara Gegar Vaganza musim kedua, menjadi anak didik Ernie tatkala bertanding dalam peraduan itu.

"Apabila Kak Nana mendekati saya, saya takut juga. Beliau 'ni dah ada pengalaman luas dalam bidang nyanyian.

"Sebelum ini, saya mengajar mereka yang mungkin masih baru dalam bidang nyanyian. Tapi saya menyedari bahawa mengajar mereka yang berpengalaman ini nampaknya tidak sulit.

"Kita tak perlu membentuk atau mencorak mereka. Kita kongsi apa yang kita tahu dan kita gilap mana-mana yang perlu. Alhamdulillah, Kak Nana pelajar yang baik dan dengar kata," ujar Ernie, yang bernaung di bawah label rakaman Fantasia Music City (FMC).