TOM Hanks berkata kaum Adam yang masih muda dan baru mula bekerja dalam apa jua industri, patut berusaha untuk bekerja dengan bos-bos wanita yang bersikap tegas.
Beliau memberikan pandangannya itu kepada The Washington Post berikutan banyak komen yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini berkaitan keadilan jantina.
Hanks berlakon dalam filem terbarunya The Post dengan beliau tampil di samping seorang aktres terenal, Meryl Streep.
Hanks ditanya seorang pemberita semasa tayangan perdana filem itu baru-baru ini tentang bagaimana kaum Adam yang masih muda boleh memberi kesan positif terhadap isu tersebut.
"Ia berkaitan meritokrasi tanpa mengira jantina.
"Saya fikir perkara terbaik yang boleh dilakukan lelaki muda yang baru memulakan kerjaya ialah mereka bekerja di bawah bos wanita yang adil, dan tegas.
"Saya bernasib baik sebab pernah bekerja di bawah pembikin filem dan pengarah seperti Penny Marshall dan Nora Ephron serta Amy Pascal dan juga Stacey Snider.
"Saya bekerja dengan ramai wanita yang tegas dan menjangkakan yang terbaik daripada saya," tambah beliau.
Hanks memang popular semasa berlakon di bawah pemantauan para pengarah wanita.
Beliau pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Terbaik di Anugerah Academy 1989 bagi lakonannya dalam filem Big, dan Sleepless in Seattle serta You've Got Mail.
Ini bukan kali pertama Hanks memberi sokongannya terhadap keadilan jantina.
Pada Mac 2016, Hanks ditemuramah aktres dan Duta Kesejahteraan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Emma Watson, berkaitan kempen HeForShe bagi sebuah majalah.
Hanks memberitahu aktres itu:
"Jika kita tidak terus amalkan keadilan jantina, peluang sama rata, dan kebebasan serupa bagi setiap bangsa, maka kita telah menghancurkan apa jua yang kita pelajari."
Aktres, Rita Wilson, yang berkahwin dengan Hanks turut memberikan pandangannya mengenai sikap terbuka generasi muda.
"Bagi saya anak muda hari ini membesar dengan didikan mengenai keadilan jantina - termasuk berkaitan jantina.
"Saya fikir generasi tersebut sudah pun sedar mengenai hal ini, dan saya fikir memandang ke hadapan keadaan akan menjadi lebih mudah," tambah Wilson.