SEORANG ibu di Malaysia membesarkan 16 anaknya dan juga menjaga suaminya yang lumpuh dengan hanya RM150 ($50) sebulan.
Menurut laporan portal bahasa Melayu The Star, mStar, usahawan Encik Mohd Yazid Ismail telah berkongsi kisah kehidupan keluarganya, di mana ibunya telah membesarkan 16 anak dan menjaga suaminya yang sakit dengan hanya RM 150 sebulan.
Menurut kenyataannya di Facebook pada 7 Ogos lalu, beliau kagum dengan ketabahan ibu bapanya dalam membesarkan beliau dan adik-beradik (11 lelaki dan 5 perempuan) sehingga kesemua mereka berjaya ke universiti.
Bapanya diserang strok yang menyebabkan lumpuh pada 1991, sewaktu ibunya sedang hamil.
Disebabkan kejadian itu, keluarganya kehilangan sumber wang pendapatan utama dan terpaksa menjalani kehidupan yang sangat sukar kerana tidak mempunyai sebarang wang simpanan yang banyak dan hanya “mempunyai wang yang cukup untuk bertahan.”
Mujur ada pihak yang sedia membantu keluarga Encik Yazid, kini ayah kepada 4 orang anak, dengan sedikit wang tambahan untuk menyara kehidupan sehari-hari.
Misalnya, masjid berdekatan rumah mereka mengagihkan lagi RM150 ($50) setiap bulan kepada keluarga tersebut.
Pengalaman menempuhi fasa kemiskinan telah mengajar Encik Yazid dan adik-beradiknya berdikari.
Malah sejak sekolah rendah lagi, mereka sedikit-sebanyak cuba meringankan beban kewangan keluarga dengan membuat kerja sampingan seperti kerja buruh, mengumpulkan botol dan tin terpakai untuk dijual dan lain-lain lagi.
Sejarah silam Encik Yazid yang penuh cabaran itu tidak menjadi hambatan untuknya terus membangunkan nama sebagai seorang usahawan hari ini.