Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Ibu pergi sehari selepas jururawat terima ijazah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ibu pergi sehari selepas jururawat terima ijazah

Jul 29, 2018 | 05:30 AM



Onak duri kehidupan sudah dilalui dua gadis ini yang datang dari keluarga berpendapatan rendah. Apabila ibu mereka dilanda penyakit barah, kegagahan menjadi teman yang memperkasa semangat juang di jiwa. Namun, Tuhan lebih mengetahui apabila mereka diuji dengan pemergian ibu tersayang buat selama-lamanya di saat mereka menutup tirai pengajian. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan kisah kecekalan dua belia berikut.



BEBERAPA jam selepas menerima ijazah kejururawatan di majlis tamat pengajian Universiti Nasional Singapura (NUS) baru-baru ini, Cik Kartika Asman, menggayakan gaun konvokesyen di hadapan ibunya yang terlantar sakit di rumah.



Meskipun ibunya, Cik Barijah Ahmad Sarjo, antara sedar dengan tidak dek bertarung dengan penyakit barah paru-paru yang sudah merebak ke otak, Cik Kartika, 23 tahun, tetap membisikkan kata-kata penuh pengharapan:



"Mummy, Ika dah graduate..." (Ibu, Ika dah tamat pengajian universiti...")



Beliau yakin kata-kata yang diucapkan dengan linangan deras air mata itu didengari si ibu yang tidak mampu membalasnya dengan pujian atau dakapan penuh kasih sayang.



Selang sehari selepas itu, Cik Barijah, seorang suri rumah dan ibu tiga anak yang dikesan menghidap barah sejak 2016, meninggal dunia pada usia 58 tahun.



Ternyata, pemergiannya itu meninggalkan kekosongan dalam jiwa Cik Kartika yang merupakan anak bongsu.



Sebagaimana yang dikongsi beliau yang kini bertugas di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK dalam pertemuan di rumahnya di sekitar Punggol Walk:



"Kepiluan memang terasa apabila ibu bapa saya tak dapat hadir di majlis tamat pengajian saya. Ayah perlu menjaga ibu.



"Beberapa bulan lalu, doktor kata, ibu hanya ada harapan hidup antara empat hingga enam bulan sahaja. Ternyata beliau pergi lebih awal daripada itu.



"Jika belia lain mampu meraikan kejayaan mereka menggenggam ijazah bersama ibu bapa yang tumpang bangga, saya tidak dapat melakukannya bersama ibu bapa saya.



"Beza sewaktu dapat diploma kejururawatan daripada Politeknik Ngee Ann (NP) di mana mereka berdua hadir melihat saya naik pentas dan kami kemudian bergambar bersama."



Sebagai anak dari keluarga berpendapatan rendah, masalah kewangan merupakan antara badai kehidupan yang perlu diharungi sejak kecil lagi.



Sungguhpun begitu, beliau menjadi anak muda yang tangkas berdikari, berjimat, gagah melalui dugaan berat dan tidak mengambil mudah kehidupan serta setiap rezeki yang diraih.



Bapanya, Encik Asman Wario, 59 tahun, mencari rezeki seorang diri sebagai pemandu teksi bagi menampung persekolahan tiga anaknya.



Kakak Cik Kartika juga menghidap penyakit lupus yang membuat sistem imun dalam tubuh menyerang tisu sihat.



Di ambang peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'N' beliau, Cik Kartika sekeluarga mengalami masalah kewangan sehingga perlu menyewa flat bersama sebuah lagi keluarga lain.



Tempoh sukar itu dilalui selama tujuh bulan sebelum mereka berpindah ke rumah anak angkat ibunya dan akhirnya mendapat flat sendiri di Punggol.



"Bayangkan apabila bilik tidur utama menjadi rumah kami lima beranak. Ibu, kakak dan saya berkongsi sebuah katil sementara ayah dan abang tidur di lantai.



"Saya juga tidak selesa belajar di flat yang dikongsi dengan keluarga lain. Nak belajar di ruang tamu, ada pula anak kecil yang datang mengambil alat tulis saya dan riuh bermain.



"Kerapkali juga, saya mengulang kaji pelajaran di kolong blok atau dalam perjalanan ke sekolah. Memang terasa keperitannya tetapi saya tidak pernah berputus asa.



"Saya lihat teman sebaya atau saudara-mara lain mampu ke kelas tuisyen sedangkan saya tiada kemewahan sebegitu," ceritanya.



Kerjaya sebagai jururawat disifatkan sebagai penawar buatnya, lebih-lebih lagi apabila ia mampu memberi senyuman kepada orang lain dan meringankan beban mereka.



Ia bahkan bak sudah diatur Tuhan dengan baik sejak Cik Kartika tertarik dengan kemahiran memberi rawatan kecemasan sewaktu memasuki Persatuan Palang Merah di bangku sekolah rendah dan menengah.



"Saya memang suka tolong orang. Hidup saya susah tetapi saya suka gembirakan orang lain dengan membantu seberapa yang termampu. Maka, saya terfikir bidang jururawat paling sesuai untuk dijadikan kerjaya.



"Apabila ibu dikesan menghidap barah dan mengalami kesan seperti lemas dalam air dalam percutian di Bandung, saya merasakan mungkin ada sebab mengapa saya terdorong menjadi jururawat.



"Malah, apabila ibu yang juga mempunyai penyakit kencing manis diuji dengan pelbagai kesulitan sewaktu menjalankan umrah dan berkata, 'kalaulah saya ada bersama dengannya untuk merawat dan menjaganya', saya terharu diberi kecenderungan yang boleh membantu keluarga sendiri," jelasnya lagi.



Cik Kartika kini hanya berharap kemahiran kejururawatan yang diperolehi daripada latihan dan pengajian di NUS akan membuka pintu buatnya menawarkan lebih banyak bantuan kepada golongan yang memerlukan.



"Ibu adalah segalanya buat saya. Ketiadaan beliau amat dirasakan kerana beliaulah pembakar semangat dan penenang jiwa saya dahulu.



"Teman-teman akan bertanya, 'bagaimana saya lalui semua kepayahan kehidupan pada usia muda?' Saya kadangkala tak perasan akan tenaga luar biasa itu. Pastinya ia datang dari Allah dan doa ibu bapa saya," kongsinya lagi.




"Ibu adalah segalanya buat saya. Ketiadaan beliau amat dirasakan kerana beliaulah pembakar semangat dan penenang jiwa saya dahulu. Teman-teman akan bertanya, 'bagaimana saya lalui semua kepayahan kehidupan pada usia muda?' Saya kadangkala tak perasan akan tenaga luar biasa itu. Pastinya ia datang dari Allah dan doa ibu bapa saya."
- Cik Kartika Asman




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >