Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Lagak dan perbuatan mestilah gentleman

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

CORETAN

Lagak dan perbuatan mestilah gentleman

'Gentleman' bukan setakat luaran; lelaki perlu papar menerusi perbuatan lindung hak, keperluan wanita
May 26, 2019 | 05:30 AM



"DENGAN gaya seorang 'gentleman', tampan nian bagai Superman, hilir mudik tanpa tujuan, melagu sambil bersiulan."



Begitulah bunyinya permulaan lagu berjudul Bujang Dara.



Lagu tersebut nyanyian penyanyi pop dan keroncong zaman 1950-an di Indonesia, Sam Saimun.



Oh, anehnya dunia ini.



Dunia menuntut wanita berperilaku 'ladylike'. Pakai baju cantik dan bersuara lembut mendayu.



Helo? Lelaki pun seharusnya berperwatakan 'gentleman' terlebih dulu kalau mahu wanita berperilaku begitu.



'Gentleman' bukan sahaja merujuk kepada pakaian sut bertali leher dan rambut gebu gebas gaya 'pompadour'.



Konsep itu pun tidak terhad pada paras rupa kacak bagai Christopher Reeve zaman dulu.



Kebudimanan pun bukan setakat berkata 'Ladies first' (Wanita dulu) ketika membuka pintu atau berjalan di mana-mana.



SEJARAH DAN MAKNA



Teringat juga saya kepada karya klasik Melayu yang menghikayatkan asal-usul kemaharajaan Melayu abad ke-15, Sulalatus Salatin, Yakni Pertuturan Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu).



Dalam babak ke-11, berkenaan kisah kunjungan Sultan Mansur Syah ke Majapahit, diceritakan perihal paras rupa 'gentleman' bernama Kiayi Emas Jiwa.



Berikut gambaran yang diberi puteri Majapahit, Raden Galuh Daya Kusuma, tentangnya:



"(Kiayi Emas Jiwa) berkain sekar kuning (bunga kuning) bertulis madu memancar, besabuk benyaban (berikat pinggang, berbengkung) hijau, berkeris hulu cula (pangkal keris dibuat daripada permata berbentuk naga) tiada memakai kadar (pedang), bergelang gamat, tubuh bersunting bunga semanarsa (cempaka)... giginya seperti bunga seri gading, bibirnya seperti daun katirah.



"Terlalulah baik parasnya; sedap, manis, pantasan (cocok, sesuai, rapi sekali), pangus (bahasa Jawa kuno bererti kemas, tampan, bagus, rupawan)."



Ataupun pembaca boleh mengikuti bisikan orang Jawa tentang Laksamana Hang Tuah yang datang ke Majapahit bersama Sultan Mansur Syah dalam kisah sama:



"Terkejut orang dalam pangkuan oleh melihat Laksamana lalu hulubalang seberang... Gempar orang di pasar ya melihat Laksamana lalu Laksamana lalu hulubalang raja Melaka."



Dalam dunia Barat, seperti diterangkan dalam Kamus Oxford, perkataan 'gentleman' merujuk kepada lelaki beradab (chivalrous), bersopan-santun (courteous) atau terhormat (honourable); ataupun lelaki daripada keluarga bangsawan.



Penafian: Saya tidak menuduh semua lelaki tidak bersikap 'gentleman'. Hanya segelintir saja yang mampu buat darah kita naik.



Jangan kecam. Bulan puasa sekarang. Batal karang.



Jangan risau, Tuan-Tuan. Kami wanita tidak meletakkan jangkaan tinggi melangit bahawa setiap daripada Tuan perlu menjadi seperti Kiayi Emas Jiwa dan Hang Tuah.



LELAKI BUDIMAN IDAMAN



Pada saya, sikap 'gentleman' merangkumi ciri lelaki itu secara keseluruhannya.



Ini terutama sekali pada cara beliau meladeni wanita dan orang ditemui dalam hidup serta nilai yang beliau pegang. Misalnya, kakak, adik perempuan, isteri, anak perempuan dan rakan kerja wanita.



Biar rupa tiada dan harta pun secupak, lelaki 'gentleman' menghormati wanita.



Cukup bagi kebanyakan wanita andai beliau mengetahui dirinya datang daripada, diasuh dan dibelai wanita.



Paling penting, beliau tidak akan sengaja memperalat, merendahkan dan mempermain dengan sekeping isi wanita yang bernama hati.



Sikap budiman lelaki tidak tertakluk pada perawakannya. Perbuatan memainkan peranan.



Misalnya, dalam konteks hari ini, seseorang lelaki mungkin pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Isteri suri rumah tangga sepenuh masa.



Isteri itu barangkali tidak memiliki perlindungan insurans dan rancangan yang boleh menjadi sandaran pada hari muka.



Dalam hal ini, adakah lelaki itu terfikir mahu membelikan sang isteri pelan insurans sewajarnya?



Apakah suami itu cukup 'gentleman' dalam melindungi isteri?



Iyalah, wanita itu mungkin tiada simpanan dan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Apa-apa boleh berlaku kepadanya.



'Gentleman' juga lelaki yang tidak berhenti mengejar ilmu dan mengisi rohnya dengan cahaya keilmuan. Namun, adakah suami itu terfikir akan keperluan ilmu sang isteri?



Meskipun duduk di rumah, isteri masih memerlukan kemahiran. Contohnya, kemahiran menggunakan perisian komputer dan teknologi.



Seorang 'gentleman' pasti memikirkan kebajikan wanita secara keseluruhannya dan bukan prihatin hal luaran semata.



WANITA BUDIMAN MENAWAN



Sehubungan itu, kalau mahukan lelaki 'gentleman', kami sebagai anggota kaum Hawa pun harus memainkan peranan.



Tidak kurang pentingnya kami mengamalkan sikap budiman kepada mereka.



Namun, ini tidak bermaksud kami berubah pendirian jadi menurut sahaja (subservient) atau mengubah cara berpakaian secara mendadak.



Tidak salah pun kalau kami lasak dan kuat sedikit. Kami boleh jadi seperti telur rebus - keras di luar, lembut di dalam (kah kah kah).



Apa yang saya maksudkan ialah kami menghormati pandangan mereka; menyokong apabila mereka membuat keputusan baik; dan saling menasihati.



Pada pandangan saya yang sempit ini, wanita sejati merupakan mereka yang menjadi 'tulang belakang' dan tidak mengungkit kisah silam.



Kami perlu menjadi wanita yang sangat kuat, namun pada masa sama lembut.



Kami perlu meraih pendidikan setinggi mungkin supaya mampu terus jadi rendah hati.



Kami perlu menjadi garang agar mampu menonjolkan rasa sayang.



Bagi hubungan sesama wanita pun, saya terjumpa mutiara kata dalam bahasa Inggeris yang berbunyi:



"Be the woman who fixes another woman's crown without telling the world it was crooked (Jadilah wanita yang membetulkan mahkota wanita lain tanpa mendedahkan kejanggalan itu kepada seluruh dunia)."



KESIMPULAN



Akhirnya, saya berpendapat bahawa sebenarnya lelaki dan wanita perlu sama-sama berusaha menjadi insan budiman.



Jadilah insan budiman bukan sahaja terhadap sesama sendiri, malah terhadap satu sama lain yang berlainan jantina.



Bukankah perbezaan juga rahmah agung daripada Yang Maha Esa?



Itulah juga sebabnya kita diciptakan dalam suku dan kaum berbeza supaya saling cenderung, tenteram dan berkasih sayang.



Dalam hal ini, lelaki dan wanita Melayu zaman sekarang pun boleh memetik sifat murni yang terpapar dalam pelbagai babak Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang itu.



Antara lain, dikisahkan insan yang taat, berani, cinta tanah air, berbudi pekerti dan mulia.



Saya sangat percaya bahawa daripada sejarah, kita boleh meraih bekal mengharungi masa depan.



Isy, macam mana tulisan santai tiba-tiba saja jadi serius, tertukil teks sastera sejarah dan berbual fasal wang simpanan?



Alahai. Tidak mengapa.



Sama-sama kita perbaiki diri.



Okeylah, saya minta diri dulu.



Hingga ketemu pembaca lagi dalam coretan selanjutnya.



Kita berpisah dengan pengakhiran lagu Bujang Dara:



"Gaya suara macam Effendi



Lincah sungguh menarik hati



Tepat sudah paduan hati



Esok boleh jumpa kembali..."




WANITA BUDIMAN



"Pada pandangan saya yang sempit ini, wanita sejati merupakan mereka yang menjadi 'tulang belakang' dan tidak mengungkit kisah silam. Kami perlu menjadi wanita yang sangat kuat, namun pada masa sama lembut. Kami perlu meraih pendidikan setinggi mungkin supaya mampu terus jadi rendah hati. Kami perlu menjadi garang agar mampu menonjolkan rasa sayang."
- Penulis.



LELAKI BUDIMAN



"Biar rupa tiada dan harta pun secupak, lelaki 'gentleman' menghormati wanita... Paling penting, beliau tidak akan sengaja memperalat, merendahkan dan mempermain dengan sekeping isi wanita yang bernama hati. Sikap budiman lelaki tidak tertakluk pada perawakannya. Perbuatan pun memainkan peranan... Seorang 'gentleman' juga lelaki yang tidak berhenti mengejar ilmu dan mengisi rohnya dengan cahaya keilmuan. Namun, adakah suami itu terfikir akan keperluan ilmu sang isteri? 'Gentleman' pasti akan memikirkan kebajikan wanita secara keseluruhan dan bukan prihatin hal luaran."
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >