Pakar: Sepertiga wanita alami darah haid berlebihan sepanjang hidup

SEKITAR 30 dengan 40 peratus wanita akan mengalami masalah pendarahan haid yang banyak (HMB), atau dikenali juga sebagai pendarahan rahim tidak normal (AUB), sepanjang kehidupan mereka, kata Ketua Divisyen Ginekologi Benigna di Jabatan Obstetriks dan Ginekologi, Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Fong Yoke Fai.

Malah, di Hospital Besar Singapura (SGH) pula, setiap minggu dianggarkan satu atau dua kes wanita yang dimasukkan ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) akibat masalah kejang perut dan AUB sehingga timbul pula masalah anemia atau kurang sel merah (haemoglobin) dalam darah.

Akibatnya, mereka perlu menjalani pemindahan darah, kata Konsultan Kanan di Jabatan Obstetriks dan Ginekologi SGH, Profesor Madya Yong Tze Tein, pula.

Kededua Profesor Fong dan Profesor Madya Yong berkata adalah sukar untuk memberikan angka sebenar pesakit yang menghidap masalah ini kerana ia kurang dilaporkan.

MALU BERBINCANG

"Ramai wanita yang akan sengsara bertahun lamanya sebelum mendapatkan rawatan, hanya kerana mereka malu untuk membincangkannya atau mereka anggap masalah ini serta sakit perut dan pelvik biasanya sebahagian daripada masalah yang dihidapi wanita selain penuaan," kata Profesor Fong.

Akibat kelengahan yang terlalu lama bagi mendapatkan rawatan, ramai wanita terpaksa menjalani pembedahan besar - prosedur yang dapat dielakkan sekiranya mereka mendapatkan rawatan lebih awal, kata Profesor Fong lagi.

Difahamkan sesetengah wanita mengalami AUB sejak di awal usia remaja apabila mereka mulai datang haid.

"Sedang para remaja mungkin mengalami rasa tidak selesa, malu dan kesukaran akibat pendarahan yang banyak, kes-kes sebegini biasanya berpunca daripada isu hormon yang boleh dirawat secara mudah menerusi ubat yang dimakan atau sejenis alat intrauterin yang menghasilkan hormon (IUS).

"Kebanyakan kes akan pulih dengan sendirinya apabila remaja itu kian matang dan hormon tubuh berserta tempoh kitar kedatangan haid mereka mulai seimbang secara semula jadi," kata Dr Fong lagi.

Namun bagi kaum Hawa yang lebih dewasa seperti dalam lingkungan 30-an dan 50-an tahun, ia merupakan perkara yang berbeza.

Seperti yang dialami seorang pesakit, Cik Goh Hwee Ling, 40-an tahun yang mula mengalami HMB sejak 2002, selepas anak pertamanya dilahirkan.

Menurutnya, darah haid yang mengalir keluar amat banyak sehingga beliau perlu kerap menukar tuala wanitanya.

Ini menyebabkan setiap kali beliau datang haid, beliau perlu menyiapkan pakaian tambahan untuk dua atau tiga hari pertama.

"Saya disahkan menghidap polips dan fibroids (ketumbuhan yang tidak menyebabkan barah) yang mungkin menyebabkan HMB.

"Memandangkan ia tidak begitu besar dan tidak menimbulkan rasa tidak selesa, atau menjejas kesuburan, saya tidak disaran menjalani pembedahan," katanya.

Masalahnya itu berterusan selepas beliau melahirkan anak kedua pada 2006, sehinggalah tahun lalu apabila beliau jalani prosedur memasukan alat IUS ke rahimnya.

LAMBAT PULIH

Bagi golongan wanita lebih dewasa, sekiranya mereka alami AUB, sukar untuk mereka pulih dengan pantas.

Punca sebenar masalah itu tidak akan bertambah baik, tapi lebih memudarat dan merumitkan, kata Profesor Fong.

Fibroid dan endometriosis merupakan antara punca paling kerap yang menyebabkan HMB dalam kalangan wanita lebih dewasa.

Kededuanya adalah masalah progresif yang biasa yang menyebabkan rasa sakit di pelvik dan perut, serta HMB.

"Jika tidak dirawat, kededuanya boleh menimbulkan isu kesihatan serius termasuk kemandulan," tabah Profesor Fong.

Malah Profesor Fong sendiri mengakui yang beliau pernah menjalankan pembedahan mengeluarkan sejenis fibroid seberat 3.5 kilogram, sebesar seorang bayi.

Profesor Fong menganggarkan ketumbuhan itu berada dalam tubuh pesakit lebih sedekad lamanya, dan pesakit itu mungkin sedar akan masalah itu namun menangguhkan masa untuk mendapatkan rawatan.

Galeri Foto