Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Rezeki kahwin Azura mencurah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rezeki kahwin Azura mencurah

Sep 29, 2019 | 05:30 AM



BELUM cuba belum tahu. Sudah cuba, pastikan beri yang terbaik. Begitulah prinsip hidup pelakon, pengacara, penggesek biola dan kini deejay Ria 89.7FM, Azura Goh, 25 tahun.



Tahun 2019 ibarat tahun yang amat bermakna buat wanita tinggi lampai yang menjayakan drama mingguan Runcit dan menyerikan iklan ayam goreng KFC. Awal sebelum itu, beliau pernah muncul dalam drama Firasat dan Suparman serta mengacarakan rancangan gaya hidup, Urbanista.



Tahun ini titik tolak beliau memulakan kerjaya baru sebagai deejay. Ia juga fasa peralihan buatnya yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga dengan karyawan pasaran saham, Irwan Abdul Rahim, juga 25 tahun.



Sebagaimana jelasnya yang bermula dalam bidang seni sebagai pemain biola yang mengiringi persembahan juara Singapore Idol, Taufik Batisah:



"Saya memang berani mencuba dan mencabar diri. Saya akur akan ada kesukaran menyesuaikan diri dalam amanah baru tetapi saya mengambil peluang tersebut bagi mengasah kemahiran dan menimba ilmu baru.



"Ada yang bertanya, 'Nama dah mula dikenali... dah macam-macam tugas dicuba dan akhirnya jadi deejay, mengapa tamatkan zaman bujang awal?' Saya anggap semuanya rezeki yang sudah diatur Allah."



Pada awalnya, sekitar tujuh bulan lalu, beliau memang tertanya-tanya mampukah beliau menggalas peranan baru sebagai deejay stesen Melayu yang memerlukannya fasih dan lancar dalam bahasa Melayu.



"Saya pernah mengacara sebelum ini tetapi saya akur bahasa Melayu saya tidak selancar mana sebab saya akan berfikir dalam bahasa Inggeris dan mengambil masa lebih lama sedikit bagi menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.



"Alhamdulillah, berkat latihan saban hari di konti, saya lebih yakin berbual dalam bahasa Melayu dan belajar tentang tonasi suara dan cara penyampaian yang berkesan," tambah anak tunggal ini.



Misinya kini adalah menarik golongan milenial dan mengenali cita rasa mereka. Beliau diberi majikannya peluang menyarankan lagu indie atau underground yang disenangi golongan sepertinya dan seusianya.



Azura juga memastikan kandungan bicaranya di radio meliputi isu relevan dalam dunia milenial seperti perancangan kerjaya dan kewangan mahupun trend terbaru dan kafe baru untuk dikunjungi. Beliau juga mengetengahkan permainan bahasa bagi menggalak pendengar mengamati keindahan bahasa Melayu.



"Setiap hari saya tak rasa seperti saya bergegas bagi menjalankan tugas. Tugas menjadi sebahagian daripada rutin yang menggembirakan saya. Memang sewaktu penggambaran drama Runcit, saban hari atau tujuh hari seminggu saya berulang-alik ke set penggambaran dan stesen radio.



"Namun, saya tak anggap semua ini sebagai bebanan. Saya belajar daripada deejay dan pelakon veteran. Mereka selalu memberikan maklum balas yang membina bagi saya perbaiki kelemahan saya.



"Yang penting, ibu memberi restu bagi saya menceburi bidang seni. Beliau amat memahami masa kerja saya yang tidak menentu. Beliau sering berpesan agar saya berpijak di bumi nyata, bersikap merendah hati dan pandai jaga nama baik keluarga dan suami.



"Ibu jarang memuji lakonan saya tetapi dengan beliau menonton drama yang saya jayakan, ia cukup bermakna buat saya," jelasnya.



Azura juga terbiasa dengan sikap berdikari kerana sudah merantau bagi mengambil ijazah guaman di Universiti Nottingham, United Kingdom, selepas tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O'.



Mengapa tidak meneruskan sahaja dalam bidang undang-undang dan menjadi peguam?



Katanya: "Sebenarnya, awal-awal lagi, saya tahu saya tak akan menceburi bidang guaman. Saya yakin dunia hiburan akan menjadi ruang saya mencari rezeki. Saya sukakan muzik dan bidang pengacaraan.



"Namun, saya gemar menimba ilmu dan tidak pasti berapa lama saya akan bertahan dalam persada seni. Lantaran itu, bidang guaman adalah perancangan gantian. Ilmunya boleh dimanfaat bagi pekerjaan lain juga."



Mengulas tentang personaliti Azura yang sesuai selaku karyawan penyiaran radio, Penolong Pengarah Program Ria 89.7FM, Zaza Majid, berkata:



"Sebenarnya dari dahulu lagi, saya sudah terpaut dengan personaliti Azura tatkala beliau menjadi tetamu Ria dan diwawancara di radio. Terdengar perbualannya. Kemudian nampak pula beliau mengacarakan segmen sembang artis di bazar CelebFest.



"Kami ingin bangunkan generasi pelapis penyiar radio yang dapat memancing perhatian generasi milenial. Idea dan semangat belianya akan menambahkan lagi semarak dunia penyiaran."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >