Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Rossa gelisah dengan bahang muzik Indonesia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rossa gelisah dengan bahang muzik Indonesia

Sep 10, 2017 | 05:30 AM



DENGAN industri muzik Indonesia pesat berubah dek pengaruh luar dan kemunculan ramai artis baru yang tampil dengan kelainan, Ratu Runut Bunyi Filem Indonesia, Rossa, turut terasa bahangnya.



Malah, dek dirundung kerisauan tentang masa depannya dan kadangkala diasak rasa jenuh dengan dunia glamor, pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu pernah terfikir mahu mengundurkan diri daripada bidang seni, dua tahun lalu.



Mula malas nyanyi dan ingin berhijrah ke luar Indonesia



Sebagaimana kongsi penghibur dengan nama sebenar Rossa Roslaina Sri Handayani, 38 tahun, kepada Gah! dalam satu wawancara menerusi panggilan jauh ke Jakarta:



"Bohong kalau saya katakan saya tidak pernah kecewa dengan dunia hiburan dan nyanyian.



"Pada 2015, saya sudah terasa malas mahu menyanyi lagi. Kepinginnya saya berhijrah saja ke luar negara (luar Indonesia) dan jadi orang biasa, jauh daripada kesibukan hidup sebagai artis.



"Saya mahu tumpukan perhatian pada bidang perniagaan sahaja. Sudah lebih 20 tahun menyanyi, kadangkala kita terkapai-kapai mencari inspirasi atau idea baru agar suara kita terus didengari.



"Tapi, apa yang buat saya betah dengan kerjaya nyanyian ini adalah keluarga dan teman rapat, khususnya yang seindustri. Mereka berikan semangat. Kata mereka, 'Rossa, kamu boleh bertahan. Cipta saja jenama kamu semula. Cari bahan baru yang orang lain tidak pernah dengar daripada kamu'. Maka saya sahut cabaran itu."



Mencorak 'Rossa' yang baru



Kata-kata mutiara pembakar semangat yang dikongsi insan terdekat dalam hidupnya itu dipegang hingga ke hari ini.



Beliau mengorak langkah mencorak semula jenama 'Rossa' menjadi pelantun lagu bertenaga yang bukan setakat dikenali kerana lagu balada cinta seperti Terlalu Cinta, Hati Yang Kau Sakiti dan Tegar.



Selain melancarkan album New Chapter (Babak Baru) awal tahun ini, yang mengandungi lagu Inggeris Body Speak yang dirakam di Amerika Syarikat, Rossa turut mengadakan konsert ulang tahun ke-21, Rossa: The Journey of 21 Dazzling Years di Dewan Plenari JCC Senayan sekitar Jakarta pada April lalu.



Dengan kejayaan konsert tersebut yang memaparkan tenaga dan kecekalannya sebagai penghibur, Rossa ingin sekali semaraknya dibawa ke Singapura.



Lantaran itu, konsert dengan tajuk serupa bakal dipersembah secara bersama oleh Euphoric Pte Ltd dan Esplanade - Teater Di Persisiran di Dewan Konsert Esplanade pada 4 November ini.



"Kalau nak difikirkan sepanjang 21 tahun terlibat dalam kerjaya nyanyian ini, saya tidak terasa tertekan. Inilah tugas yang boleh membuat saya datang bekerja sambil tersenyum gembira dikelilingi orangorang 'sekepala'. Jadi tidak ada stres langsung! Tak terasa seperti kerja ya?



"Maka, apa jua cabaran, saya harungi dengan tabah. Saya yakin dengan rezeki yang Allah beri. Saya tahu industri muzik sudah berubah. Saya perlu terus relevan dengan memikirkan idea baru yang selari dengan keperluan zaman ini.



"Konsert di Singapura kelak menumpukan pada kerjaya seni saya sepanjang dua dekad. Saya cuma pening memikirkan lagu 'hit' mana mahu dimuatkan sebab lagu yang sudah dihasilkan banyak, tetapi saya cuma ada sejam setengah bagi menghiburkan orang ramai," katanya sambil tertawa manja.



Pernah jadi bintang kecil



Tentunya bidang nyanyian itu sudah mendarah daging dalam hidupnya dan sukar dipisahkan daripadanya kerana beliau mula menyanyi seawal usia 10 tahun.



Album pertamanya, Untuk Sahabatku, yang dikhususkan buat pasaran kanak-kanak, bagaimanapun, kurang mendapat sambutan.



Nama Rossa hanya bermain di bibir ramai apabila album Nada Nada Cinta pada 1996 dipasarkan buat pasaran umum.



Ini disusuli dengan kepopularan lagu Tegar pada tahun 2000 yang membawa pada Anugerah Artis Wanita Paling Digemari di Anugerah MTV Indonesia 2000.



Anak tidak menyusahkan



Dalam kesibukan merantau demi kerjaya, Rossa akur perlu berjauhan daripada putera tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 11 tahun.



Itulah permata hatinya, lebih-lebih lagi selepas berpisah dengan pemuzik band Padi, Yoyo, pada 2009.



"Rizky anak yang mudah diuruskan. Dia tidak banyak rewel. Alhamdulillah, dia pintar, baik hati dan dengar kata. Dia selalu gembira sebab ibunya juga begitu! Anak ini penuh kasih sayang. Kalau saya tiada, papanya Yoyo, akan menemaninya.



"Rizky lebih suka melukis, tidak condong pada bidang nyanyian. Saya juga ingin melihat dia dewasa sebagai anak yang utuh keimanannya, tidak lupa tanggungjawabnya bersolat dan memiliki hala tuju dalam hidup," katanya penuh harapan.



Bernikah? Belum jodoh...



Kerap kali jika dilungsur Internet, Rossa dikaitkan dengan sahabat karibnya yang tampan, penyanyi Afgansyah Reza, 28 tahun.



Pengesahan tentang hubungan cinta mereka belum lagi diperolehi media meskipun mereka sering dilihat hadir bersama di keramaian seperti majlis resepsi penyanyi cantik, Raisa Andriana, dan pengacara serta pelakon Hamish Daud Wyllie.



Bila mahu bernikah? Rossa tertawa malu dan cepat-cepat menjawab: "Belum lagi, kak. Saya sibuk mahu bikin album terlebih dahulu. Banyak juga perniagaan (pusat karaoke, hartanah, wangian, jenama fesyen dan kek cendera- hati) ingin diuruskan dulu. Nantilah, belum sampai masanya."



  • Tiket konsert Rossa berharga $58, $78, $98, $128, $158 dan $188 (VIP: peluang bertemu Rossa dan mendapat poster yang ditandatangani) boleh ditempah menerusi talian, kaunter dan laman Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >