Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Seni bina Peranakan cetus idea reka fesyen busana

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seni bina Peranakan cetus idea reka fesyen busana

Mar 22, 2018 | 05:30 AM



Rumah Peranakan di daerah Katong dengan lorekan motif uniknya pada pintu dan jendela menjadi sumber inspirasi bagi seorang belia menjana rekaan busana terkini. Temannya pula tertarik pada makanan dan manisan tradisional berwarna-warni seperti 'ang ku kueh' dan cendol. Bersama-sama, mereka hasilkan jenama fesyen Rakyat The Label yang mencetus rasa bangga terhadap warisan bangsa dan menghimbau nostalgia tentang sejarah silam Singapura. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) meninjau kisah di sebalik ciptaan fesyen menarik dua pelajar Diploma Rekaan dan Perdagangan Pakaian di Politeknik Temasek (TP) ini.



CIK Nafhah Mohd Noor Tijany gemar bereksperimen dengan fesyen dan meneroka bidang tata rias sejak kecil lagi.



Sungguhpun keluarganya menjangkakan beliau meneruskan laluan pendidikan di Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah, Cik Nafhah, kini 19 tahun, memilih untuk ke kursus Diploma Rekaan dan Perdagangan Pakaian di Politeknik Temasek (TP).



Langkah yang diambil anak keempat guru agama yang dikenali ramai, Ustaz Mohd Noor Tijany itu, adalah bagi memenuhi minat mendalam terhadap dunia fesyen serta cita-citanya membangun jenama busana sendiri suatu hari nanti.



Bagi projek tahun akhirnya, Cik Nafhah yang bakal menamatkan pengajian di TP tahun ini, meraih inspirasi daripada seni bina rumah kedai Peranakan meliputi motif pada jubin, pagar, jendela, tangga dan pintunya.



Beliau bekerjasama dengan temannya, Cik Aqilah Adnan, juga 19 tahun, bagi menghasilkan jenama Rakyat The Label.



Jenama dengan cebisan unsur nostalgia silam Singapura itu bertujuan memelihara tradisi dan warisan setiap kaum yang mungkin telah lama diabaikan.



Bermula dengan koleksi fesyen ala Peranakan, mereka berharap jenama itu boleh dikembangkan bagi menghasilkan pakaian kaum lain sempena musim perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali.



Ketika ditemui Gah! di TP baru-baru ini, Cik Nafhah menjelaskan:



"Hanya seorang sahaja kakak saya yang mengikuti pengajian sekular dan mengambil bidang perniagaan.



"Empat beradik lain termasuk saya mengikuti pengajian madrasah. Lantaran itu, pada awalnya, ibu bapa mengharapkan saya meneruskan pengajian prauniversiti di madrasah.



"Namun, saya pula merasakan selepas tamat sekolah menengah, inilah tempoh bagi saya mengasah minat dan bakat dalam bidang fesyen.



"Saya berusaha meyakinkan mereka bahawa inilah kursus terbaik buat saya. Melihatkan kesungguhan saya, mereka merestui pilihan yang dibuat dengan doa saya benar-benar serius dalam apa yang dikejar.



"Alhamdulillah, apabila mereka kini lihat saya bertungkus-lumus dan bersengkang mata menyiapkan projek sekolah, mereka sentiasa beri dorongan yang tidak putus-putus dan gembira saya menemui bidang yang amat diminati."



Dalam mencorak rekaan bagi busananya, Cik Nafhah tertarik pada butiran terperinci rekaan motif Peranakan.



Beliau mengamati seni bina di rumah kedai sekitar daerah Katong yang begitu digemari pelancong.



Pengalaman bekerja sambil belajar di butik pengantin milik pereka fesyen, Cik Fatimah Mohsin, malah dijadikan sandaran dalam menyiapkan projek busana Rakyat The Label.



Teknik menyulam manik yang memerlukan kesabaran dipelajarinya ketika bekerja bersama pereka fesyen selebriti itu.



"Pokoknya, saya tidak boleh berputus asa. Perkara kecil pun harus dititikberatkan dalam rekaan fesyen.



"Lagi pun, saya bekerjasama dengan teman saya. Tak bolehlah saya ikutkan gerak hati saya sahaja. Sepanjang empat bulan ini, saya belajar tentang kerjasama berpasukan dan semangat saling membantu serta bertolak-ansur," ceritanya.



Cik Nafhah yang bercadang meneruskan pengajian ijazah dalam bidang fesyen selepas ini merasakan selagi mindanya masih segar, baik baginya mendalami ilmu kreatif ini sebelum mula bekerja.



"Saya tetap hargai pengalaman bekerja dengan pasukan Kak Fatimah. Ia kali pertama saya berurusan dengan pelanggan dan busana pengantin yang berat-berat belaka.



"Saya dahlah kecil molek maka tugas ini memerlukan daya tenaga dan ketangkasan di samping keinginan mempelajari banyak perkara tentang tradisi Melayu dan kelengkapan seperti tanjak dan samping," kongsinya.



Dengan berkembangnya gaya fesyen sopan di merata dunia termasuk Eropah, beliau yakin dunia fesyen akan lebih berseri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >